Home Kenyataan Media Dewan Muslimat PAS Malaysia

Selamat Hari Guru: Terus Mendidik Anak Bangsa!

184 views
SHARE

Selamat Hari Guru: Terus Mendidik Anak Bangsa!

Islam meletakkan penghormatan tinggi kepada profesion perguruan. Seorang guru dari kaca mata Islam merupakan pendidik (mudarris)مدرس, penyampai yang benar (mualim)معلم, murabbi مربى (pengasuh dan pendidik dengan kasih sayang, muaddib مؤدب (pembentuk adab dan akhlak) dan mursyid مرشد (pembimbing ke arah kebaikan).

Merujuk kepada al-Quran, Allah s.w.t. berfirman dalam surah al-Mujaadalah, ayat 11 yang bermaksud :
‘Nescaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan’.

Sesungguhnya, peranan guru dianggap sebagai angkubah terpenting dalam usaha membentuk peribadi sahsiah diri seorang pelajar. Profesionalisme perguruan perlu menjadi seorang tokoh yang serba tahu, khususnya setiap aspek yang berkaitan dengan sistem pendidikan serta perlu peka dengan isu semasa yang menjadi trend pelajar sama ada di peringkat sekolah rendah, sekolah menengah mahupun peringkat yang lebih tinggi.

Dalam melaksanakan amanah seorang guru, keberkatan proses transformasi ilmu perlu diutamakan. Selain itu, akauntabiliti mestilah dijaga agar hasil pembelajaran menjadi makna buat anak didik kalian.

Sabda Rasulullah s.a.w.:

‎لَيْسَ مِنَّا مَنْ لَمْ يُجِلَّ كَبِيرَنَا، وَيَرْحَمْ صَغِيرَنَا، وَيَعْرِفْ لِعَالِمِنَا

“Tidak termasuk golongan kami orang yang tidak memuliakan yang lebih tua dan menyayangi yang lebih muda serta yang tidak mengerti (hak) orang yang berilmu (agar diutamakan pandangannya).”
(Riwayat Ahmad)

Dewan Muslimat PAS Malaysia mengucapkan Selamat Hari Guru buat seluruh insan yang bergelar pendidik. Hargailah jasa dan pengorbanan guru tanda penghormatan serta pengiktirafan tertinggi terhadap sumbangan besar dan khidmat bakti yang telah dicurahkan.

Jasa guru tidak ternilai. Terima kasih di atas segala tunjuk ajar didik kalian. Semoga Allah sentiasa memberikan kecekalan dan kekuatan buat guru-guru dalam meneruskan misi mendidik dan mencetak anak bangsa menjadi insan yang berjasa kepada agama, bangsa dan negara Malaysia yang tercinta!

“Guru, Obor Hemah Menyinari Pertiwi”.
Terima kasih cikgu! Terima kasih guru! Terima kasih pendidik! Selamat Hari Guru!

YB Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh
Ketua
Dewan Muslimat PAS Malaysia
11 Ramadan 1440H
16 Mei 2019