Home Artikel Dewan Muslimat PAS Malaysia

Tadabbur Surah Yaasin Siri 04

89 views
SHARE

📓📓 Tadabbur Surah Yaasin 📓📓
Siri 04

💌 Ayat 13-14: Kisah Sebuah Negeri (al-Qaryah) dan Perjuangan Silam Urusan Allah

🖋 Firman Allah serta terjemahannya:

وَاضْرِبْ لَهُمْ مَثَلًا أَصْحَابَ الْقَرْيَةِ إِذْ جَاءَهَا الْمُرْسَلُونَ ١٣

Dan buatlah bagi mereka suatu perumpamaan, iaitu penduduk suatu negeri tatkala datang kepada mereka utusan-utusan (rasul)

إِذْ أَرْسَلْنَا إِلَيْهِمُ اثْنَيْنِ فَكَذَّبُوهُمَا فَعَزَّزْنَا بِثَالِثٍ فَقَالُوا إِنَّا إِلَيْكُمْ مُرْسَلُونَ ١٤

(Iaitu) ketika Kami mengutus kepada mereka dua orang utusan, lalu mereka mendustakan keduanya; kemudian Kami kuatkan dengan (utusan) yang ketiga, maka ketiga utusan itu berkata, “Sesungguhnya kami adalah orang-orang yang diutus kepadamu”.

📖 Tafsir ringkas:

1) Rasulullah SAW disuruh oleh Allah menceritakan suatu kisah yang menarik sebagai perumpamaan, iaitu tentang 3 orang rasul yang diutus kepada sebuah negeri.

2) Sesetengah riwayat menyatakan negeri tersebut adalah Antokiyah yang diperintah oleh seorang raja yang menyembah berhala dan mendustakan rasul-rasul tersebut.

3) Ayat ini dijadikan perumpamaan dan perbandingan dengan sikap kaum Musyrikin Quraisy kerana mereka pun didatangi seorang Rasul iaitu Nabi Muhammad SAW.

4) Perbandingan yang ingin ditunjukkan ialah mengenai perangai manusia yang mengingkari dan menolak kebenaran. Golongan ini sama sahaja dalam apa jua masa dan zaman. Maka akibatnya pun sama.

5) Mereka menolak seruan dua rasul yang pertama lalu Allah perkuatkan lagi dengan mengutus rasul-Nya yang ketiga. Rasul yang ketiga ini menggunakan pendekatan yang lebih lembut.

6) Ketiga-tiga rasul ini membawa seruan yang sama: iaitu seruan tauhid yang menyatakan bahawa Tuhan kamu ialah Allah, satu Dzat yang berdiri sendiri, yang tidak beranak, dan tidak diperanakkan, sebagaimana yang diajar sekalian nabi dan rasul.

🎀 Pengajaran:

1. Janganlah kita menjadi seperti penduduk negeri ini yang sentiasa menolak kebenaran walaupun Allah mengutus sehingga 3 orang rasul kepada mereka.

2. Umat Islam mestilah berilmu dan peka kerana golongan yang mendustakan seruan Allah sentiasa ada pada setiap zaman dan tempat. Mutakhir ini gejala ini datang dalam bentuk yang lebih mengelirukan. Ia mungkin menyelinap dalam bentuk pemikiran dan isme-isme yang bertentangan dengan Islam. Boleh jadi juga dalam pakej gerakan dan seruan yang pelbagai seperti gerakan anti hadith, gerakan liberal dan seumpamanya.

3. Perlunya umat Islam memahami bahawa ajaran tauhid (mengesakan Allah) tidak pernah berubah sejak zaman para nabi dan rasul terdahulu hinggalah Nabi Muhammad SAW. Apa yang boleh berubah ialah pendekatan dakwah. Ia boleh berubah mengikut keadaan, masa dan tempat.

5. Kita tidak seharusnya fanatik dan jumud sehingga menolak pendekatan dakwah yang pelbagai. Asalkan ia masih bersumberkan kebenaran dan mempertimbangkan dengan realiti semasa dan setempat.

6. Kita hendaklah sentiasa mempelbagaikan cara berdakwah supaya masyarakat senang didekati dan mesej dakwah kita sampai kepada mereka.

7. Apabila bertemu golongan yang sentiasa mendustakan seruan Allah ini, usahlah berasa lemah semangat. Teruskan berdakwah. Insya Allah akan ada yang akan menerima.

8. Elakkan mengeluh dan beralasan dalam menghadapi cabaran dakwah. Teruskan sehingga anda mampu melahirkan pelapis untuk meneruskan dakwah suci ini.

📚 Rujukan:
Tafsir Ibn Kathir
Tafsir Al-Azhar

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak
28 Julai 2018 / 14 Zulkaedah 1439