Oleh IBNU JANIE
MASJID TANAH, 16 Mac : “Terima kasih dan tahniah buat coach Fadzil, Efizah Mohtar Rasali dan seluruh tim Malakat Mall serta insan-insan yang sebelum ini bertanggungjawab secara langsung dan tidak langsung dalam membantu membawa Malakat Mall ke Masjid Tanah.”
Demikian dinyatakan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin dalam satu hantaran di Facebook beliau sebentar tadi.
Beliau menulis catatan ini selepas melakukan lawatan ke Pasar Raya Malakat Mall Masjid Tanah, sebuah pasar raya milik Melayu-Muslim yang baru dibuka Sabtu lepas.
Dalam catatannya itu beliau turut melahirkan kekaguman kerana pasar raya itu mampu menjual banyak item keperluan harian dengan harga yang murah.
“Masya-Allah, jam 10.00 pagi pun dah ramai yang beli barang keperluan. Harganya pun murah. Ayam RM6.30 sekilo, ikan dan barang basah yang lain pun murah juga.
“Dah selesai tawaf satu Malakat Mall, saya hubungi Coach Fadzil. Saya tengok sendiri macam mana meriahnya sambutan masyarakat setempat terhadap Malakat Mall ini,” ujar beliau dalam catatan itu.
Kata beliau lagi, baru empat hari pasar raya ini beroperasi tim Malakat Mall dilihat tidak menang tangan dengan sambutan orang ramai.
“Rata-rata yang saya tanya tadi hampir semua nyatakan kegembiraan dan bersyukur dengan pembukaan pasar raya ini. Barang yang diletakkan atas rak juga banyak yang licin. Menunjukkan kuasa membeli orang kita juga tinggi.
“Insya-Allah sebarang kekurangan akan diberi perhatian oleh pihak pengurusan dan saya percaya mereka akan menambah baik keadaan ini dari masa ke masa.
“Kita sama-sama doakan semoga Malakat Mall Masjid Tanah akan berjaya. Malah produk orang kita juga akan berkembang maju dengan adanya sokongan bersama daripada Malakat Mall ini terutama sekali usahawan untuk produk IKS Masjid Tanah,” ujar beliau lagi.
Mas Ermieyati turut memaklumkan bahawa mana-mana pengusaha produk IKS yang mahu membekalkan produk untuk dipasarkan di pasar raya ini boleh terus menghubungi pegawai bertanggungjawab, Herda, di talian 0126271146.
“Kalau tengok balik, bukan mudah untuk realisasikan pasar raya ini, tapi akhirnya Malakat Mall tersergam menjadi realiti.
“Jangan lupa juga menjadi sebahagian daripada keluarga dan pemilik Malakat Mall ini dengan menyertai sebagai ahli di KOPPIM (Koperasi Pengguna Islam Malaysia). Teruskan membeli belah di Mall Milik kita!!,” seru beliau.
Kredit foto : Facebook Mas Ermieyati Samsudin