Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Surah Al-Waqi’ah : Siri 2

275 views
SHARE

📓📓 Tadabbur Al Quran 📓📓
Surah Al-Waqi’ah: Siri 2
Ayat: 3 : Tujuan Hari Qiamat

🖋 Firman Allah serta terjemahannya:

خَافِضَةٌ رَافِعَةٌ – ٣

(Kejadian itu) merendahkan (satu golongan) dan meninggikan (golongan yang lain)

📖 Tafsir ringkas:

1. Ayat ini ibarat menjawab persoalan apakah tujuan hari Qiamat itu? Maka Allah menegaskan bahawa ia bertujuan:

i. Merendahkan segolongan manusia ke bahagian yang paling bawah sampai ke Neraka Jahim, walaupun mereka dahulu ketika di dunia adalah orang-orang yang berkedudukan tinggi dan terhormat. Inilah balasan setimpal bagi mereka yang engkar kepada perintah Allah semasa hidup di dunia.

ii. Meninggikan golongan yang lain setinggi-tingginya hingga ke Syurga Na’im yang kekal abadi, walaupun ketika di dunia mereka adalah orang-orang yang berkedudukan rendah. Ini adalah kerana mereka taat kepada perintah Allah dan mengamalkan ajaran dan aqidah tauhid.

2. Menurut Dr Wahbah : didahulukan penyebutan kata al Khafd (خَافِضَةٌ) adalah kerana pada hari itu ketika tertegaknya hari Qiamat, urusan mereka sangat sulit dan meruncing, tidak dapat berkata-kata walaupun satu lafaz pun.

🎀 Pengajaran:

1. Kita perlu meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah dengan mempercayai rukun iman yang kelima iaitu mempercayai hari Qiamat itu wujud serta meyakini adanya pembalasan bagi setiap amalan baik (syurga) dan amalan buruk (neraka).

3. Jangan sesekali memandang rendah pada orang-orang yang berkedudukan lebih rendah daripada kita kerana boleh jadi kedudukan mereka di sisi Allah adalah sangat tinggi. Dan elakkan berlebihan menyanjung orang-orang yang berjawatan / bergelaran tinggi serta berharta kerana mungkin di akhirat kelak kedudukan mereka akan direndahkan.

4. Jauhilah perbuatan mensia-siakan waktu hidup kita dengan perbuatan yang akan membuatkan kedudukan kita sangat rendah di akhirat nanti. Jadikan setiap langkah kita di dunia sebagai langkah kita menuju ke syurga-Nya yang tertinggi.

5. Ketika berbuat kebajikan dan berbakti, jagalah niat dan lakukan seikhlas mungkin kerana Allah SWT. Sentiasa berusaha menjaga kualiti amal serta berlumba-lumba membuat kebaikan demi mencari keredhaan Allah SWT.

6. Jangan kecewa jika tidak dihargai dan dipandang orang di dunia ini kerana di akhirat nanti kebaktian kita itu akan di balas dengan sewajarnya. Sesungguhnya Allah memandang pekerjaan kita walau sekecilmana sekalipun. Akhirat adalah tempat penghargaan Allah untuk orang-orang yang ikhlas dan beriman.

📚 Rujukan:
Tafsir Ibnu Kathir
Tafsir Al-Wajiz / Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaili

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
7 Mei 2019 / 2 Ramadhan 1440