Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Surah Al-Waqi’ah : Siri 11

1057
SHARE

?? Tadabbur Al-Quran ??
Surah Al-Waqi’ah: Siri 11
Ayat: 32-33 : Makanan Syurga buat Ashab Al-Yamin

? Firman Allah serta terjemahannya:

وَفَاكِهَةٍ كَثِيرَةٍ
dan buah-buahan yang banyak

لَا مَقْطُوعَةٍ وَلا مَمْنُوعَةٍ
Yang tidak berhenti (buahnya) dan tidak terlarang mengambilnya

? Tafsir ringkas:

1. Sebagaimana syurga al-sabiqun, syurga ashab al-yamin juga ada menghidangkan makanan berupa buah-buahan syurga. Pada ayat-ayat ini dibayangkan sifat-sifat buah-buahan syurga tersebut antaranya:

i. Buah-buahannya banyak dan lazat pula, malah beraneka ragam warnanya yang termasuk di antara apa yang belum pernah dilihat oleh mata, belum pernah terdengar oleh telinga, dan tidak pernah terlintas di dalam hati manusia.

ii. Buah-buahnnya tidak berhenti berbuah sepanjang masa. Buah-buahan tersebut boleh di makan terus-menerus walau pada bila-bila masa sahaja mereka inginkan. Ringkasnya ia tidak akan habis.

iii. Mudah sahaja untuk mendapatkannya kerana buah-buahan tersebut saling berdekatan jika ingin dipetik dan dimakan bahkan tiada sesuatu pun yang menghalang dan tiada sesiapa pun yang melarang penghuni syurga itu untuk mengambilnya. Qatadah menyatakan, tidak ada batu kayu, duri ataupun jarak yang jauh yang dapat menghalangi mereka daripada memakannya. Juga telah disebut di dalam sebuah hadith bahawa apabila seseorang itu memetik satu buah maka tempat buah itu akan digantikan dengan buah yang baru.

2. Nabi SAW pernah membayangkan ciri-ciri buahan syurga ini sebagaimana yang terdapat dalam hadith-hadith, antaranya:

Hadis Malik dari Ibnu Abbas, dia berkata : Pernah terjadi gerhana matahari pada zaman Rasulullah SAW, lalu Rasulullah SAW melakukan solat gerhana bersama kaum muslimin. Kemudian disebutkan keadaan solat Rasulullah SAW, antara lain mereka bertanya, ”Wahai Rasulullah, kami melihat engkau mengambil sesuatu di tempatmu berdiri ini, lalu engkau mundur kembali.” Rasulullah SAW menjawab: “Sesungguhnya aku melihat syurga, maka aku berusaha untuk memetik setangkai buah anggur darinya. Seandainya aku dapat mengambilnya, niscaya kalian dapat memakannya selama dunia ini masih ada.”

3. Hidangan buah-buahan yang banyak dan lazat ini bertepatan dengan firman ALLAH SWT dalam surah Al Baqarah ayat 25 yang membawa maksud “Setiap mereka diberi rezeki buah-buahan dalam syurga-syurga itu. Mereka mengatakan, “Inilah yang pernah diberikan kepada kami dahulu.” Mereka diberi buah-buahan yang serupa.
Ayat ini membawa maksud bentuknya saling menyerupai satu sama lain, namun rasanya berbeza-beza.

? Pengajaran:

1. Nikmat syurga tidak terperi. Allah SWT menganugerahkan kepada hamba-hambaNya yang soleh semahu-mahunya. Tiada lagi larangan untuk penghuni syurga merasai dan menikmatinya dengan sepuas hati mereka buat selama-lamanya. Sedangkan dunia adalah tempat ujian sejauh mana manusia ini mengikut segala perintah dan larangannya. Justeru itu, segala larangan Allah dalam apa jua aspek termasuk aspek makanan yang diharamkan dan ditegah maka jauhilah dan tahanlah nafsu tersebut.

2. Sekiranya kita mendahulukan kepentingan akhirat dan ganjaran syurga, sudah tentu kita melindungi perut kita dan ahli keluarga kita daripada perkara yang diharamkan Allah daripada menjadi darah daging mereka. Ini termasuklah memberi nafkah yang halal dari sumber yang halal, jauh dari rasuah dan penipuan ataupun membekalkan makanan yang halalan taiyiba buat kita sekeluarga.

3. Benarlah ungkapan mengatakan dunia adalah syurga bagi si kafir dan penjara buat si mukmin. Dalam menjalani kehidupan di dunia si mukmin dibatasi dengan beberapa peraturan dan larangan yang mendisiplinkan mereka agar berpada-pada dan jangan berlebihan-lebihan, jangan membazir, jangan rakus nak tamak. Ini semua sifat-sifat mazmumah yang mesti di buang daripada jiwa-jiwa mukmin kerana ia membawa kerosakan. Manakala di akhirat dan syurga, Allah SWT menjanjikan tiada lagi ketidakcukupan, tiada lagi tegahan dan tiada lagi kekurangan. Yang ada hanya rezeki yang melimpah ruah dengan segala kenikmatan.

? Rujukan:
Tafsir Ibnu Katsir, Jilid ke 9
Tafsir Al-Wajiz, Prof. Dr. Wahbah az-Zuhaili

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
16 Mei 2019 / 11 Ramadhan 1440