Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Surah As-Sajdah : Siri 1

9400
SHARE

?? Tadabbur Surah As-Sajdah ??
Siri 1
? Ayat 1-3: Pengukuhan Al Quran dan Risalah Kenabian

الم – ١
Alif Lam Mim

تَنزيلُ الْكِتَابِ لَا رَيْبَ فِيهِ مِنْ رَبِّ الْعَالَمِينَ – ٢
Turunnya Al-Qur’an yang tidak ada keraguan padanya (adalah) dari Tuhan semesta alam.

أَمْ يَقُولُونَ افْتَرَاهُ بَلْ هُوَ الْحَقُّ مِنْ رَبِّكَ لِتُنْذِرَ قَوْمًا مَا أَتَاهُمْ مِنْ نَذِيرٍ مِنْ قَبْلِكَ لَعَلَّهُمْ يَهْتَدُونَ – ٣
Tetapi mengapa mereka(orang-orang kafir) mengatakan, “Dia Muhammad mengada-adakannya.” Sebenarnya Al-Qur’an itu adalah kebenaran (yang datang)dari Tuhanmu, agar kamu memberi peringatan kepada kaum yang belum datang kepada mereka orang yang memberi peringatan sebelum kamu; mudah-mudahan mereka mendapat petunjuk.

? Tafsir Ringkas:

1) Surah ini dibuka dengan huruf Alif, lam, mim. Pembukaan yang sama dengan kebanyakan surah-surah Makiyyah yang bertujuan menegaskan kemukjizatan al-Quran dan keagungannya.

2) Pembukaan ini diikuti dengan penegasan bahawa Al-Quran adalah kitab yang diturunkan dari sisi Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW tanpa dapat diragui langsung. Adapun yang ragu hanyalah mereka yang tidak belajar sahaja. Al-Qur’an ini bukan dari sesiapa melainkan dari Allah, Tuhan sekelian alam.

3) Namun demikian puak Musyrikin Mekah tetap juga mendakwa dengan propaganda dusta bahawa Al-Qur’an itu adalah hasil rekaan dan tulisan dari Nabi Muhammad sendiri atau cedokan dari kitab-kitab yang terdahulu.

4) Sekali lagi ditegaskan bahawa bahawa al-Quran adalah satu kebenaran yang datang daripada Allah SWT yang bertujuan untuk memberi ancaman kepada mereka yang tidak mahu menerima isi kandung Al-Quran. Semoga dengan peringatan wahyu yang diberikan kepada mereka, mereka akan terpimpin dan kembali kepada Allah.

? Pengajaran:

1. Umat Islam mestilah bertanggungjawab menjaga dan mempertahankan kebenaran al-Quran. Menjadi satu tuntutan kepada kita untuk berusaha memahami dan mengamalkan apakah yang hendak disampaikan oleh Allah SWT melalui kitabNya dan bukanlah hanya membaca Al-Quran tanpa memahami.

2. Jangan terpedaya dengan gerakan dan usaha-usaha musuh-musuh Islam dan golongan liberal yang bertungkus lumus menjauhkan umat Islam dari al-Quran. Terlalu banyak tipudaya dan agenda mengelirukan yang menyebabkan umat Islam sendiri rasa takut dan beralasan untuk tidak menegakkan kebenaran al-Quran serta hukum hakam yang terkandung di dalamnya. Sedangkan kita mestilah meyakini bahawa semua isi kandungan Al-Quran itu sentiasa benar dan ia adalah sebagai sebaik-baik panduan hidup yang sesuai sepanjang zaman.

3. Teruskan usaha-usaha mentadabbur al-Quran serta memperbaiki adab-adab kita ketika berinteraksi dengan al-Quran. Ketika mana kita membaca al-Quran seharusnyalah kita menyedari bahawa Allah sedang memperingatkan kita dengan ancaman jika mengingkarinya supaya kita sentiasa terpandu dalam usaha mencari matlamat hidup dunia dan akhirat.

4. Raihlah hidayah Allah SWT dengan menyelami dasar al-Quran sebagai petunjuk yang membimbing kita berjalan menuju-Nya.

? Rujukan:
Tafsir Ibnu Kathir

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
18 Januari 2019 / 12 Jamadil Awal 1440