Home Rencana PAS Melaka

Rencana | Melayu dan skim cepat kaya

104
SHARE


Oleh HAWA YAAKUB

SEJAK akhir-akhir ini, skim-skim cepat kaya kembali pupular. Kali ini mereka hadir dalam pelbagai nama dan jenama. Ada juga yang melabelkan skim ‘pelaburan’ mereka dengan ‘Private Placement’.

Apa pun nama yang mereka gunakan, mereka mempunyai ciri-ciri yang sama iaitu:

• ‘Dividen’ bulanan setinggi 3 – 5 peratus (atau lebih!)

• Tiada portfolio pelaburan yang jelas dan definitif.

Apa yang setiap pelabur perlu fahami ialah di sebalik setiap skim pelaburan, mesti wujud satu atau lebih perniagaan yang sah di belakangnya.

Untuk sesebuah perniagaan mendapat keuntungan, mesti ada pelanggan atau consumer yang membeli barangan atau perkhidmatan yang mereka tawarkan.

Satu lagi fakta yang perlu diingat ialah setiap perniagaan pasti akan ada saingan.

Secara logiknya, pengguna akan memilih barangan atau perkhidmatan yang lebih murah (value for money).

Ini akan menjadikan penjual atau penyedia perkhidmatan akan menurunkan harga barang atau perkhidmatan mereka untuk menjadi kompetetif.

Adalah amat meragukan jika sesuatu perniagaan boleh memberi pulangan setinggi 36 -84 peratus setahun kepada pemegang sahamnya secara konsisten. Itu belum termasuk kos-kos lain yang perlu ditanggung oleh perniagaan tersebut termasuklah komisen yang sangat tinggi juga kepada ejen-ejen mereka.

Margin keuntungan yang terlalu tinggi akan menyebabkan pengguna memilih untuk membeli daripada pesaing yang menawarkan harga yang lebih kompetetif. Kesudahannya, perniagaan yang menjanjikan dividen yang tinggi itu akan menjadi out-of-business.

Dalam dunia perniagaan sekarang, semua syarikat berlumba-lumba untuk mengurangkan margin keuntungan untuk menjadi lebih kompetetif. Secara tidak langsung menjadikan skim-skim pelaburan yang menjanjikan dividen luar biasa ini tidak relevan dan tidak masuk akal.

Fatwa

Tanpa maklumat yang sahih di mana pelaburan itu dibuat, ianya menjadikan skim-skim tersebut gharar. Dalam istilah perundangan Islam, gharar dikaitkan dengan kontrak jual beli yang diharamkan kerana mengandungi unsur-unsur keraguan yang mungkin akan menyebabkan perselisihan antara pembeli dan penjual.

Selain elemen gharar, terdapat juga elemen maisir di dalam skim-skim terbabit. Maisir bermaksud memperolehi sesuatu dengan mudah atau memperolehi keuntungan tanpa usaha.

Islam melarang semua bentuk urusniaga di mana keuntungan diperolehi hanya berdasarkan nasib dan bukannya dengan usaha gigih.

Maisir dalam bahasa Arab bererti memperoleh sesuatu dengan sangat mudah tanpa kerja keras atau mendapat keuntungan tanpa bekerja. Dalam bahasa Melayu, maisir juga dikenali sebagai judi.

Pada tahun 2005, Jawatankuasa Fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan telah memutuskan bahawa hukum terhadap Skim Cepat Kaya adalah haram kerana ia mengandungi unsur-unsur judi, riba, gharar dan tadlis. Dan umat Islam dilarang daripada terlibat dengan skim ini.

Sistem ponzi dan perniagaan haram

Ada beberapa kemungkinan dari mana sumber ‘dividen’ yang tinggi ini diperolehi. Pertama, ia mungkin datang daripada ‘pelabur-pelabur’ yang baru menyertai skim-skim ini. Wang daripada ‘pelabur’ baharu akan digunakan untuk memberikan ‘dividen’ kepada ‘pelabur’ yang menyertai lebih awal. Cara ini dinamakan ‘ponzi’.

Ini bermakna selagi ada ‘pelabur’ baharu, skim-skim ini akan boleh diteruskan. Ia akan gagal sekiranya ‘ahli’ sudah terlalu ramai dan kemasukan ‘pelabur’ baharu tidak dapat menampung bayaran ‘dividen’ yang dijanjikan kepada semua ‘pelabur’.

‘Pelabur-pelabur’ yang terkemudian ini mungkin hilang semua wang pelaburan mereka. Lebih parah lagi jika wang tersebut adalah pinjaman daripada pihak bank, individu ataupun ‘ah long’ yang bukan sahaja mengakibatkan mereka terpaksa menanggung kerugian, malah juga hutang yang besar.

Kedua, ‘keuntungan’ ini mungkin juga datang daripada perniagaan-perniagaan yang menyalahi undang-undang dan hukum syarak seperti penyeludupan, pengedaran dadah, pelacuran dan pemerdagangan manusia.

Perniagaan-perniagaan haram seperti ini wujud dan kadangkala mereka menggunakan pendaftaran perniagaan yang sah bagi mengaburi mata pihak berkuasa mengenai aktiviti mereka yang sebenar.

Sebanyak 2219 kes pemerdagangan orang telah dilaporkan antara 2011 hingga September 2019. Dari tahun 2012 hingga 2017, terdapat 482 kes kanak-kanak bawah umur 12 tahun dilaporkan hilang di Malaysia.

Pada tahun 2017 sahaja, purata empat orang kanak-kanak hilang setiap hari di Malaysia. Pada tahun 2020 sahaja, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) telah melaporkan seramai 128,325 individu telah dikesan sebagai penyalahguna dan penagih dadah dan bahan terlarang.

Apa yang lebih menyedihkan, daripada jumlah ini, sebanyak 76.9 peratus atau 98,652 individu adalah orang Melayu.

Pada 10 September tahun lalu sahaja, polis telah menumpaskan satu sindiket penyeludupan dadah antarabangsa apabila merampas 12 tan kokain dicampur dengan arang batu bernilai RM2.4 bilion dalam tiga kontena di Terminal Kargo Utara Butterworth, Pulau Pinang.

Ini hanyalah satu kes dalam satu hari di satu negeri di Malaysia. Bayangkan betapa besarnya aktiviti-aktiviti perniagaan haram yang beroperasi dalam negara kita.

Kes-kes terdahulu

Pada Disember 2017, semakonline.com telah melaporkan bahawa seramai 974,301 individu telah menjadi mangsa 30 syarikat skim cepat kaya membabitkan RM3.8 bilion! Angka ini telah disahkan oleh rekod Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman.

30 syarikat tersebut adalah:

1. MGSB
2. Capital Foster Advisor.
3. Pelaburan Emas Royal Gold.
4. Kongsi Makan.
5. Richway
6. Monspace
7. MFace/MBI
8. Saham – Century Dinasty.
9. Bookcoin
10. Bitcoin – Al-Mubin Agarwood.
11. Bitcoin – Bit Kingdom.
12. MI1 Global Sdn Bhd.
13. ZG Space City (M) Sdn Bhd.
14. Farbel High Ventures/Farbel Rich
15. Roopers Burger.
16. Pro Vending Machine.
17. Saham.500 Plus.
18. Kopi Pak Belalang.
19. NHA Strategic Holding Bhd.
20. Dana Kesultanan Raja-Raja Dan Pelaburan Food Truck.
21. Yayasan PBI 9PBI World Berhad.
22. Pelaburan Saham Myzia Coin.
23. Pelaburan AGR Holding.
24. Forex – FXUnited
25. Forex – Trigerfx.
26. Pelaburan Bitclub
27. Pelaburan Feenra Gold & Resources.
28. Pelaburan PTM4U.
29. Pelaburan Jihad Farisya Ventures.
30. Pelaburan Mines And Metals.

Nama-nama ini sangat sinonim dengan orang Melayu dan sering kita dengari di kalangan kawan-kawan kita yang menyertai dan mengajak untuk menyertai mereka.

Rencana ini juga disiarkan di Harakah cetak bertarikh 15 Oktober 2021

 

Antara modus operandi yang biasa digunakan oleh skim-skim ini ialah mengajak ahli keluarga dan rakan-rakan melalui media sosial.

Mangsa biasanya terliur dengan janji-janji keuntungan yang lumayan. Seterusnya, mangsa yang berminat akan menyertai pertemuan atau ceramah oleh syarikat ‘pelaburan’ terbabit sebelum mereka membuat ‘pelaburan’.

Walaupun pihak berkuasa telah menumpaskan banyak skim cepat kaya ini, namum masih terdapat banyak lagi yang masih beroperasi melibatkan tidak sedikit jumlah wang dan bilangan individu.

Adalah sesuatu yang amat malang bagi sesetengah orang Melayu kerana tidak pernah belajar daripada kesilapan. Sifat tamak dan malas untuk berusaha adalah antara faktor utama mereka mencari jalan pintas untuk meraih kekayaan.

Dasar Ekonomi Baru dan sikap orang Melayu

Pada tahun 1971, kerajaan telah mensasarkan 30 peratus pemilikan ekuiti Bumiputra melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang telah tamat pada 1991. Namun sehingga tahun 2021, hanya 16 peratus sahaja ekuiti tempatan dimiliki oleh Bumiputra.

Angka itu masih amat jauh daripada sasaran 30 peratus (yang sepatutnya dicapai pada tahun 1991!) dek kerana sikap orang Melayu yang lebih suka mempercayai skim-skim cepat kaya berbanding pelbagai instrumen pelaburan yang sah yang ditawarkan di pasaran modal. Sedangkan bangsa lain berebut-rebut memegang saham-saham ekuiti yang sah di negara kita.

Keberkatan

Di saat hampir sejuta mangsa skim cepat kaya (pada tahun 2017 sahaja!) terpaksa menanggung kerugian yang amat besar, masih ada yang mengatakan mereka meraih keuntungan yang besar daripada skim-skim ini.

Persoalannya, adakah terdapat keberkatan ‘rezeki’ daripada sumber-sumber ini? Adalah amat menghairankan apabila masih ramai umat Islam yang mengenepikan faktor keberkatan dibandingkan dengan keuntungan dunia yang amat sementara sifatnya.

Apatah lagi jika ketidakberkatan itu boleh mengundang kemurkaan Allah SWT dan mengakibatkan diri atau orang yang kita sayangi ditimpa musibah. Na’uzubillahi min zalik!

Tidakkah kita terfikir yang kita mungkin menyumbang secara tidak langsung kepada ‘perniagaan-perniagaan haram’ itu dan satu hari nanti mungkin saja dibalas oleh Allah SWT apabila ada ahli keluarga kita yang menjadi mangsa sindiket-sindiket tersebut?

Adakah apabila anak kita atau anak saudara kita hilang dan tidak dapat dicari, baru kita akan sedar dan insaf bahawa wang yang banyak pun sudah tidak berguna lagi? Bahkan menangis air mata darah sekalipun tidak adakan dapat mengembalikan orang yang kita sayangi.

Minta dijauhkan oleh Allah sekali lagi! Atau tidakkan kita terfikir bahawa kita telah melakukan suatu kezaliman yang amat besar kepada mangsa sindiket-sindiket tersebut dengan cara menyumbang secara tidak langsung kepada kejahatan mereka?

Walaupun mungkin ada yang mengatakan teori ini keterlaluan, namun kemungkinannya tetap ada dan Islam melarang umatnya melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti yang melibatkan gharar.

Penutup

Akhir kalam, jadilah pelabur yang bijak dan hindarilah skim-skim cepat kaya yang tidak masuk akal. Sesungguhnya skim-skim ini sudah menyebabkan mudarat yang amat besar kepada umat Islam. Janganlah kita menjadi penyumbang kepada penambahan mudarat. Bertakwalah kepada Allah kerana takwa yang sebenar-benarnya akan menjauhkan kita daripada terjebak dengan perkara-perkara yang haram dan syubhah.

Penulis adalah seorang perunding kewangan berlesen