Home Ketua Penerangan PAS Pusat

Tahniah Keluarga Malaysia, strategi vaksinasi membuahkan hasil

134
SHARE

TAHNIAH KELUARGA MALAYSIA, STRATEGI VAKSINASI MEMBUAHKAN HASIL

Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua pihak terutama Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) serta rakyat keseluruhannya atas partisipasi menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

PICK yang dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri ke-8 pada 24 Februari 2021 dengan peruntukan sebanyak RM5 bilion asalnya menyasarkan vaksinasi 80 peratus populasi dewasa menjelang Februari 2022. Namun hasil kerja keras bersama, perkara ini berjaya dicapai lebih awal iaitu pada 21 September 2021.

Kejayaan vaksinasi ini telah membuahkan hasil apabila kes kemasukan pesakit kategori tiga hingga lima ke hospital mencatat penurunan ketara. Selain sektor kesihatan, perkara ini turut menjadi berita gembira buat sektor ekonomi negara.

Selari dengan Pelan Pemulihan Negara (PPN), kini lebih banyak kelonggaran diberikan kepada sektor ekonomi untuk beroperasi. Perkembangan ini sedikit sebanyak membantu ekonomi Malaysia yang dijangka pulih secara kukuh tahun depan dengan berkembang 6.7 peratus sejajar pemulihan serantau dan global.

Sektor sosial juga turut diberi perhatian dengan kebenaran rentas negeri di seluruh negara akan diumumkan dalam tempoh terdekat setelah vaksinasi negara mencapai 90 peratus.

Kejayaan mengimbangi krisis kesihatan sosial serta ekonomi menerusi strategi pemberian vaksinasi ini adalah hasil kesungguhan serta kerjasama seluruh Keluarga Malaysia. Teruskan menjaga prosedur operasi standard (SOP) di samping membantu dalam usaha pemulihan negara.

‘Islam Memperkukuh Perpaduan’

KAMARUZAMAN MOHAMAD
Ketua Penerangan,
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
10 Oktober 2021 | 3 Rabiulawal 1443