Home Artikel PAS Melaka

Individu lantikan politik duta bawa agenda parti – Datuk Kamarudin

241
SHARE

Oleh SITI HAJAR

HANG TUAH JAYA, 5 Mac : “Mana-mana individu yang duduk dalam kerajaan, lantikan politik, mereka akan bawa agenda parti mereka yang diketengahkan dalam kerajaan, ini tidak boleh dinafikan, zaman Pakatan Harapan (PH) pun sedemikian juga.

“Pelantikan saya ini adalah di atas kapasiti, kedudukan saya dalam parti. Apa yang saya bawa itu adalah sebahagian daripada agenda perjuangan parti kita iaitu untuk menjaga kesucian agama.”

Menurut Pesuruhjaya PAS Melaka, Datuk Kamarudin Sidek, segala tindakan yang beliau lakukan atas kapasiti beliau selaku Penasihat Agama kepada YAB Ketua Menteri Melaka sebagai cerminan hasrat perjuangan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang dilaksanakan untuk penambahbaikan kerajaan negeri Melaka.

Selain itu, beliau menyatakan PAS berperanan menyuburkan dakwah dalam melestarikan Islam di negeri Melaka dengan pelantikan beliau dalam beberapa jabatan milik kerajaan negeri.

“Saya mengambil kesempatan mengadakan program jelajah di seluruh masjid di negeri Melaka dalam program ceramah khas dan sebagainya. Seingat saya setakat ini hampir lebih 30 masjid dan surau saya telah pergi.

“Begitu juga ada kes yang datang kepada saya untuk membantu mereka dalam konteks bantuan makanan, perumahan dan sebagainya, boleh saya panjangkan kepada pihak yang terbabit,” kata beliau dalam diskusi Melaka Update anjuran Jabatan Penerangan PAS Negeri Melaka.

Tambahnya lagi, antara usaha yang beliau lakukan untuk menjaga kesucian Islam ialah memanfaatkan peluang untuk berkolaborasi dengan Bahagian Dakwah, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) bagi mengekang aliran pemikiran yang tidak sesuai disebarkan dalam masyarakat setempat oleh beberapa pendakwah yang telah pun dikenal pasti.

“Mereka membawa aliran-aliran pemikiran yang agak sukar untuk masyarakat terima seperti aliran wahabiyyah dan sebagainya, ini memang ada beberapa pendakwah yang kita bincangkan yang saya maklumkan kepada pihak Jabatan Agama Islam supaya jangan diberi kebebasan kepada mereka,” jelas beliau.

Diskusi ‘Melaka Update’ yang bertajuk ‘Di Mana Peranan PAS di dalam Kerajaan Negeri Melaka’ itu dikendalikan moderator Mohammed Saufee Othman dan telah disiarkan secara langsung dalam talian melalui laman Facebook PAS Melaka malam tadi.