Home Berita PAS Kedah

Tan Sri Syed Mokhta Al-Bukhary vs17 Bilionair

160
SHARE

 

Terselit nama Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary dalam senarai 18 bilionair Malaysia yang dikeluarkan oleh Forbes 2023.

Perasaan bangga dan hairan apabila melihat hanya beliau satu-satunya usahawan bumiputera yang tersenarai dengan nilai kekayaan RM7.03 bilion.

Bangga kerana sebagai individu yang memiliki aset jutaan ringgit, beliau telah memberikan sumbangan yang besar dalam membantu meningkatkan taraf hidup orang Melayu. Antaranya:

1) Tubuh Yayasan Al-Bukhary yang telah membantu ratusan orang Melayu dan Bumiputera tidak berkemampuan untuk mendapatkan pendidikan yang lebih baik.

2) Bantu usahawan dan syarikat Melayu dalam memperoleh peluang perniagaan dengan memberikan sokongan dan bantuan kewangan.

3) Bina Muzium Kesenian Islam untuk membiayai golongan fakir serta imam, bilal, dan siak masjid untuk menunaikan haji.

4) Bina Kompleks Al-Bukhary di mana terletaknya rumah anak-anak yatim, rumah orang-orang tua, tadika, sekolah, universiti dan sebagainya yang ditanggung penuh oleh beliau dan banyak lagi.

Sungguh besar sumbangan beliau terhadap Bumiputera terutama orang Islam melalui zakat yang dibayarnya.

Namun, sedikit rasa terkilan dan hairan apabila menyedari hakikat bahawa 17 daripada 18 individu paling kaya itu merupakan bukan Bumiputera. Bagaimanakah PMX boleh mengatakan bahawa orang Melayu angkuh?

Menurut senarai itu, Robert Kuok mengekalkan kedudukannya sebagai orang terkaya di Malaysia dengan nilai kekayaan mencecah RM51.88 bilion.

Dua bilionair daripada industri perjudian – Lim Kok Thay, pengerusi Kumpulan Genting, dan Dr Chen Lip Keong dari Kumpulan Naga juga tersenarai masing-masing dengan jumlah kekayaan RM7.9 bilion 12.3 bilion.

Jika masih ingat, PMX pada awal-awal sidang medianya sebagai Perdana Menteri telah “menegur” pemilik Bernas (Syed Mokhtar Al-Bukhary) berhubung monopoli import beras oleh Bernas. Kemudian ditimbulkan pula isu pengecualian cukai Yayasan Al-Bukhary.

Tiada masalah jika PMX ingin memastikan ketelusan dan membenarkan persaingan adil dalam kalangan syarikat Bumiputera. Namun, sehingga hari ini kita tidak mendengar apa-apa tindakan mahupun teguran daripada kerajaan dalam mengatasi monopoli taikun bangsa lain.

Kita juga tidak menafikan bahawa wujudnya monopoli barang oleh golongan kapitalis ekonomi tetapi kenapa hanya syarikat Bumiputera yang menjadi sasaran sedangkan hampir kesemua individu yang paling kaya di Malaysia adalah bukan Bumiputera.

YB USTAZ MOHD AZAM BIN ABD SAMAT

Ketua Penerangan PAS Kedah

ADUN Sungai Limau

7 April 2023