Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Surah Al-Mulk: Siri 17

2363
SHARE

?? *Tadabbur Al Quran* ??
_Surah Al-Mulk: Siri 17_

*Ayat: 24 : Bukti Kekuasaan Allah pada Nikmat Berketurunan dan Penerusan Generasi

? *Firman Allah serta terjemahannya:

قُلْ هُوَ الَّذِي ذَرَأَكُمْ فِي الأرْضِ وَإِلَيْهِ تُحْشَرُونَ

_Katakanlah lagi: “Dia lah yang mengembangkan kamu di bumi, dan kepadaNyalah kamu akan dihimpunkan”._

? *Tafsir ringkas:

1. Dalam ayat yang sebelum ini, Allah SWT menjelaskan kekuasaanNya yang memulakan penciptaan seluruh makhluk serta membekalkan mereka dengan pendengaran, penglihatan dan hati. Seterusnya, dalam ayat ini, Allah menjelaskan bahawa Dialah juga yang berkuasa menjadikan manusia berkembang biak sehingga membentuk jalur keturunan yang panjang dan berterusan. Keturunan manusia yang berterusan ini menghasilkan kepelbagaian dari sudut bahasa, warna kulit, penampilan dan sikap yang sangat unik. Maha Suci Allah SWT sebagai sebaik-baik pencipta.

2. Satu hakikat yang tidak dinafikan oleh mana-mana manusia ialah kematian. Justeru dalam ayat ini Allah SWT menegaskan bahawa manusia keseluruhannya akan kembali kepadaNya. Setelah jasad mereka bercerai-berai nanti, mereka akan dihidupkan kembali, dihimpunkan dan akan dihisab segala amalan mereka ketika di dunia dahulu.

? *Pengajaran

1. *Sedarilah bahawa kejadian kita semua makhluk manusia ini berasal daripada satu keturunan daripada Nabi Adam dan kemudian berkembang biak menjadi pelbagai bangsa dan keturunan. Sebagai contoh di Malaysia sendiri terdapat pelbagai kaum iaitu Melayu, Cina, India dan kaum-kaum yang lain. Masyarakat berbilang kaum ini menggunakan bahasa yang berlainan, mempunyai warna kulit yang berbeza dan menganut agama yang pelbagai. Walau bagaimanapun hanya satu agama sahaja yang akan diterima Allah iaitu agama fitrah, Agama Islam. Oleh itu, janganlah kita berbangga-bangga dan riak dengan keturunan kita sebaliknya *panjatkan kesyukuran kepada Allah kerana Dialah yang memilih kita dengan beragama Islam. Assabiyah terhadap kaum atau keturunan juga hendaklah dielakkan kerana boleh menyebabkan permusuhan.

2. Kita juga seharusnya *menginsafi akan kehidupan di bumi ini adalah sementara sahaja dan segala amal perbuatan kita akan dihisab di hadapan Allah kelak. Perbanyakkanlah bertaubat atas segala dosa-dosa yang telah kita lakukan dan sentiasa berdoa agar Allah SWT menghimpunkan kita bersama-sama dengan golongan orang-orang yang beriman dan bersama dengan Rasulullah SAW di akhirat kelak.

? Rujukan:
1. Tafsir Ibnu Kathir
2. Tafsir Al-Jalalain
3. Tafsir Fi Zilalil Quran
4. Tafsir Al- Azhar

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
_27 Mac 2020 / 2 Sya’ban 1441_