Home Berita DHPP

DHPP perjelas isu berkaitan PAS kepada non-Muslim – Dr Balachandran

95
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 22 Jun : Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) akan bekerjasama dengan Penerangan PAS Pusat untuk menerbit bahan-bahan yang berkaitan dengan Hal Ehwal Bukan Islam.

Demikian dinyatakan Ketua Penerangan DHPP Pusat, Dr Balachandran Gopal Krishnan ketika dihubungi Berita PAS semalam.

Menurut beliau cara pendekatan dan penyampaian PAS mesti mewujudkan suasana positif supaya parti ini dihormati dan disegani.

“Pimpinan PAS kena cakna bila berinteraksi dengan bukan Islam dan bukan Melayu sebab kaedah penyampaian dan pendekatan maklumat kepada mereka berbeza dengan kaedah kepada Melayu Muslim.

“Sebarang pencerahan yang melibatkan non-Muslim harus dirujuk kepada DHPP sebelum ia disiarkan untuk menentukan kesahihan fakta serta menjaga sensitiviti non-Muslim,” ujar beliau.

Menurut Dr Balachandran, semua pihak harus memahami bahawa memang terdapat perbezaan pemikiran dan cara berfikir apabila terdapat perbezaan demografi dan geografi.

Tambah beliau, orang di Pantai Barat contohnya mempunyai cara berfikir yang berbeza dengan orang Pantai Timur, apatah lagi jika dibandingkan antara orang Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak.

“Penerangan kita perlu dengan tahap pemikiran pendengar agar ia jelas dan mantap,” ujar beliau lagi.

Beliau yang juga Pegawai Khas Kepada Menteri Besar Terengganu itu juga berkata aktivis PAS perlu akur bahawa dalam berkongsi maklumat, jangan sampai membuka peluang untuk lawan ambil kesempatan.

“Tak perlu kita dedah semua maklumat. Kita perlu bertindak mengikut keperluan. Kita perlu mempertahankan dasar parti dan merujuk kepada pimpinan bila kita menangani sebarang fitnah.

“Kita perlu didik masyarakat dengan sumber yang boleh dipercayai. Kita kena ikhtiar dengan menguasai fikiran orang ramai yang terdedah dengan maklumat fitnah,” ujar beliau lagi.