Home Berita PAS Kelantan

Tafakkur dan Tafaqquh Juz 26

548
SHARE

TAFAKKUR hari ini meneliti salah satu tanda kekuasaan Allah S.W.T pada penciptaan langit yang mana ia ditegakkan tanpa sebarang tiang dan dilengkapi dengan pelbagai perhiasan. Allah menjelaskan kebesaran ini melalui firman-Nya:

أَفَلَمْ يَنْظُرُوا إِلَى السَّمَاءِ فَوْقَهُمْ كَيْفَ بَنَيْنَاهَا وَزَيَّنَّاهَا وَمَا لَهَا مِنْ فُرُوجٍ

“Tidakkah mereka memandang ke langit yang ada di sebelah atas mereka (dengan tidak bertiang) bagaimana Kami membinanya (dengan rapi) serta Kami menghiasinya (dengan bintang-bintang), dan dengan keadaan tidak ada padanya sebarang keretakan?”

[Qaf: 6]

Al-Syahid Sayyid Qutb dalam Tafsirnya Fi Zhilal al-Quran menyatakan bahawa Allah S.W.T menitahkan kepada seluruh hamba-Nya supaya memikirkan tentang keajaiban kejadian langit yang disebut berulang-ulang kali dalam al-Quran. Hal ini membuktikan kebesaran penciptaan langit yang mesti diteliti akan hikmah di sebalik penciptaannya.

Sesungguhnya, langit diangkat tanpa tiang, dihiasi dengan bintang-bintang dan dibentangkan dengan seluas-luasnya. Ruang langit dijadikan luas kerana fitrah dan sifat makhluk-makhluk dalam ruang langit memerlukan jarak yang jauh antara satu makhluk dengan makhluk lainnya agar tidak bertembung.

Ahli-ahli Astronomi yang melakukan pemerhatian terhadap langit menyatakan melalui hasil pencerapan didapati berlakunya perbezaan ketara jarak di antara galaksi-galaksi disebabkan oleh pengembangan alam semesta yang menandakan kejadian peluasan langit. Berdasarkan kajian juga mendapati sistem binaan langit yang tidak bertiang ini dibentuk oleh partikel-partikel asap kerana sebelum langit dijadikan ia berasal dari kepulan asap. Setiap daripada partikel tersebut memiliki fungsi dan tugasnya masing-masing.

Allah S.W.T dengan kebesaran-Nya juga memberi perkhabaran bahawa Dia mampu menjadikan langit itu retak dan merekah ketika berlakunya Hari Kiamat nanti. Oleh yang demikian, manusia sewajibnya meneliti ibrah serta hikmah daripada penciptaan langit ini agar mereka boleh tunduk dan patuh kepada Allah S.W.T tanpa sebarang keraguan.

USTAZ DATO’ BENTARA KANAN MENTERI BESAR KELANTAN
26 Ramadan 1439H