Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Surah Al-Waqi’ah : Siri 12

1130
SHARE

?? Tadabbur Al Quran ??
Surah Al-Waqi’ah: Siri 12
Ayat: 34-40: Layanan Bidadari Syurga

? Firman Allah serta terjemahannya:

وَفُرُشٍ مَرْفُوعَةٍ – ٣٤
Dan tempat-tempat tidur yang tertinggi keadaannya

إِنَّا أَنْشَأْنَاهُنَّ إِنْشَاءً – ٣٥
Sesungguhnya Kami telah menciptakan isteri-isteri mereka dengan ciptaan istimewa,

فَجَعَلْنَاهُنَّ أَبْكَارًا – ٣٦
Serta Kami jadikan mereka sentiasa dara (yang tidak pernah disentuh),

عُرُبًا أَتْرَابًا – ٣٧
Yang tetap mencintai jodohnya, serta yang sebaya umurnya.

لأصْحَابِ الْيَمِينِ – ٣٨
(Semuanya itu disediakan) bagi puak kanan

ثُلَّةٌ مِنَ الأوَّلِينَ – ٣٩
Iaitu sebilangan besar dari orang-orang yang terdahulu

وَثُلَّةٌ مِنَ الآخِرِينَ – ٤٠
Dan sebilangan besar dari orang-orang yang datang kemudian

? Tafsir ringkas:

1. Ayat-ayat ini menjelaskan keadaan syurga yang dianugerahkan kepada golongan kanan. Ia menggambarkan kedudukan syurga tersebut berada di tempat yang tinggi kerana tempat-tempat istirahat untuk mereka duduk dan berbaring adalah di atas singgahsana yang tinggi yang dilengkapi dengan katil dan tilam yang tebal lagi empuk.

2. Kemudian ayat tersebut memberitahu bahawa di atas hamparan tilam itu ada wanita-wanita yang berbaring di atasnya iaitu para bidadari khas yang sangat istimewa yang terdiri dari gadis- gadis perawan yang suci, belum pernah disentuh oleh manusia atau jin sebelumnya.

3. Antara ciri-ciri bidadari tersebut sebagaimana yang disebut oleh ayat ialah:

i. Penciptaan yang khusus iaitu ciptaan baru tanpa melalui proses kelahiran seperti manusia, lalu dijadikan mereka pemudi-pemudi yang rupawan.

ii. Mereka adalah dara perawan yang sentiasa suci. Setiap kali bersetubuh, pasangan itu akan jadi perawan kembali. Ini seperti yang disebut dalam satu hadis:

قَالَ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ وَهْبٍ: أَخْبَرَنِي عَمْرُو بْنُ الْحَارِثِ، عَنْ دَرَّاج، عَنِ ابْنِ حُجَيرة، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ لَهُ: أَنَطأ فِي الْجَنَّةِ؟ قَالَ: “نَعَمْ، وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ دَحْمًا دَحْمًا، فَإِذَا قَامَ عَنْهَا رَجَعتْ مُطهَّرة بِكْرًا”

Abdullah ibnu Wahb mengatakan, telah menceritakan kepadaku Amr ibnul Haris. dari Darij, dari Abu Hujairah, dari Abu Hurairah, dari Rasulullah SAW, bahawa Abu Hurairah pernah bertanya, “Apakah kita bersetubuh di dalam syurga?” Maka Rasulullah SAW menjawab: “Ya, demi Tuhan yang jiwaku berada di dalam genggaman-Nya, dengan dorongan yang kuat dan kuat sekali, manakala dia berdiri darinya (lalu mengulanginya), dia mendapatinya dalam keadaan perawan kembali seperti semula.” (Riwayat Ibnu Hibban)

iii. Mereka tampil penuh cinta lagi sangat disukai oleh suami-suami mereka dan umur-umur mereka sebaya sahaja.

4. Allah SWT menciptakan dan menghadirkan bidadari-bidadari itu untuk golongan kanan ini kerana merekalah golongan yang sangat berbakti, beriman dan beramal soleh sehingga natijahnya di hari akhirat menerima buku-buku catatan mereka menggunakan tangan kanan.

5. Sesungguhnya golongan kanan adalah terdiri daripada sebilangan besar daripada orang terdahulu, iaitu orang-orang mukmin yang berasal dari umat-umat terdahulu dan orang- orang terkemudian yang beriman kepada Nabi Muhammad SAW hingga hari kiamat.

? Pengajaran:

1. Allah memberi pelbagai nikmat dan keistimewaan kepada golongan kanan selain makanan, tempat tinggal dan juga pasangan. Itulah kehidupan rumahtangga yang hakiki. Bagi mendapat kehidupan hakiki ini sewajarnya sesiapa yang beriman dengan ayat-ayat Allah ini sentiasa berusaha menjadikan rumahtangga mereka sebagai syurga di dunia ini dengan meletakkan dasar dan budaya di dalam rumah bercirikan rumahtangga di syurga. Itulah hakikat ungkapan rumahku syurgaku di dunia.

2. Alangkah beruntung dan bahagianya sesiapa yang tergolong dalam golongan kanan; hidup bersenang-senang di syurga kelak didampingi bidadari jelita. Untuk para wanita yang mengimpikan syurga, maka jadikan penampilan bidadari syurga sebagai motivasi. Mereka memandang pasangan mereka dengan penuh cinta. Maka para isteri hendaklah berusaha mewujudkan suasana mawaddah dan rahmah dalam rumahtangga. Selalu setia dan melayani suami dengan sebaik-baiknya dengan menggembirakan hati suami serta tidak memandang dan mengkagumi lelaki lain selain suaminya yang soleh itu.

3. Marilah berlumba-lumba membuat amal ibadah dan kebajikan sebanyak-banyaknya serta bersyukur atas tambahan kesempatan umur yang Allah berikan sehingga ada lagi kesempatan untuk kita meningkatkan amal serta memperbaikinya.

4. Wanita syurga digambarkan penuh pesona namun suci dan tulen. Manakala wanita dunia pula menampilkan watak yang penuh fitnah dah syahwah. Tanpa bimbingan agama wanita boleh memudharatkan sehingga membawa kepada kehancuran tamadun kemanusiaan. Oleh yang demikian perlunya diwujudkan wacana-wacana dan gerakan kewanitaan yang memandu mereka membangun peribadi dan jati diri selaras dengan watak wanita syurga yang suci lagi anggun, sentiasa menjaga kehormatan dan maruah serta sedia berkhidmat dan berbakti kepada keluarga, masyarakat dan agama.

? Rujukan:
Tafsir Al- Munir
Prof Dr. Dr.Wahbah Zuhaili

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
17 Mei 2019 / 12 Ramadhan 1440