Home Berita PAS Kelantan

Tafakkur dan Tafaqquh Juz 15

506
SHARE

TAFAKKUR pada hari ini memfokuskan satu ayat berkaitan kebangkitan semula manusia setelah kematian. Golongan yang tidak beriman dengan hari akhirat akan menafikan adanya hari kebangkitan dan menganggapnya perkara mustahil. Firman Allah S.W.T:

وَقَالُوا أَإِذَا كُنَّا عِظَامًا وَرُفَاتًا أَإِنَّا لَمَبْعُوثُونَ خَلْقًا جَدِيدًا

“Dan mereka berkata: adakah sesudah kita menjadi tulang dan benda yang reput, kita akan dibangkitkan semula dengan kejadian yang baharu?”

[al-Isra’: 49]

Jika kita mengkaji kandungan badan manusia ianya terdiri daripada jutaan sel. Sel-sel yang berkumpul membentuk lapisan demi lapisan. Lapisan sel inilah yang akhirnya membentuk tisu dan organ seperti jantung, kulit dan hati.

Apabila seseorang itu mati, jantungnya akan berhenti mengepam darah ke seluruh badan. Sel-sel badan tidak lagi menerima oksigen yang diangkut oleh darah. Akibat ketiadaan oksigen, semua sel akan mati. Sel yang telah mati tidak mampu melawan bakteria lalu memusnahkan dirinya.

Setelah jasad yang mati dikebumikan, ia akan berlaku beberapa fasa pereputan yang menyebabkan enzim yang terdapat dalam badan akan menghadamkan badan sendiri. Setelah itu berlaku pembusukan disebabkan oksigen sudah tiada dalam mayat. Keadaan ini menggalakkan pertumbuhan dan pembiakan bakteria yang akhirnya menyebabkan mayat mereput dan yang tinggal hanyalah tisu-tisu keras seperti tulang dan gigi, kemudiannya ia turut hancur kesemua sekali.

Persoalannya, bagaimana jasad yang hancur luluh boleh dibangkitkan kembali? Hal ini jika diukur dengan akal fikiran manusia, ianya mustahil, akan tetapi perihal agama tidak boleh diukur dengan akal semata-mata. Pada hari kiamat nanti, manusia akan dibangkitkan sejak manusia pertama, Nabi Adam A.S hinggalah manusia terakhir.

Mereka akan dikumpulkan untuk dihisab amal perbuatannya oleh Allah S.W.T. Kebangkitan semula manusia teramat mudah bagi Allah apatah lagi kajian moden turut membuktikan bahawa tulang sulbi yang ada pada manusia tidak akan hancur dimakan tanah dan proses pembentukan semula boleh berlaku melaluinya.

Tafaqquhlah ayat al-Quran.

USTAZ DATO’ BENTARA KANAN MENTERI BESAR KELANTAN
15 Ramadan 1439H