Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Surah Al-Waqi’ah : Siri 21

991
SHARE

?? Tadabbur Al Quran ??
Surah Al-Waqi’ah : Siri 21
Ayat 71-74 : Api Anugerah Kehidupan Sebagai Bukti Kasih Sayang Allah

? Firman Allah serta terjemahannya:

أَفَرَأَيْتُمُ النَّارَ الَّتِي تُورُونَ – ٧١
Maka terangkanlah kepadaku tentang api yang kamu nyalakan.

أَأَنْتُمْ أَنْشَأْتُمْ شَجَرَتَهَا أَمْ نَحْنُ الْمُنْشِئُونَ – ٧٢
Kamukah yang menjadikan kayu itu atau Kami yang menjadikannya?

نَحْنُ جَعَلْنَاهَا تَذْكِرَةً وَمَتَاعًا لِلْمُقْوِينَ – ٧٣
Kami menjadikan api itu sebagai peringatan dan bahan yang berguna bagi musafir di padang pasir.

فَسَبِّحْ بِاسْمِ رَبِّكَ الْعَظِيمِ – ٧٤
Maka bertasbihlah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang Maha Besar.

? Tafsir ringkas:

1. Seterusnya Allah SWT menyarankan agar orang-orang yang ingkar untuk merenung kekuasaanNya tentang satu lagi sumber alam iaitu api yang boleh menyala.

2. Kemudian mereka ditujukan soalan untuk difikirkan sedalamnya bagaimanakah cara menghasilkan dan menghidupkan api tersebut. Maka bahan yang digunakan untuk menyalakan api itu adalah kayu yang juga Allah ciptakan (dengan digesekkan kayu tersebut sehingga menghasilkan api). Pada zaman dahulu api itu dinyalakan dengan menggesek pokok kayu. Sesungguhnya Allah SWT menciptakan pokok dengan banyak kegunaan kepada manusia. Zaman sekarang, macam-macam cara boleh digunakan. Allah mudahkan cara untuk kita menyalakan api. Bagi orang Arab masa lampau ada dua jenis kayu; Al-Marakh dan Al ‘Ifar yang apabila digosokkan, akan keluar percikan api.

3. Seterusnya Allah SWT menerangkan manfaat api yang diciptakan untuk manusia iaitulah;

i. Sebagai peringatan bahawa wujudnya api yang maha besar iaitu neraka jahanam yang panasnya apinya berganda-ganda darjah kepanasannya berbanding api dunia. Qatadah mengatakan, telah diriwayatkan kepada kami bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:

“يَا قَوْمِ، نَارُكُمْ هَذِهِ الَّتِي تُوقِدُونَ جُزْءٌ مِنْ سَبْعِينَ جُزْءًا مِنْ نَارِ جَهَنَّمَ”. قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنْ كَانَتْ لَكَافِيَةٌ! قَالَ: “قَدْ ضُربت بِالْمَاءِ ضَرْبَتَيْنِ -أَوْ: مَرَّتَيْنِ-حَتَّى يَسْتَنْفِعَ بها بنو آدم ويدنوا منها”

“Hai kaumku, api kalian ini yang kalian nyalakan merupakan satu bagian dari tujuh puluh bagian api neraka Jahanam. Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya sebahagian kecil daripadanya saja sudah mencukupi.” Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya (pada mulanya) api itu dicelup sebanyak dua kali di laut agar dapat dimanfaatkan oleh manusia dan manusia dapat mendekat kepadanya.”

ii. Sebagai kegunaan dan kemudahan untuk memasak makanan dan keperluan yang lain termasuklah kegunaaan bagi para musafir bagi digunakan pada keadaan mereka yang beraneka macam. Ibnu Abbas, Mujahid, Qatadah, Ad-Dahhak, dan An-Nadr ibnu Arabi mengatakan bahawa yang dimaksud dengan muqwin ( المُقْوِينَ ) ialah musafirin, pendapat ini dipilih oleh Ibnu Jarir. Api ini adalah bahan yang sangat berguna bagi musafir sepanjang perjalanan mereka dalam perjalanan mereka samada untuk memasak, memanaskan badan dan untuk menghalau binatang serangga dan binatang buas dari mengganggu mereka.

? Pengajaran:

1. Merenungi penciptaan api melalui tadabbur ayat sewajarnya dijadikan medium yang terbaik sebagai penguat dan penyubur keimanan supaya bertambah kesyukuran dan ketakwaan. Ketaqwaan itulah yang sentiasa mendorong kita beringat-ingat ketika hendak melakukan sesuatu atau bertindak agar sesuai dengan kehendak agama sehingga kita terhindar dari api neraka.

2. Bayangkan kehidupan tanpa api. Bagaimana hendak memasak makanan, memanaskan badan serta mendapatkan cahaya di malam hari? Justeru itu sentiasalah mensyukuri nikmatNya dengan menghayati setiap kejadian dan sumber alam yang menjadi kegunaan seharian, seperti dahan atau ranting pokok yang dapat digunakan sebagai unggun api terutama bagi orang yang berada di tengah hutan bagi memenuhi keperluannya. Malah api adalah salah satu keperluan manusia yang amat penting dalam meneruskan kelangsungan hidup di bumi ini.

3. Sedari bahawa Al-Quran adalah kitab yang sangat menakjubkan yang mendorong perhatian kita kepada pelbagai fenomena alam yang terjadi di sekitar kita untuk meneroka kekuasaan Allah kewujudanNya. Fenomena pembakaran dan api yang kita nyalakan adalah salah satu contoh bagi orang-orang yang akan mengenal Allah. Allah SWT ingin menyampaikan bahawa oksigen adalah unsur yang menjadikan terbentuknya api tersebut adalah berasal dari pohon hijau yang disebut dalam ayat dengan syajarah ( شجرتها ) yang menghasilkan oksigen seterusnya pembakaran. Tanpa adanya fotosintesis daripada pohon-pohonan tersebut tidak akan ada zat yang bernama oksigen. Siapakah yang menumbuhkan pohon tersebut? Tentu hanya Allah SWT sahaja yang berkuasa. Subhanallah.

4. Mudah-mudahan ayat ini membuka mata dan hati kita untuk sentiasa merujuk Al-Quran dalam apa pun lapangan yang kira ceburi. Melalui lapangan pengkajian pula kita akan dapati Al-Quran sentiasa mendahului sains dan menjadi asas kepada segala ilmu. Sebagaimana yang dicontohkan oleh ayat ini bahawa istilah fotosintesis baru sahaja dikumandangkan oleh ilmuwan modern pada abad ke-18. Namun, isyarat atau formulasi fotosintesis ini sudah diterangkan oleh Al-Quran 15 abad yang lalu. Ilmu pengetahuan modern menyebut zat hijau daun dengan istilah klorofil, iaitu aktor yang melakukan fotosintesis pada tumbuhan. Tanpa klorifil, tumbuh-tumbuhan tak akan mampu berfotosintesis dan selanjutnya menghasilkan oksigen yang merupakan unsur yang membolehkan terhasilnya api.

? Rujukan: Tafsir Ibnu Katsir

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
26 Mei 2019 / 21 Ramadhan 1440