Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Surah As-Sajdah : Siri 6

2781
SHARE

?? Tadabbur Surah As-Sajdah ??
Siri 6
Ayat: 12-14: Pengukuhan Terhadap Kepastian Hari Kebangkitan dan Gambaran Azab

? Firman Allah serta terjemahannya:

وَلَوْ تَرَىٰ إِذِ الْمُجْرِمُونَ نَاكِسُو رُءُوسِهِمْ عِندَ رَبِّهِمْ رَبَّنَا أَبْصَرْنَا وَسَمِعْنَا فَارْجِعْنَا نَعْمَلْ صَالِحًا إِنَّا مُوقِنُونَ -١٢-

Dan (alangkah ngeri) sekiranya engkau melihat orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan, (mereka berkata) “Ya Tuhan kami, telah kami lihat dan telah kami dengar. Maka kembalikanlah kami (ke dunia) nescaya kami akan beramal soleh. Sungguh, kami telah yakin”.

وَلَوْ شِئْنَا لَآتَيْنَا كُلَّ نَفْسٍ هُدَاهَا وَلَٰكِنْ حَقَّ الْقَوْلُ مِنِّي لَأَمْلَأَنَّ جَهَنَّمَ مِنَ الْجِنَّةِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ -١٣-

Dan jika Kami menghendaki nescaya telah Kami berikan kepada setiap jiwa petunjuk (bagi)nya, tetapi telah ditetapkan perkataan (ketetapan) dari-Ku: Pasti akan Aku penuhi neraka jahannam itu dengan jin dan manusia bersama-sama

فَذُوقُوا بِمَا نَسِيتُمْ لِقَاءَ يَوْمِكُمْ هَٰذَا إِنَّا نَسِينَاكُمْ وَذُوقُوا عَذَابَ الْخُلْدِ بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ -١٤-

Maka rasakanlah olehmu (azab ini) disebabkan kamu melupakan pertemuan dengan harimu ini (hari kiamat), Kami pun sesungguhnya telah melupakan kamu pula, dan rasalah azab yang kekal dengan sebab apa yang telah kamu kerjakan”.

? Tafsir ringkas:

1. Ayat ke-12 membayangkan suasana di hari akhirat; jika kita dapat melihatnya sekarang sudah pasti kita tidak akan sombong dengan Tuhan. Suasana tersebut menggambarkan keadaan orang-orang yang ingkar, mereka tertunduk hina dan malu setelah menghadapi sendiri peristiwa hari akhirat yang sering mereka bantah atau perolokkan ketika di dunia dahulu. Mereka lantas memohon agar dihidupkan semula ke dunia, untuk beramal kerana kini mereka sudah yakin.

2. Tiada gunanya lagi penyesalan itu kerana waktunya sudah terlewat. Bagi Allah, Dia boleh saja memberi hidayah kepada setiap hamba-Nya semasa masih hidup di dunia agar mereka semua menurut segala perintah-Nya. Tetapi Allah menjadikan manusia untuk menguji keimanan dan ketaatan mereka kepada-Nya. Mereka diberi nafsu dan dibekalkan dengan akal serta dipandu dengan petunjuk dan peringatan dalam menjalani kehidupan. Atas pilihan mereka sendirilah sama ada mahu taat ataupun ingkar. Maka Allah telah menetapkan bahawa Dia akan memenuhkan neraka dengan jin dan manusia yang tidak mahu tunduk patuh kepada-Nya.

3. Manusia yang hidup hanya mengikut nafsu sengaja melupakan hari pertemuan dengan Allah sedangkan mereka sudah sering diingatkan. Kelak, mereka pula akan dibiarkan dan dilupakan oleh Allah ketika menghadapi kesusahan dan azab sebagaimana yang dijanjikan.

? Pengajaran:

1. Kita mesti sedar hidup di dunia ini adalah penerusan dari hidup di alam rahim dan sebelumnya. Tidak akan berlaku peristiwa kita kembali ke alam rahim semula. Begitulah, kita tidak akan kembali ke dunia setelah tiba di alam akhirat kerana alam dunia telah tiada. Oleh itu kita mesti berfikir dan berusaha untuk hidup dengan sebaiknya, sebagaimana yang Allah kehendaki.

2. Terlalu banyak peluang dan petunjuk yang kita perolehi untuk kembali bertaubat dan membetulkan kesalahan. Begitu juga peluang dan petunjuk untuk beramal. Namun, peluang-peluang itu sering kita abaikan. Marilah kita berusaha dengan bersungguh (mujahadah) dan berdoa agar ditetapkan hati untuk meninggalkan maksiat dan lagha serta istiqamah melakukan amal soleh.

3. Kita mesti kembali kepada kehidupan bertuhan, mengajak kepada Islam, menegah kejahatan dan berusaha menjadikan Islam sebagai cara hidup untuk diri, keluarga, masyarakat, negara dan dunia. Nescaya kita akan selamat di akhirat.

4. Jangan biarkan hidayah berlalu dalam hidup ini tanpa kita hargai dan jadikan pegangan dalam memandu aqal kita. Aqal adalah kurniaan Allah yang sangat hebat apabila kita menjadikan hidayah sebagai landasan dalam berfikir.

5. Berdoalah agar di dunia lagi Allah segera mengurniakan kita sebuah penyesalan agar kita dapat bertaubat dan perbaiki amalan. Mati hanya sekali, tetapi kehidupan itulah yang kita tempuhi dua kali iaitu sekali lagi selepas kematian. Ketika itu penyesalan sudah tidak berguna.

? Rujukan:
Tafsir Al Azhar

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak
22 Feb 2019 / 17 Jamadil Akhir 1440