Home Artikel Dewan Muslimat PAS Malaysia

Tadabbur Surah Yaasin Siri 02

57 views
SHARE

📓📓 Tadabbur Surah Yaasin 📓📓
Siri 02

💌 Ayat 6-9: Tujuan perutusan Nabi Muhammad SAW dan Gambaran Penolakan Golongan Musyrikin

🖋 Firman Allah serta terjemahannya:

لِتُنذِرَ قَوۡمٗا مَّآ أُنذِرَ ءَابَآؤُهُمۡ فَهُمۡ غَٰفِلُونَ ٦

Supaya engkau memberi peringatan dan amaran kepada kaum yang datuk neneknya telah lama tidak diberikan peringatan dan amaran; sebab itulah mereka lalai.

لَقَدۡ حَقَّ ٱلۡقَوۡلُ عَلَىٰٓ أَكۡثَرِهِمۡ فَهُمۡ لَا يُؤۡمِنُونَ ٧

Demi sesungguhnya, telah tetap hukuman seksa atas kebanyakan mereka, kerana mereka tidak mahu beriman.

إِنَّا جَعَلۡنَا فِيٓ أَعۡنَٰقِهِمۡ أَغۡلَٰلٗا فَهِيَ إِلَى ٱلۡأَذۡقَانِ فَهُم مُّقۡمَحُونَ ٨

Sesungguhnya Kami jadikan (kesombongan dan keengganan mereka tunduk kepada kebenaran sebagai) belenggu yang memberkas kedua tangan mereka ke batang leher mereka; (lebarnya belenggu itu) sampai (menongkatkan) dagu mereka lalu menjadilah mereka terdongak.

وَجَعَلۡنَا مِنۢ بَيۡنِ أَيۡدِيهِمۡ سَدّٗا وَمِنۡ خَلۡفِهِمۡ سَدّٗا فَأَغۡشَيۡنَٰهُمۡ فَهُمۡ لَا يُبۡصِرُونَ ٩

Dan Kami jadikan (sifat tamak dan gila mereka kepada harta benda dan pangkat itu sebagai) sekatan (yang menghalang mereka daripada memandang kepada keburukan dan kesingkatan masa dunia yang ada) di hadapan mereka dan sekatan (yang menghalang mereka daripada memikirkan azab yang ada) di belakang mereka (pada hari kiamat). Lalu Kami tutup pandangan mereka; maka dengan itu, mereka tidak dapat melihat (jalan yang benar).

📖 Tafsir ringkas:

1. Al Quran diturunkan kepada Rasulullah SAW bersama satu tanggung jawab yang besar iaitu memberi peringatan kepada kaum Musyrikin Mekah yang mana mereka, setelah kematian Nabi Ismail, tidak lagi menerima seorang rasul pun yang pernah memberikan peringatan untuk mereka lantaran itulah mereka kesemuanya menjadi lalai dan lupa dari ajaran Allah SWT.

2. Oleh kerana itu, Allah SWT mengutuskan kepada mereka rasul yang membawa ajaran daripada Allah SWT, memberi peringatan akan azab Allah SWT dan menghilangkan kelalaian mereka supaya mereka tidak terpesong daripada hidayah dan nur iman.

3. Akan tetapi, mereka yang didatangi rasul itu terbahagi menjadi dua golongan:

(i) Golongan yang menolak apa yang dibawa oleh rasul itu dan tidak menerima peringatan, di mana Allah SWT telah berfirman tentang mereka, “Demi sesungguhnya telah tetap (hukuman) siksa atas terhadap kebanyakan mereka, kerena mereka tidak beriman.”

(ii) Golongan yang menerima peringatan sebagaimana yang disebutkan pada ayat 11 dalam surah ini.

4. Allah SWT membuat suatu perbandingan keadaan orang-orang musyrikin dan orang-orang kafir ini betapa tidak berimannya mereka kepada Allah SWT dan kepada rasul-rasulNya, iaitu samalah mereka seperti orang yang diletakkan beberapa belenggu dileher mereka. Kemudian belenggu itu disangkutkan pada dagu mereka dan diikat dengan kemas sehingga mereka menjadi terdongak dan tidak nampak jalan di hadapan mereka.

5. Allah SWT menjelaskan bahawa dijadikan di hadapan dan di belakang mereka tembok (penyekat). Apakah penyekat itu? Penyekat itu ialah kepentingan-kepentingan duniawi yang berupa kebendaan (materialise atau maddiyyah), pangkat, kedudukan dan sebagainya lagi, sehingga mereka tidak nampak apa-apa lagi. Menurut Mujahid, sekatan (dinding) itu menutupi mereka dari kebenaran sehingga mereka kebingungan.

🎀 Pengajaran:

1. Hikmah diturunkan Al-Quran ialah untuk memberi peringatan dan menyampaikan dakwah. Justeru itu, kita mestilah sentiasa memberi peringatan dan amaran yang sewajarnya berdasarkan Al Quran agar menjadi penawar terbaik kepada penyakit ummah hari ini yang kian lalai dan lupa terhadap ajaran Allah.

2. Berusahalah untuk menjadi pewaris tugasan utama Nabi Muhammad SAW yang diutuskan kepada umatnya untuk menyeru dan memberi peringatan kepada manusia. Usaha ini adalah satu perjuangan dan mestilah mengikuti manhaj Nabi dalam berdakwah.

3. Jauhilah penyakit kelalaian terhadap perintah Allah yang amat merosakkan hati, kerana hati yang lalai ialah hati yang lumpuh daripada menjalankan tugasnya, lumpuh daripada menerima dan menyambutnya sehingga membawa kepada lumpuh untuk mempertahankannya.

4. Putus asa dan penat bukan alasan untuk berhenti dari menyampaikan kebenaran ajaran Allah. Amaran dan peringatan itu akan menyedarkan orang-orang yang lalai dan tidur nyenyak di dalam kelalaian.

5. Lapangkanlah hati dan jiwa untuk menerima teguran dan nasihat agar kita tergolong di kalangan orang yang didatangkan hidayah dan menerima hidayah tersebut.

6. Jauhi sifat angkuh dan sombong dalam mempertahankan pendirian kita yang tidak menepati ajaran Allah SWT kerana bimbang jiwa akan terhijab dengan hidayah serta dipalingkan daripada melihat kebenaran dihadapan mata.

7. Beringatlah dengan ancaman Allah kepada mereka yang menentang ajaran Allah SWT dan Rasul-rasulnya, digambarkan keadaan mereka dengan pemandangan yang dahsyat. Walaupun tidak ada belenggu-belenggu di tangan mereka dan kepala mereka tidak dipaksa mendongak ke atas, namun jiwa dan mata mereka tetap terbelenggu dan dipalingkan dari hidayah dan kebenaran secara paksa.

📚 Rujukan:
Tafsir Tibyan
Tafsir Fi Zilalil Quran
Tafsir Ibn Kathir

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak
13 Julai 2018 / 29 Syawal 1439