Home Artikel Dewan Muslimat PAS Malaysia

Tadabbur Al Quran Surah Al-Ahzab: Siri 28

466
SHARE

Tadabbur Al Quran Surah Al-Ahzab: Siri 28

Ayat 66-68: Penyesalan dan Doa Ahli Neraka

Firman Allah serta terjemahannya:

يَوۡمَ تُقَلَّبُ وُجُوهُهُمۡ فِي ٱلنَّارِ يَقُولُونَ يَٰلَيۡتَنَآ أَطَعۡنَا ٱللَّهَ وَأَطَعۡنَا ٱلرَّسُولَا۠

Pada masa muka mereka dibalik-balikkan dalam neraka, mereka berkata (dengan sesalnya), “Alangkah baiknya kalau kami dahulu (semasa di dunia) taat kepada Allah serta taat kepada Rasul Allah.

وَقَالُواْ رَبَّنَآ إِنَّآ أَطَعۡنَا سَادَتَنَا وَكُبَرَآءَنَا فَأَضَلُّونَا ٱلسَّبِيلَا۠

Dan mereka berkata lagi, “Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami telah mematuhi kehendak ketua-ketua dan orang-orang besar kami, lalu mereka menyesatkan kami dari jalan yang benar.”

رَبَّنَآ ءَاتِهِمۡ ضِعۡفَيۡنِ مِنَ ٱلۡعَذَابِ وَٱلۡعَنۡهُمۡ لَعۡنٗا كَبِيرٗا

“Wahai Tuhan kami, berilah mereka azab sengsara dua kali ganda, dan laknatlah mereka dengan sebesar-besar laknat!”

Tafsir ringkas

1. Pada ayat sebelum ini, orang kafir mengajukan pertanyaan tentang hari kiamat dan meminta supaya hari kiamat disegerakan. Seterusnya Allah SWT menggambarkan dalam ayat 66 perihal keadaan orang kafir yang menjalani hukuman di neraka dengan gambaran jilatan api sampai ke kulit muka mereka. Kesengsaraan di neraka menimbulkan penyesalan kerana tidak mendengar seruan Rasul supaya taat pada Allah dan Rasul-Nya ketika di dunia dahulu.

2. Dalam keadaan diazab sedemikian, mereka memberikan alasan bahawa keberadaan mereka di dalam neraka adalah disebabkan ketaatan mereka kepada para pemimpin dan pembesar yang menyesatkan mereka. Inti sari ayat 67 menerangkan tentang kedahsyatan azab yang akan dideritai oleh manusia-manusia yang lemah pendirian dan memilih jalan yang salah dengan menyerah diri kepada orang yang salah menggunakan kuasa di dunia.

3. Seterusnya mereka memohon kepada Allah SWT supaya mengazab pembesar-pembesar yang menyesatkan mereka dengan azab dua kali ganda. Padahal itu adalah urusan Allah SWT sendiri sama ada mahu mengazab pembesar-pembesar mereka dengan hukuman dua kali ganda, lebih, ataupun kurang.

Pengajaran

1. Ancaman dengan azab neraka adalah gambaran yang menakutkan, tetapi belum terjadi. Oleh itu, mulai sekarang kita perlu berusaha mengelak perkara itu daripada terjadi pada diri kita dengan menjauhi perbuatan ahli neraka sebagaimana yang digambarkan oleh Allah SWT dalam Al-Quran.

2. Pilihan di tangan kita dalam memilih di antara dua jalan; pertama, jalan Allah dan Rasul yang menjamin keselamatan kita di dunia dan akhirat; kedua, jalan pemimpin-pemimpin yang menyalahguna kuasa yang dipinjamkan oleh Allah SWT lalu mereka berbuat sewenang-wenangnya di muka bumi. Maka buatlah pilihan yang betul supaya kita tidak menyesal di akhirat kelak.

3. Orang yang lemah iman dan tidak jelas dengan tauhid mudah terpengaruh dengan pemimpin-pemimpin yang sesat. Justeru, kita perlu sentiasa berdamping dengan orang soleh dan majlis ilmu serta melakukan amal soleh dan terus istiqamah pada jalan yang benar.

4. Kita perlu mengakui bahawa jika ingin mempertahankan pendirian, kita perlu menempuh perjuangan yang berat. Jadi kita hendaklah sentiasa bermujahadah dalam mempertahankan akidah supaya selamat di dunia dan akhirat.

Rujukan
Tafsir Al-Azhar
Tafsir Fi Zhilalil Quran

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
21 Mei 2020 / 28 Ramadhan 1441