Home Berita PAS Melaka

Tazkirah Ramadan Bersama Dewan Ulamak PAS Negeri Melaka Siri 20

854
SHARE


21 RAMADAN 1441 H
14 MEI 2020

BILAKAH LAILATUL QADAR?

Dalam kitab Fadha’il Wa Alãmat Lailah Al-Qadr karya Al-Imam Waliyuddin bin Al-Hafiz Al-Zain Al-Iraqi bahawa para ulama khilaf pada menetapkan berlakunya Lailatul Qadar kepada 23 pandangan:

اختلف العلماء في تعيين هذه الليلة إلى ثلاثة وعشرين قولا، وأرجحها أنها في شهر رمضان وفي العشر الأواخر منه وفي الأوتار من تلك الأواخر. أما تحديد ليلتها، فقد أخفي عن أعين الناظرين ليجتهد العباد في تحصيل الزاد. وفي إخفاء هذه الليلة وعدم تعيينها الكثير من الحكم والأسرار

“Para ulama berselisih pandangan pada menetapkan Lailatul Qadar kepada 23 pendapat. Pendapat yang paling tepat adalah pada bulan Ramadan di sepuluh terakhir dan pada malam ganjil daripada sepuluh akhir tersebut. Adapun malamnya dihadkan pada masa tertentu, juga disembunyikan daripada penglihatan orang yang melihat agar para hamba Allah sentiasa bersungguh dalam meningkatkan bekalan amalan. Dengan disembunyi dan tidak didedahkan Lailatul Qadar, terdapat banyak hikmah serta rahsianya tersendiri”.

Para ulama berpendapat bahawa Lailatul Qadar boleh terjadi pada:

1. Malam 21 atau 23 atau 25 Ramadan berdasarkan hadis riwayat Bukhari daripada Ibnu Abbas yang menyatakan bahawa ia berlaku pada Tasi’ah Tabqa (malam 21), Sabi’ah Tabqa (malam 23) dan Khamisah Tabqa (malam 25).

2. Malam 24 berdasarkan hadis daripada Ikrimah daripada Ibnu Abbas R.A melalui Sammak bin Harb.

3. Malam 27 berdasarkan hadis daripada Ibnu Abbas R.A yang menyebut Sab’in Yamdhin (malam 27) dan hadis daripada Muawiyah R.A yang secara jelas menyebut Lailatul Qadar adalah malam 27.

4. Bahkan dalam kitab Mirqat Al-Mafatih syarah kepada Misykat Al-Mashobih menegaskan bahawa Lailatul Qadar boleh terjadi pada salah satu malam ganjil iaitu sama ada 21 atau 23 atau 25 atau 27 atau 29 sekiranya Ramadan nãqish iaitu hanya 29 hari.

5. Namun, jika bulan Ramadan Kãmil iaitu 30 hari, maka Lailatul Qadar boleh terjadi pada malam genap iaitu sama ada 22 atau 24 atau 26 atau 28 sebagaimana nukilan Imam Bukhari berkenaan hadis Ibnu Abbas R.A.

6. Maka, hendaklah kita berusaha sedaya mungkin memburu Lailatul Qadar pada kesemua bulan Ramadan kerana ada juga pendapat ia berlaku pada malam pertama Ramadan. Ini sebagaimana pendapat Abu Razin Al-Aqili R.A.

7. Bahkan ada pendapat ia berlaku pada malam akhir Ramadan iaitu sama ada 29 atau 30 bersandarkan kepada hadis riwayat Tirmizi daripada Abi Bakrah R.A.

8. Juga terdapat pendapat ia berlaku pada sepuluh pertengahan Ramadan sebagaimana hadis daripada Abi Said Al-Khudri tentang ucapan Jibril kepada Nabi SAW ketika baginda beriktikaf pada Asyrul Ausath.

Oleh itu, carilah Lailatul Qadar dengan beribadat di semua malam-malam Ramadan dan diberi keutamaan pada sepuluh terakhir dan malam-malam ganjil. Semoga Allah mempertemukan kita dengan Lailatul Qadar, biznillah.

USTAZ ASRI ED-DIWANIE
14 Mei 2020 / 20 Ramadan 1441


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)