Home Berita PAS Kelantan

Tafakkur dan Tafaqquh Juz 10

497
SHARE

PENELITIAN terhadap kandungan ayat-ayat suci al-Quran membolehkan seseorang itu memperolehi pelbagai pengetahuan yang sangat mendalam. Al-Quran merupakan khazanah ilmu yang sangat unik selain ianya adalah mukjizat kenabian.

Umpamanya al-Quran ada menyebut tentang keperluan manusia memiliki binatang tunggangan yang pantas seperti kuda bagi kegunaan dalam bertempur sebagaimana dalam Firman Allah S.W.T:

وَأَعِدُّوا لَهُمْ مَا اسْتَطَعْتُمْ مِنْ قُوَّةٍ وَمِنْ رِبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ وَآخَرِينَ مِنْ دُونِهِمْ لَا تَعْلَمُونَهُمُ اللَّهُ يَعْلَمُهُمْ ۚ وَمَا تُنْفِقُوا مِنْ شَيْءٍ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ وَأَنْتُمْ لَا تُظْلَمُونَ

“Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan daripada pasukan-pasukan berkuda yang lengkap serta bersiap-sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh lain yang kamu tidak mengetahuinya sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu dan kamu tidak akan dianiaya.”

[al-Anfal: 60]

Pada zaman dahulu, kuda dijadikan sebagai binatang untuk bermusafir dan berperang. Kuda memiliki kekuatannya tersendiri berbanding binatang tunggangan lain. Kuda Arab dianggap sebagai kuda yang mewarisi kelajuan sejak turun-temurun, mempunyai kekuatan, ketahanan dan kelasakan. Ia sangat sesuai digunakan dalam berperang kerana ia mempunyai kepantasan menyerang dan lariannya yang mengkagumkan.

Setelah zaman mula berubah serta teknologi semakin canggih, kenyataan ayat al-Quran berkenaan adalah selari dengan persediaan yang menggerunkan musuh melalui ciptaan pelbagai jenis kenderaan tahan lasak dan pantas. Kenderaan untuk berperang di darat seperti kereta kebal, di udara seperti jet pejuang dan kapal selam di air mula digunakan dalam peperangan.

Kini kereta kebal dicipta khas sebagai kenderaan tempur berperisai serta berantai yang mampu untuk memusnahkan musuh melalui tembakan langsung daripada meriam dan tembakan sokongan daripada mesingan. Semua kereta kebal yang direka adalah sangat kuat dan berbahaya. Antara kereta kebal yang mempunyai perisai tambahan dan dikemaskini dengan alat elektronik terbaru ialah Leopard 2A7 rekaan German dan K2 Black Panther rekaan Korea Selatan.

Begitu juga pelbagai jenis kereta yang laju direka pada hari ini seumpama kereta Lykan Hypersport keluaran syarikat W Motors yang terletak di Dubai. Ia dilengkapi dengan enjin 3.7 liter twin-turbo flat-six yang menghasilkan 720 kuasa kuda dan mampu mencapai 100 km/j dalam masa hanya 2.8 saat sementara kelajuan maksima mencecah 384 km/j.

Kesemua rekaan moden yang digunakan untuk bertempur khususnya adalah kenyataan yang telah difirmankan oleh Allah dalam al-Quran melalui kalimah ‘Quwwah‘ dan ‘Ribat Al-Khail‘ sebagaimana dalam ayat di atas.

Tafakkurlah al-Quran!

USTAZ DATO’ BENTARA KANAN MENTERI BESAR KELANTAN
10 Ramadan 1439H