Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Surah As-Saff: Siri 10

1718
SHARE

??Tadabbur Al Quran??
Surah As-Saff: Siri 10

Ayat 14: Seruan menjadi Ansorullah

? Firman Allah serta terjemahannya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا كُونوا أَنصَارَ اللَّهِ كَمَا قَالَ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ لِلْحَوَارِيِّينَ مَنْ أَنصَارِي إِلَى اللَّهِ قَالَ الْحَوَارِيُّونَ نَحْنُ أَنصَارُ اللَّهِ فَآَمَنَت طَّائِفَةٌ مِّن بَنِي إِسْرَائِيلَ وَكَفَرَت طَّائِفَةٌ فَأَيَّدْنَا الَّذِينَ آَمَنُوا عَلَى عَدُوِّهِمْ فَأَصْبَحُوا ظَاهِرِينَ (١٤)

Wahai orang-orang yang beriman! Jadikanlah diri kamu pembela-pembela (agama) Allah sebagaimana (keadaan penyokong-penyokong) Nabi Isa ibni Maryam (ketika ia) berkata kepada pengikut-pengikutnya itu: “Siapakah penolong-penolongku (dalam perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan agamaNya)?” Mereka menjawab: “Kamilah pembela-pembela (agama) Allah!” (Setelah Nabi Isa tidak berada di antara mereka) maka sekumpulan daripada kaum Bani Israil beriman, dan sekumpulan lagi (tetap) kafir. Lalu Kami berikan pertolongan kepada orang-orang yang beriman untuk mengalahkan musuhnya, maka menjadilah mereka orang-orang yang menang.

? Tafsir ringkas:

1. Tawaran hebat daripada Allah SWT dalam ayat sebelum ini bukanlah pemberian percuma. Dalam ayat terakhir ini dinyatakan sifat dan tindakan para penolong agama Allah SWT yang sentiasa berusaha mempertahan dan meninggikan agamaNya serta balasan baik yang dikurnaikan Allah kepada mereka.

2. Sahabat-sahabat yang setia atau Hawariyun dalam ayat ke 14 ini adalah murid-murid Nabi Isa AS. Ada ulama’ tafsir berpendapat mereka terdiri daripada dua belas orang yang sentiasa bersama-sama dengan Nabi Isa AS dengan memberikan sepenuh penumpuan kehidupan mereka menerima ajaran Nabi Isa AS. Selepas Nabi Isa diangkat ke langit, mereka memperjuang dan menyebarkan ajaran-ajaran dan wasiat-wasiat Nabi Isa AS.

3. Hamba-hamba Allah yang menyerahkan dirinya menjadi penyokong Allah mendapat satu tempat yang lebih tinggi di sisi-Nya. Kita diingatkan supaya menjadi penyokong Allah sepertimana Nabi Isa AS berkata kepada sahabat-sahabat setianya ,”Siapakah yang sanggup menjadi para penyokongku untuk menegakkan agama Allah?” Jawab sahabat-sahabat setia itu, “Kamilah para penyokong Allah”. Kesanggupan mereka untuk memikul tugas itu telah melayakkan mereka mendapat penghormatan dengan mendapat gelaran penyokong Allah.

4. Maksud kemenangan di akhir ayat ini ialah mereka telah mendapat kemenangan dengan kekuatan hujah-hujah dan alasan-alasan yang kukuh iaitu aqidah tauhid yang dipegang oleh mereka.

? Pengajaran:

1. Jadikanlah ayat ini sebagai suatu motivasi supaya kita sentiasa bersemangat untuk memperjuangkan agama Allah yang terakhir ini kerana kita adalah pemegang amanah agama Allah SWT. Kita adalah pewaris aqidah yang Allah pilih untuk memikul tugas yang Maha Agung ini.

2. Orang-orang beriman perlu sedar bahawa sememangnya Allah tidak memerlukan pertolongan kerana Allah Maha Hebat dan Maha Berkuasa. Tujuan ayat ini adalah untuk membangkitkan semangat orang-orang beriman untuk membantu agama Allah, memperjuangkan dan mempertahankannya kerana orang yang menyediakan diri kepada perjuangan agama Allah, akan diberi penghormatan oleh Allah sehingga disebut Ansarullah (pembantu Allah).

3.Yakinlah dengan janji Allah kepada orang-orang yang beriman bahawa Dia akan mengurniakan kemenangan kepada mereka dengan syarat orang-orang beriman memperjuangkan agamaNya dengan jalan bersabar, berjihad dengan harta dan benda dengan ikhlas dan memenuhi akhlak-akhlak Islam. Jika syarat-syarat tersebut tidak dipenuhi, maka Allah akan menangguhkan kemenangan untuk orang-orang beriman.

? Rujukan:
1. Tafsir Fizalil Quran
2. Tafsir Ibnu Katsir
3. Tafsir Al Azhar
4. Tafsir At Tibyan Surah As Saff

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak
5 Mac 2021 / 21 Rejab 1442

#baca&sebar
#siritadabbursurahassaff