Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Surah As-Saff: Siri 9

1527
SHARE

?? Tadabbur Al Quran ??
Surah As-Saff: Siri 9

Ayat : 12-13 : Keuntungan Yang Didapati Hasil Perniagaan Dengan Allah SWT

? Firman Allah serta terjemahannya:

يَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَيُدْخِلْكُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ وَمَسَاكِنَ طَيِّبَةً فِي جَنَّاتِ عَدْنٍ ۚ ذَٰلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ (١٢)

Nescaya Allah akan mengampuni dosa-dosamu dan memasukkanmu ke dalam jannah yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; dan (memasukkan kamu) ke tempat tinggal yang baik di dalam syurga ‘Adn. Itulah keberuntungan yang besar.

وَأُخْرَىٰ تُحِبُّونَهَا ۖ نَصْرٌ مِنَ اللَّهِ وَفَتْحٌ قَرِيبٌ ۗ وَبَشِّرِ الْمُؤْمِنِينَ (١٣)

Dan (ada lagi) kurnia yang lain yang kamu sukai (yaitu) pertolongan daripada Allah dan kemenangan yang dekat (waktunya). Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman.

? Tafsir Ringkas:

1. Ayat 12 dan 13 ini merupakan kesinambungan daripada ayat 10 dan 11, yang mana Allah SWT menawarkan ganjaran ukhrawi dan duniawi kepada orang mukmin yang menyahut seruan ‘perniagaan dengan Allah’ dengan cara beriman dan berjihad kepada Allah SWT.

2. Inilah satu perniagaan yang menguntungkan apabila seseorang mukmin sanggup berjihad dalam hidupnya yang pendek di dunia ini, dibalaskan dengan pengampunan Allah SWT dan kediaman yang selesa dan mewah di taman-taman syurga. Sesungguhnya, inilah satu keberuntungan yang besar.

3. Allah SWT mengetahui bahawa jiwa manusia kadangkala dilanda kelemahan, semangatnya yang berkobar-kobar menurun dan daya tenaganya lemah dan tenat. Justeru, Allah SWT menanamkan semangat dan perangsang melalui ganjaran-ganjaran yang sangat besar.

4. Allah Maha Mengetahui bahawa jiwa manusia itu lebih tertarik dengan janji yang dekat dengannya. Lalu Allah SWT menyahut keinginan hambaNya dengan janji yang lebih dekat, iaitu pertolongan daripadaNya dan kemenangan agamaNya yang dekat di dunia ini.

? Pengajaran:

1. Pengampunan dosa dan dimasukkan ke dalam syurga adalah satu keberuntungan dan kejayaan terbesar bagi kehidupan kita. Maka kita hendaklah berusaha merebut tawaran perniagaan dengan Allah, iaitu berjihad dengan harta benda dan jiwa raga.

2. Dalam kehidupan kita menghadapi pelbagai onak duri dan cabaran yang mungkin melunturkan semangat untuk berjuang. Maka, hidupkanlah kembali semangat juang itu dengan mengambil motivasi daripada janji-janji Allah tentang kenikmatan duniawi dan ukhrawi agar kita terus bangkit dan bersemangat untuk berjihad di jalan Allah SWT.

3. Marilah kita berazam untuk mengisi kehidupan yang singkat ini dengan amalan yang baik dan jihad yang berterusan agar kita terpilih mendapat ganjaran yang dijanjikan oleh Allah SWT.

? Rujukan:
Tafsir Fi Zilalil Quran

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak
26 Februari 2021 / 14 Rejab 1442