Home Berita Dewan Muslimat PAS Malaysia

Tadabbur Surah Al-Anfal: Siri 30

1339
SHARE

?? Tadabbur Al Quran ??
Surah Al-Anfal: Siri 30

Ayat: 74-75 : Pujian Allah Terhadap Golongan Muhajirin Dan Ansar

? Firman Allah serta terjemahannya:

وَٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ وَهَاجَرُوا۟ وَجَـٰهَدُوا۟ فِی سَبِیلِ ٱللَّهِ وَٱلَّذِینَ ءَاوَوا۟ وَّنَصَرُوۤا۟ أُو۟لَـٰۤىِٕكَ هُمُ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ حَقࣰّاۚ لَّهُم مَّغۡفِرَةࣱ وَرِزۡقࣱ كَرِیمࣱ (٧٤)

Dan orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah (untuk membela Islam), dan orang-orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu), merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka beroleh keampunan dan limpah kurnia yang mulia.

وَٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ مِنۢ بَعۡدُ وَهَاجَرُوا۟ وَجَـٰهَدُوا۟ مَعَكُمۡ فَأُو۟لَـٰۤىِٕكَ مِنكُمۡۚ وَأُو۟لُوا۟ ٱلۡأَرۡحَامِ بَعۡضُهُمۡ أَوۡلَىٰ بِبَعۡضࣲ فِی كِتَـٰبِ ٱللَّهِۚ إِنَّ ٱللَّهَ بِكُلِّ شَیۡءٍ عَلِیمُۢ (٧٥)

Dan orang-orang yang beriman sesudah itu, kemudian mereka berhijrah dan berjihad bersama-sama kamu, maka adalah mereka daripada golongan kamu. Dalam pada itu, orang-orang yang mempunyai pertalian kerabat, setengahnya lebih berhak atas setengahnya yang (lain) menurut (hukum) Kitab Allah; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

? Tafsir ringkas:

1. Pada ayat sebelumnya Allah memperingatkan kita supaya menyingkirkan golongan musyrikin seterusnya menjadikan orang mukmin sebagai pelindung untuk mengelakkan berlakunya fitnah dan kerosakan yang besar.

2. Melalui ayat 74 Allah menjelaskan eratnya hubungan antara Muhajirin dan Ansar. Allah telah memberikan mereka penghargaan yang mulia serta kedudukan yang tinggi.

3. Kaum Muhajirin telah berhijrah dan ini adalah satu bentuk jihad mereka yang sangat hebat di jalan Allah.
Sementara kaum Ansar telah menerima saudara yang diikat dengan tali keimanan dengan membantu membela kaum Muhajirin melalui harta dan jiwa mereka. Allah SWT menjanjikan mereka balasan keampunan dosa-dosa serta mengurniakan mereka rezeki yang mulia iaitu kebaikan yang banyak serta tidak pernah putus.

4. Sementara ayat 75 pula memberi ruang tempat yang mulia kepada golongan yang turut berhijrah selepas itu seperti Khalid Al Walid dan Amr Bin Al ‘Ash. Mereka disamakan kerana mereka turut berhijrah, berperang dan memimpin peperangan. Allah SWT menjanjikan balasan kebaikan kepada golongan yang terdahulu serta pengikut yang terkemudian.

6. Allah SWT turut menyatakan di akhir ayat bahawa ahli keluarga lebih berhak terhadap pewarisan sesuatu harta seseorang berbanding persaudaraan yang diikat antara Muhajirin dan Ansar.

? Pengajaran

1. Di akhir zaman ini, kita hendaklah berusaha menghidupkan semangat jihad di kalangan masyarakat supaya dengannya Allah SWT mengurniakan kemenangan kepada umat Islam.

2. Umat Islam perlu keluar dari zon selesa bersama keluarga dengan mengorbankan harta dan jiwa raga terutama dalam menyahut seruan membela umat Islam yang ditindas seperti di Palestin ketika ini.

3. Umat Islam hendaklah berusaha menjadi sebenar-benar muslim sejati dengan beriman serta berjihad dalam menyebarkan dakwah Islam dan membantu serta memberi dokongan kepada golongan yang memperjuangkan Islam.

4. Usaha berdamping dengan golongan yang beriman dan bertaqwa hendaklah diutamakan kerana di akhirat kelak setiap orang akan berdamping dengan golongan yang mereka kasihi.

? Rujukan:
Tafsir Al Azhar
Tafsir Ibn Kathir

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
12 Mei 2021 / 30 Ramadhan 1442