PASIR MAS, 3 April: Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri Kelantan, YB Dato’ Panglima Perang Dato’ Mohd Nassuruddin Daud mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Telekom Malaysia (TM) Kelantan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan atas kebijaksanaan meraih pahala pemula Ramadan dengan bersedekah.
Dato’ Mohd Nassuruddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meranti berkata, amalan bersedekah yang amat mulia dilaksanakan pihak korporat, agensi kerajaan dan pihak swasta ini sewajarnya diberi kredit untuk dicontohi pihak lain sebagai motivasi untuk terus “berdengki” dalam hal melipatgandakan pahala di bulan paling istimewa ini.
“Ada dua perkara berkaitan dengki yang jika dibuat, dapat pahala iaitu berdengki apabila melihat orang lain gigih menimba ilmu, kita pun hendak buat begitu.
“Satu lagi dengki yang baik ialah apabila tahu ada dermawan yang suka dan banyak bersedekah, kita pun segera melakukannya dengan berlipat ganda.
“Para dermawan yang beramal kebajikan sambil berpuasa ini diberi ganjaran istimewa oleh Allah SWT dan diseru ke syurga melalui pintu khas bernama Ar-Rayyan,” katanya ketika merasmikan Program Agihan Bantuan Ramadan KPDNHEP dan Zakat TM anjuran Kelab Tani-Ternak Pasir Mas (KITABINA), hari ini.
Program berlangsung di Pejabat Operasi KITABINA dengan kerjasama Pejabat Ahli Parlimen Pasir Mas itu berjaya meraikan 30 asnaf dalam kalangan mualaf, golongan B40 dan fakir dengan sumbangan zakat TM sebanyak RM100 seorang berserta barangan dometik sumbangan Food Bank, KPDNHEP dan bakul makanan tajaan Crown Diamond Agency (CDA).
Turut hadir, Pengurus TM Kelantan, Daros Stam mewakili Pengurus Besar Rozainee Muhamad, bersama Naib Yang DiPertua Badan Kebajikan Islam TM (BAKIT) Negeri Kelantan, Kaslimi Awang.
Terdahulu, TM yang komited menyokong Kerajaan Negeri telah melaksanakan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) iaitu pada Februari lalu, TM mengagihkan sumbangan kepada para pelajar asnaf bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijang dan Pengkalan Kubor.
Seterusnya, pada 15 Mac, TM menyumbangkan RM22 ribu kepada 85 pelajar Yayasan Islam Kelantan (YIK).