Home Berita PAS Perak

Pemuda PAS mesti bersikap ideal, teladani Ashabul Kahfi

29
SHARE

Oleh : Haikal Mohd Noh

Golongan belia atau lebih mesra dikenali pemuda sebenarnya adalah benteng, tonggak negara yang sentiasa menjadi corak baharu sesebuah generasi yang sentiasa berubah mengikut peredaran zaman.

Bila disebut tentang pemuda, menurut penulis mereka ini pastinya sangat sinonim dengan semangat yang berkobar-kobar, mempunyai jiwa yang kental, badan yang sihat serta mempunyai daya fikiran yang segar.

Tidaklah lebih membahagiakan para pemimpin negara melainkan mereka dikurnia, atau mempunyai waris penyambung kepimpinan negara yang sentiasa bersedia untuk tunduk, patuh dan akur kepada perintah Allah swt.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda yang beriman dengan Tuhan mereka; dan Kami tambahkan petunjuk kepada mereka.” (Surah al-Kahfi, ayat 13)

Ketua Pemuda PAS Kawasan Tambun, Ustaz Hafez Sabri menerusi ucapannya dalam perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Pemuda PAS Kawasan Tambun kali ke-34 baru-baru ini ada berkongsi pesanan dan amalan yang mesti diterapkan oleh pemuda supaya menjamin hati mereka hidup dalam jalan dakwah.

Bagi pendapat penulis, nasihatnya mungkin ringkas tetapi intipatinya sangat luas dan sentiasa segar malah ia tidak hanya fokus kepada usaha dakwah, malah ia sesuai untuk difahami dalam pelbagai konteks kehidupan.

Jangan sesekali terfikir untuk meninggalkan perjuangan Islam

Menurut Ustaz Hafez, pemuda yang ideal mesti berfikiran matang dan sentiasa memandang ke depan. Seorang pemuda tidak boleh bertindak tanpa berfikir kerana setiap kelakuannya di zaman pemuda ini, mampu mempengaruhi keputusannya di zaman depan.

Seorang pemuda mesti dididik dengan nilai tarbiyah Islam supaya ia menjadi sekatan atau benteng kepada kelahiran pemikiran yang rosak. Nilai Islam yang diterapkan ini akhirnya akan mampu menginsafkan hati pemuda untuk tidak melakukan kemungkaran kepada Allah.

Bagaimanapun, apabila hatinya subur dengan Islam, nafsunya tidak akan sesekali diam menanti mati. Adanya nafsu untuk menguji, bisikan syaitan menguatkan amarah membantai iman pemuda.

Ya, ada dalam kalangan pemuda pejuang yang sudah ‘tersungkur’ lari daripada landasan perjuangan dan dasar parti. Mereka beranggapan bahawa perjuangan parti tidak selari dengan Islam. Namun bila ditanya apa yang selari dengan Islam, mereka tetap sahaja tidak mampu menafikan keperluan perjuangan PAS dalam arena politik Malaysia.

Dalam nasihat beliau buat para perwakilan pemuda, “jangan sesekali terfikir untuk meninggalkan perjuangan Islam. Jangan berfikir walaupun untuk berhenti seketika daripada perjuangan Islam kerana takut-takut, Allah tidak lagi memilih kita dan akhirnya iman kita sendiri yang ‘kelaparan’.”

Melalui konteks ayat tersebut, penulis beranggapan seorang pemuda yang ingin terlibat dalam perjuangan Islam mestilah dicorakkan untuk memiliki jati diri yang taat kepada Allah seperti tidak meninggalkan solat, beramal ibadah, mempunyai nilai dan akhlak yang soleh, serta jauh dari amalan-amalan yang menuju kemungkaran Allah.

Pemuda pejuang yang ideal juga mesti mempunyai tahap ilmu dan pemahaman agama yang tinggi agar tidak tersasar dari panduan agama demi melahirkan sudut kehidupan yang baik, kemajuan diri, kewangan yang halal, serta berpotensi mengembangkan bakat dan daya pemikiran yang kritikal.

Mengambil iktibar kisah pemuda Ashabul Kahfi, mereka adalah sekelompok pemuda yang mampu berfikir antara dua darjat baik dan buruk. Mereka mampu berhujah dan memberi pandangan kepada pemerintah zalim. Namun, pemerintah tersebut menghalang mereka dan mengancam mereka dari terus menyebarkan kebenaran.

Di dalam lindungan Allah, mereka bersembunyi dan ditidurkan Allah selama 3 abad, atau 309 tahun sesuai dengan firman Allah dalam surah al-Kahfi ayat 25 yang bermaksud: “Dan mereka telah tinggal tidur dalam gua mereka :tiga ratus tahun (dengan kiraan ahli kitab) dan sembilan lagi (dengan kiraan kamu)”.

Namun begitu, jumlah tahun mereka ditidurkan hanyalah diketahui oleh Allah menerusi firman-Nya : “Katakanlah (wahai Muhammad): “Allah jua yang mengetahui tentang masa mereka tidur; bagiNya-lah tertentu ilmu pengetahuan segala rahsia langit dan bumi; terang sungguh penglihatanNya dan jelas sungguh pendengaranNya (terhadap segala-galanya)! Tidak ada bagi penduduk langit dan bumi pengurus selain daripadaNya) dan ia tidak menjadikan sesiapapun masuk campur dalam hukumNya”. (Surah al-Kahfi, ayat 26)

Mengambil iktibar dari kisah ini, seorang pemuda tidak boleh menjadi alat kepada kezaliman pemerintah dalam apa jua cara sekalipun! Begitu juga dengan kemajuan teknologi seperti video game, aplikasi dalam talian seperti WeChat, TikTok dan lain-lain yang mengasyikkan dan melalaikan kita daripada memahami matlamat perjuangan Islam yang sebenar.

Memetik kata-kata Imam Hassan al-Banna, “Asas keimanan adalah hati yang bersih, asas keikhlasan ialah jiwa yang suci, asas semangat ialah keinginan yang kuat, asas usaha ialah keazaman yang membara dan semua sifat ini tidak wujud kecuali pada diri seorang pemuda.”

Sebagai kesimpulan, tidaklah haram untuk kita memasuki dunia dan berjiwa kepemudaan. Tetapi ia mestilah dihujani dengan ilmu dan amal agar kita berjaya mencorakkan pemuda dengan nilai Islam. Bila kita hendak menarik jiwa pemuda, pemudalah yang mesti mengikut kita, bukan kita yang mengikut pemuda semahunya.