Home Kenyataan Media PAS Sarawak

Tahniah Anak Sarawak

349 views
SHARE

Tahniah dan syabas diucapkan kepada anak tempatan Sarawak iaitu adik Najmi Asyraf Abdul Halim dan adik Jad Haris Sabaruddin atas kejayaan mereka menempa nama di persada dunia dengan menjuarai Pertandingan Matematik Dunia (WMC2017) di Manila pada 22 hingga 23 April lepas bagi kategori peringkat 2 dan peringkat 4.

Dilaporkan seramai 23 peserta lain dari negeri Sarawak juga menyertai pertandingan tersebut dimana pertandingan itu terbuka kepada negara-negara yang mengikuti pembelajaran Kaedah Matematik Sakamoto dari Jepun. Adik-adik lain turut mewakili Malaysia tidak kurang hebatnya dengan memenangi pingat perak seramai empat orang manakala seramai lapan belas orang berjaya mendapat gangsa.

Kejayaan mereka merupakan satu kebanggaan kepada anak tempatan dan memberi semangat motivasi kepada pelajar-pelajar yang lain bahawa mengukir nama di arena antarabangsa tidak mustahil jika berusaha bersungguh-sungguh. Benarlah pepatah arab menyebut “Man jadda wa jada”, sesiapa yang berusaha pasti akan dapat apa yang diusahakannya dengan izin Allah.

Lebih membanggakan salah seorang peserta yang menjuarai pertandingan tersebut iaitu Jad Haris, merupakan pelajar tahfiz dari sekolah Maahad Tahfiz Tun Abdul Rahman Yakub. Kejayaan adik ini telah membuka mata kepada rakyat Malaysia bahawa pelajar dari tahfiz juga berkebolehan dan berdaya kompetitif di peringkat global. Ini membuktikan pelajar tahfiz bukan sahaja mampu menghafaz Kalamullah, bahkan mampu menguasai bidang sains dan teknologi.

Kami menyeru agar kerajaan negeri mengambil peluang perkembangan positif dari segi kebolehan dan keupayaan institusi tahfiz dengan menambah bilangan institusi-institusi tersebut terutamanya di dalam Sarawak. Selain itu, kami turut menyaran agar pihak kerajaan memberi bantuan, dorongan dan insentif tidak berbelah bagi kepada institusi sekolah ini agar mereka berupaya menjadi setara sekolah kluster dan berprestasi tinggi di masa hadapan.

Sekali lagi kami Dewan Muslimat Negeri Sarawak ingin merakamkan ucapan tahniah kepada pemenang-pemenang, guru-guru serta ibubapa yang turut memberi galakan dan dorongan kepada anak-anak ini sehingga berjaya. Semoga kejayaan ini menambah lagi golongan ulul albab sekali gus mengembalikan kegemilangan Islam zaman silam.