Home DHPP

Tahniah Kepada PAS Atas Faktor ‘Wow’ Yang Diwujudkan Dengan Pelantikan YB Senator Tuan N.Balasubramaniam Sebagai Ahli Dewan Negara

1424
SHARE

TAHNIAH KEPADA PAS ATAS FAKTOR ‘WOW’ YANG DIWUJUDKAN DENGAN PELANTIKAN YB SENATOR TUAN N. BALASUBRAMANIAM SEBAGAI AHLI DEWAN NEGARA

Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Negeri Terengganu mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada YB Senator Tuan N. Balasubramaniam, Ketua Dewan Himpunan Pendukung PAS Pusat (DHPP) atas pelantikan sebagai Ahli Dewan Negara.

DHPP Negeri Terengganu juga merakamkan penghargaan yang tidak terhingga kepada Presiden PAS, YB Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan pimpinan PAS atas kepercayaan yang diamanahkan kepada DHPP dan masyarakat bukan Islam untuk terlibat secara langsung dalam mengorak langkah mendokong PAS, menjaga dengan menyeluruh hak, kepentingan dan kebajikan bukan Islam agar rahmat dinikmati semua.

Pelantikan YB Senator Tuan N. Balasubramaniam merupakan satu penghormatan yang bakal menonjolkan DHPP sebagai satu entiti politik yang akan menjadi cabaran kepada badan politik bukan Islam yang sedia ada supaya berteraskan kepimpinan yang mengambilkira perhitungan dosa dan pahala.

Ia akan mewujudkan keyakinan kepada pengundi bukan Islam untuk memberi kepercayaan kepada PAS memimpin negara dengan keberkatan dan secara langsung meranapkan pemikiran segelintir ahli politik yang berpendapat bahawa PAS mempergunakan DHPP hanya untuk meraih undi bukan Islam.

Pelantikan ini juga menjadi satu detik sejarah yang sungguh bermakna buat DHPP di mana buat pertama kali, seorang bukan Islam mewakili PAS dalam Dewan Negara. DHPP Terengganu menaruh harapan kepada YB Senator Tuan N. Balasubramaniam untuk menonjolkan kepada kita semua bahawa keadilan yang disirami dengan kasih sayang menjadi tonggak utama pentadbiran Islam yang dibawa oleh PAS. DHPP akan berusaha menjadi jambatan yang menghubungkan warga bukan Islam dengan pemimpin PAS dalam merealisasikan prinsip Islam memimpin perpaduan di Malaysia.

Semoga YB Senator Tuan N. Balasubramanian dipermudahkan segala urusan utk memainkan peranan yang aktif dalam membendung isu perkauman yang cukup menggugat perpaduan kaum di negara ini serta menjadikan Malaysia Selamat, Harmoni, Berkat dan Sejahtera.

Dr Balachandran G Krishnan
Ketua Penerangan
Dewan Himpunan Pendukung PAS Pusat
Ketua Dewan Himpunan Pendukung PAS Negeri Terengganu
17 Jun 2020