Home Kenyataan Media Dewan Muslimat PAS Malaysia

Tadabbur Surah Yaasin (Siri 11)

785
SHARE

?? Tadabbur Surah Yaasin ??
Siri 11

? Ayat 33-35: Bukti Kekuasaan Allah SWT : Penciptaan Bumi dan Isinya

? Firman Allah serta terjemahannya:

وَآيَةٌ لَهُمُ الْأَرْضُ الْمَيْتَةُ أَحْيَيْنَاهَا وَأَخْرَجْنَا مِنْهَا حَبًّا فَمِنْهُ يَأْكُلُونَ – ٣٣

Dan dalil yang terang untuk mereka (memahami kekuasaan dan kemurahan kami), ialah bumi yang mati; kami hidupkan dia serta kami keluarkan daripadanya biji-bijian, maka daripada biji-bijian itu mereka makan.

وَجَعَلْنَا فِيهَا جَنَّاتٍ مِنْ نَخِيلٍ وَأَعْنَابٍ وَفَجَّرْنَا فِيهَا مِنَ الْعُيُونِ – ٣٤

Dan kami jadikan di bumi itu kebun-kebun kurma dan anggur, dan kami pancarkan padanya beberapa mata air,

لِيَأْكُلُوا مِنْ ثَمَرِهِ وَمَا عَمِلَتْهُ أَيْدِيهِمْ ۖ أَفَلَا يَشْكُرُونَ – ٣٥

Supaya mereka makan dari buah-buahannya dan dari apa yang dikerjakan oleh tangan mereka; maka patutkah mereka tidak bersyukur?

? Tafsir ringkas:

1. Antara tanda-tanda adanya Allah Yang Maha Pencipta dan bukti kekuasaan-Nya yang sempurna ialah menghidupkan kembali bumi iaitu dahulunya bumi itu mati dan gersang, tidak ada tumbuhan satu pun. Lalu ketika Allah Ta’ala menurunkan air di atasnya, maka hidup suburlah bumi serta menumbuhkan beraneka ragam tumbuh-tumbuhan yang subur antaranya biji-bijian seperti beras dan gandum sebagai makanan utama. Allah SWT menjadikan proses ini sebagai rezeki bagi manusia dan binatang-binatang ternakan.

2. Allah SWT juga menjadikan sungai-sungai yang mengalir di dalam kebun-kebun seperti kebun kurma dan anggur supaya manusia dapat bercucuk tanam dan memetik hasilnya serta memakan buah-buahnya.

3. Mereka dapat makan buahnya yang mereka tanam dan mereka semaikan. Mereka tidak perlu mematangkan buah-buahan itu, bahkan Allah yang mematangkannya sehingga mereka dapat terus memakannya. Kesemuanya itu ada hanyalah berkat rahmat Allah Yang Maha Bijaksana, sebaik-baik pemberi rezeki kepada mereka, bukan kerana usaha dan jerih payah mereka, bukan pula kerana kemampuan dan kekuatan mereka.

4. Mereka sepatutnya bersyukur kepada Allah yang memberikan berbagai macam nikmat yang tidak terhitung itu kepada mereka, melimpahkan kemurahan dan ihsanNya, di mana dengannya urusan agama dan dunia mereka menjadi baik.

? Pengajaran:

1. Hendaklah kita memperhatikan dan meneliti kejadian alam supaya dapat mengambil hikmah bahawa Allah berkuasa menghidupkan kembali manusia dan menghisab amalan mereka serta akan memberikan pembalasan yang setimpal ke atas mereka. Sebagaimana Allah boleh suburkan semula tanah yang sudah mati dan kering kontang, begitu jugalah halnya dengan manusia yang sudah mati, Allah berkuasa menghidupkannya semula. Bandingan ini sangat tepat kerana manusia juga diciptakan daripada tanah.

2. Wajib yakin dan percaya bahawa sesuatu perkara itu tidak akan terjadi tanpa izin Allah. Sepertimana pokok tidak akan tumbuh walaupun manusia telah menanam biji benih pada tanah yang subur, cukup baja, cukup air dan cukup cahaya matahari.

3. Umat Islam sepatutnya berusaha membangunkan negeri mereka dengan hasil pertanian dan khazanah yang tersimpan di lubuk bumi yang menjadi kurniaan besar dari Allah SWT.

4. Hidupkan rasa untuk sentiasa melakukan tafakkur alam sehingga kita menyedari bahawa semua yang Allah lakukan itu adalah untuk menunjukkan sifat kasih sayang-Nya terhadap ciptaan-Nya. Kita manusia yang diciptakan Allah sebagai makhluk yang paling mulia di bumi ini kerana telah diberinya akal, seharusnya sentiasa bersyukur.

5. Cara bersyukur ialah dengan menjunjung perintah Allah dan Rasul, bukannya membantah dan mencipta pelbagai alasan untuk tidak melaksanakannya.

? Rujukan:
Tafsir Ibnu Kathir.

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
14 September 2018 / 4 Muharram 1440