Home Rencana PAS Melaka

Tazkirah | Penciptaan matahari salah satu bukti kekuasaan Allah

986
SHARE

Oleh USTAZ ANUAR IBRAHIM

APABILA terdapat beberapa kaum Quraisy yang bukan sahaja menolak seruan dan dakwah yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W. untuk meyakini bahawa adanya kehidupan selepas kematian, Allah menegur perbuatan tersebut serta memberikan dalil yang jelas membuktikan bahawa Allah ialah pencipta alam ini dengan dan mentadbir sekalian alam.

Mereka bukan sahaja menolak bahkan mengejek-ejek seruan baginda dengan memberikan suatu hujah iaitu bagaimanakah manusia yang telah hancur seperti debu dapat dihidupkan semula.

Di dalam surah Yaasin ayat ke 78, Allah berfirman :

Maksudnya : Serta dia mengemukakan satu misal perbandingan kepada Kami (tentang kekuasaan itu) dan dia pula lupakan asal kejadiannya sambil ia bertanya: “Siapakah yang dapat menghidupkan tulang-tulang yang telah hancur seperti debu?”

Meskipun persoalan dan keengganan mereka tersebut diluahkan dalam keadaan yang sombong, hakikatnya mereka juga terkesan dangan wahyu yang diturunkan kepada Baginda Nabi S.A.W. kerana mereka yakin bahawa Nabi Muhammad S.A.W. bukanlah seorang pembohong, bukan juga seorang penyair seperti yang mereka dakwa bahkan bukan juga seorang ahli sihir yang cuba mereka gambarkan.

Penolakan mereka kepada seruan baginda itu merupakan suatu tanda yang membuktikan bahawa merekalah orang yang paling takut sekiranya apa yang dibawa oleh baginda Nabi S.A.W. itu benar-benar terjadi. Sikap itu kerana mereka sedar, mereka tiada persediaan dan bekalan serta banyak perkara yang mereka lakukan akan dibongkar serta diazab oleh Allah S.W.T.

Di dalam surah An-Naba’, setelah Allah melarang manusia untuk terus menyoal dan mempertikaikan dakwaan Nabi Muhammad S.A.W., Allah membawakan dalil yang sangat jelas daripada ayat 6 hingga ke ayat 16 di dalam surah tersebut membuktikan Allah yang menciptakan alam ini.

Ayat tersebut memberikan penerangan yang jelas bagaimana Allah S.W.T. menciptakan alam ini dengan begitu hebat sehingga menimbulkan keyakinan kepada mereka yang mahu berfikir.

Salah satu hujah yang sangat mudah ialah, Allah menerangkan bagaimana penciptaan matahari yang digambarkan sebagai sebuah pelita yang terang benderang di dalam ayat yang ke-13 Surah AnNaba’

Maksudnya : Dan telah kami jadikan suatu pelita yang terang benderang.

Setelah terbenamnya matahari, berapa banyakkah lampu yang diperlukan untuk menerangi malam?

Bagaimanakah lampu yang perlu dihasilkan jika ingin mewujudkan cahaya seperti matahari? Meskipun berjuta-juta lampu dihasilkan ianya pasti tidak dapat menggantikan sinar terang benderang matahari yang meliputi alam di siang hari.

Sehinggakan jika ada manusia yang masih ragu-ragu dengan kewujudan neraka, maka ada baiknya cubalah berjemur dan mengkaji matahari yang tidak pernah padam sejak Nabi Adam diturunkan ke muka bumi ini. Matahari bukan sahaja menerangi bumi, bahkan kehadiran cahaya matahari juga dianggap sebagai salah satu keperluan asas bagi tumbuh-tumbuhan untuk terus hidup.

Selain itu juga, kewujudan matahari tersebut, mewujudkan suasana yang selesa bagi manusia untuk tinggal di bumi berbanding planet lain yang mempunyai jarak yang terlalu hampir dengan matahari akan meningkatkan suhu planet tersebut, namun jika terlalu jauh akan menyebabkan suhu yang terlalu rendah dan tidak sesuai untuk kehidupan manusia.

Alangkah pelik dan hairan, setelah Allah membenarkan dan membawakan hujah yang jelas dan terang, atas alasan apakah lagi manusia boleh menolak seruan dan dakwah yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W. selain sifat sombong dan angkuh yang ternyata telah merosakkan bukan sahaja hati seseorang, bahkan merebak ke akal yang menyebabkan manusia tidak mampu berfikir dengan benar.

Justeru, tiada alasan untuk menolak seruan dakwah Islam, sekiranya seseorang itu benar-benar mahu berfikir dan menilai untuk mendapatkan kebenaran. Apa sahaja yang dibawakan oleh Nabi Muhammad S.A.W. samada dalam bentuk tunduk dan patuh kepada perintah Allah atau seruan untuk bersama-sama dalam melakukan kebaikan hendaklah diterima dengan hati yang terbuka.

Kejayaan mempersaudarakan Aus dan Khazraj merupakan satu titik permulaan ke arah kejayaan pembinaan Negara Madinah. Meskipun setiap pihak perlu mengorbankan sesuatu, yakinlah apa sahaja yang dikorbankan di jalan Allah pasti akan dikembalikan dalam kadar yang lebih besar.

Pada hari ini, kita bersyukur dianugerahkan dengan nikmat Islam dan Iman, kita juga mohon kepada Allah S.W.T. agar umat Islam di Malaysia dikurniakan nikmat kesatuan dan perpaduan yang menjadi asas kepada kejayaan Islam yang lebih bermakna, insya-Allah.

Penulis adalah Ketua Penerangan PAS Kawasan Tangga Batu.