Home Khas

PAS Komited Agenda Perpaduan Ummah

296
SHARE

KENYATAAN MEDIA
PAS KOMITED AGENDA PERDUAN UMMAH

PAS mengikuti secara dekat perkembangan hubungan kerjasama parti-parti yang membentuk kerajaan Perikatan Nasional, khususnya antara UMNO dan BERSATU yang mendapat perhatian mutakhir ini.

Sehubungan itu, PAS telah mengadakan beberapa pertemuan dan libat urus dengan kedua-dua parti rakan PAS ini, diketuai oleh Presiden PAS, termasuk yang terbaharu dengan pimpinan tertinggi BERSATU yang turut dihadiri Presiden BERSATU, Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Haji Mohd Yassin pada 4 Mac 2021.

Memandangkan isu kerjasama semua parti politik Melayu amatlah penting dalam konteks masa depan politik negara, PAS mengambil ketetapan seperti berikut:

1. Meneruskan agenda memperkukuh perpaduan ummah yang menjadi asas kerjasama;
2. Mempertegaskan usaha memperkasa Muafakat Nasional, sekali gus mempertahan Perikatan Nasional di semua peringkat;
3. Menolak sebarang usaha daripada mana-mana pihak yang boleh merungkai perpaduan ummah yang telah sedia terjalin; dan
4. Menolak sebarang bentuk dan usaha ke arah ‘penjajaran baharu’ melibatkan kerjasama dengan Pakatan Harapan atau sekutunya.
Sehubungan dengan itu PAS komited untuk terus memantapkan hubungan dan kerjasama Tiga Serangkai Utama Parti Melayu/Pribumi UMNO, BERSATU dan PAS, bersama rakan-rakan sekutu yang lain demi kelangsungan pemerintahan negara yang diterima baik oleh majoriti besar rakyat yang tidak mahu lagi sejarah hitam lampau berulang kembali.

PAS amat yakin segala perbezaan, pertikaian serta salah faham yang wujud dapat diselesaikan dan diharmonikan oleh pimpinan parti-parti atas dasar ukhuwah dan kekeluargaan demi agenda kepentingan negara dan rakyat yang lebih besar.

Pada masa yang sama PAS turut menekankan buat masa ini sewajarnya semua pihak memberikan sepenuh perhatian bagi menjayakan langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan dalam usaha memerangi wabak COVID-19 dan pemulihan semula ekonomi negara dengan sebaiknya.

“ISLAM MEMPERKUKUH PERPADUAN”

Takiyuddin Hassan
Setiausaha Agung PAS
Bertarikh: 21 Rejab 1442 / 5 Mac 2021