Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Surah As-Sajdah : Siri 13

189 views
SHARE

📓📓 Tadabbur Surah As-Sajdah 📓📓
Siri 13
Ayat 26-27 : Seruan agar membuat pemerhatian dan penelitian terhadap kekuasaan Allah SWT

🖋 Firman Allah serta terjemahannya:

أَوَلَمْ يَهْدِ لَهُمْ كَمْ أَهْلَكْنَا مِنْ قَبْلِهِمْ مِنَ الْقُرُونِ يَمْشُونَ فِي مَسَاكِنِهِمْ إِنَّ فِي ذَلِكَ لآيَاتٍ أَفَلا يَسْمَعُونَ – ٢٦

Dan apakah tidak menjadi petunjuk bagi mereka, berapa banyak umat-umat sebelum mereka yang telah Kami binasakan, sedangkan mereka sendiri berjalan di tempat-tempat kediaman mereka itu. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda kekuasaan Tuhan. Maka apakah mereka tidak memperhatikan? (26)

أَوَلَمْ يَرَوْا أَنَّا نَسُوقُ الْمَاءَ إِلَى الأرْضِ الْجُرُزِ فَنُخْرِجُ بِهِ زَرْعًا تَأْكُلُ مِنْهُ أَنْعَامُهُمْ وَأَنْفُسُهُمْ أَفَلا يُبْصِرُونَ – ٢٧

Dan apakah mereka tidak memperhatikan bahawasanya Kami menggerakkan (awan yang mengandung) air ke bumi yang tandus, lalu Kami tumbuhkan dengan air hujan itu tanam-tanaman yang daripadanya (dapat) makan binatang-binatang ternak mereka dan mereka sendiri. Maka apakah mereka tidak memperhatikan? (27)

📖 Tafsir ringkas:

1. Dalam dua ayat ini, Allah SWT melontarkan pertanyaan buat umat manusia agar sentiasa berfikir dan mengambil pelajaran dengan:
i) Melihat tinggalan-tinggalan kaum terdahulu dan kebinasaannya; dan
ii) Meneliti kejadian alam

2. Salah satu dari tanda yang Allah berikan kepada manusia adalah bala dan azab yang telah diberikan kepada umat terdahulu yang menentang para rasul dan wahyu. Tidakkah azab yang telah dikenakan kepada umat-umat terdahulu itu dijadikan sebagai pengajaran?

3. Latar belakang ayat ini diturunkan kerana wujudnya umat terkemudian yang juga mendustakan para rasul. Mereka adalah masyarakat Makkah yang melalui dan berjalan di tempat-tempat dan kediaman kaum yang terdahulu yang telah dihancurkan. Lalu Allah menyuruh mereka memperhatikan dan mengambil iktibar daripada kesalahan mereka yang terdahulu dan Allah menegur mereka, kenapakah mereka tidak mahu mendengar kebenaran yang disampaikan dalam wahyu ini?

4. Huraian daripada kejadian ini, ada di dalam beberapa ayat dan surah lain. Antaranya:

i) Seolah-olah mereka belum pernah berdiam di tempat itu. (Al-Araf : 92, Hud: 68 dan 95).

ii) Maka rumah-rumah mereka itu runtuh disebabkan kezaliman mereka. (An-Naml: 52)

iii) Maka bukan sedikit negeri-negeri yang Kami binasakan dengan sebab kezaliman penduduknya, lalu runtuh ranaplah bangunan-bangunannya; dan bukan sedikit pula telaga yang telah terbiar, dan istana yang tersergam (telah kosong, ditinggalkan). Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya – dengan melihat kesan-kesan yang tersebut – mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami, atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada.’ (Al-Hajj: 45-46)

5. Seterusnya Allah SWT menyeru manusia supaya merenungi alam iaitu kejadian awan di langit yang menghasilkan air untuk menyuburkan bumi. Ia menunjukkan bagaimana Allah SWT menjelaskan kasih sayang-Nya kepada makhluk-Nya dan kebaikan-Nya kepada manusia.

6. Perhatikan bagaimana Allah menggerakkan air yang adakalanya diturunkan dari langit (hujan) atau dari hulu-hulu sungai yang diturunkan dari atas bukit, lalu mengalir ke dataran-dataran rendah dan tandus yang memerlukan air tersebut tepat pada waktunya sehingga bumi menjadi subur dan mengeluarkan hasil tanaman. Tanaman yang Allah tumbuhkan dengan air hujan itu dapat dimakan oleh binatang ternakan dan manusia pula memakan binatang ternak itu serta mengambil manfaat yang banyak.

🎀 Pengajaran:

1. Kita dituntut oleh Islam untuk mengembara ke serata alam khususnya negara yang mempunyai nilai sejarah yang tinggi kerana ia mempunyai tinggalan monumen terdahulu. Ini untuk melihat sendiri bukti bukti kerajaan terdahulu dan mengambil iktibar daripadanya.

2. Kita juga dituntut oleh Islam untuk membaca dan mengkaji sejarah sesuatu tamadun sehingga kita sendiri dapat menjadikannya sebagai pengajaran dan menyebarkannya pula pada orang ramai walaupun kita sendiri tidak sempat lagi berziarah ke sana. Dan apabila berziarah, maka ziarah itu akan terasa lebih hidup dan bermakna kerana kita telah mempunyai pengetahuan tentangnya terlebih dahulu.

3. Ironinya, manusia di zaman sekarang bahkan di kalangan orang Islam sendiri, cenderung untuk menziarahi dan bercuti ke sesuatu tempat (sehingga terma backpackers, travel DIY dan sebagainya menjadi sangat popular), namun mereka sendiri hanya menjadikannya sebagai aktiviti rutin bahkan kadangkala sebagai satu kemegahan, tanpa mengambilkira dan menitikberatkan aspek tadabbur, tafakkur dan mengambil ibrah di sesuatu tempat yang mereka lawati. Seharusnya kita tidak menjadikan seperti perkara ini sebagai ikut-ikutan.

4. Berapa banyak Allah telah binasakan umat terdahulu kerana mereka tidak percaya kepada ajaran yang telah dibawa oleh Rasul seperti kaum Nabi Luth yang mengamalkan hubungan sejenis. Kaum ini telah lenyap ditelan bumi bersama tamadun mereka. Dan berapa banyak yang Allah telah gemilangkan tamadun mereka kerana berpegang kepada aqidah yang benar dan menyambut dakwah para Rasul. Antaranya adalah bumi Mekah dan Madinah menjadi gemilang sehingga sekarang. Justeru, kita haruslah terus berpegang kepada aqidah Islam yang benar dan ajaran Rasul, serta memperkuatkan dakwah kepada orang bukan Islam yang memerlukan sinar Islam.

5. Apabila melihat kekuasaan Allah dalam mentadbir bumi, menghidupkan bumi dan tumbuhan, serta menjaga kebajikan manusia, khususnya apabila mengkajinya dari sudut sains, maka kita akan lihat betapa Agungnya kekuasaan Allah dan kerdilnya diri manusia. Justeru, manusia haruslah tetap mengkaji dan mengambil pelajaran serta bersyukur kepada Allah atas segala tadbiran-Nya yang Maha Sempurna.

📚 Rujukan: Tafsir Ibnu Katsir

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
12 April 2019 / 6 Syaa’ban 1440