Home Artikel Dewan Muslimat PAS Malaysia

Tadabbur Surah Yaasin Siri 03

39 views
SHARE

📓📓 Tadabbur Surah Yaasin 📓📓
Siri 03

💌 Ayat 10-12: Penerimaan Golongan yang Beriman dengan Dakwah Nabi saw dan Ganjarannya.

🖋 Firman Allah serta terjemahannya:

وَسَوَاءٌ عَلَيْهِمْ أَأَنْذَرْتَهُمْ أَمْ لَمْ تُنْذِرْهُمْ لَا يُؤْمِنُونَ ١٠

Dan (dengan sebab itu) sama sahaja kepada mereka, engkau beri amaran atau engkau tidak beri amaran kepadanya – mereka tidak akan beriman.

إِنَّمَا تُنْذِرُ مَنِ اتَّبَعَ الذِّكْرَ وَخَشِيَ الرَّحْمَٰنَ بِالْغَيْبِ ۖ فَبَشِّرْهُ بِمَغْفِرَةٍ وَأَجْرٍ كَرِيمٍ ١١

Sesungguhnya peringatan dan amaran (yang berkesan dan mendatangkan faedah) hanyalah yang engkau berikan kepada orang yang sedia menurut ajaran Al-Quran serta ia takut (melanggar perintah Allah Ar-Rahman) semasa ia tidak dilihat orang dan semasa ia tidak melihat azab Tuhan. Oleh itu berilah kepadanya berita yang mengembirakan dengan keampunan dan pahala yang mulia.

إِنَّا نَحْنُ نُحْيِي الْمَوْتَىٰ وَنَكْتُبُ مَا قَدَّمُوا وَآثَارَهُمْ ۚ وَكُلَّ شَيْءٍ أَحْصَيْنَاهُ فِي إِمَامٍ مُبِين ١٢

Sesungguhnya Kami menghidupkan orang-orang yang mati, dan Kami tuliskan segala yang mereka telah kerjakan serta segala kesan perkataan dan perbuatan yang mereka tinggalkan. Dan (ingatlah) tiap-tiap sesuatu kami catatkan satu persatu dalam Kitab Induk yang jelas nyata (Lauhul Mahfuz).

📖 Tafsir ringkas:

1) Orang-orang yang lalai, sombong dan enggan beriman telah ditutup hati dan akalnya dengan kesesatan, dan mereka tidak mengambil sebarang manfaat daripada peringatan yang diberikan.

2) Sebaliknya, orang-orang yang beriman tetap mengambil manfaat daripada peringatan yang disampaikan oleh rasul melalui sumber peringatan yang utama, iaitu Al-Quranul Karim.

3) Mereka yang takut dan beriman pada perkara ghaib (keimanan kepada Allah, hari akhirat, dan lain-lain), maka bergembiralah mereka dengan keampunan dosa yang dijanjikan oleh Allah serta pahala yang besar.

4) Allahlah yang akan membangkitkan mereka semua (sama ada yang ingkar ataupun yang taat) pada hari kiamat dan memberi ganjaran dan balasan terhadap apa yang dikerjakan di dunia dahulu.

5) Setiap apa yang dikerjakan, malah kesan-kesan dan jejak-jejak peninggalan daripadanya akan tercatat dalam buku amalan masing-masing.

🎀 Pengajaran:

1. Perlu ada rasa sensitif apabila melakukan sebarang dosa supaya kita dapat kembali ke jalan yang benar.

2. Sentiasa muhasabah diri bagi membersihkan diri kita daripada noda dosa dengan melazimi istighfar dan taubat.

3. Perbaharui iman kita setiap hari agar kita sentiasa berada dalam rahmat dan redha-Nya.

4. Jika kebaikan yang kita lakukan diikuti oleh orang lain, kita turut mendapat pahala. Maka, berlumba-lumbalah dalam melakukan kebaikan ( fastabiqul khairat ).

5. Jangan sesekali menyebarkan fitnah ataupun melakukan keburukan. Sekiranya perbuatan itu diikuti oleh orang lain, kita turut mendapat dosanya. Na’uzubillah min zalik.

6. Sentiasa bersemangat memberi sumbangan untuk agama dan masyarakat, serta meninggalkan jasa-jasa yang bermanfaat untuk orang yang selepas daripada kita.

7. Gilaplah hati selalu, jangan biarkan ia keras sehingga sukar menerima teguran dan nasihat. Mintalah hati yang lembut dan bersih daripada Allah.

📚 Rujukan:
Tafsir Ibn Kathir

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak
20 Julai 2018 / 7 Zulkaedah 1439