Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Surah Al-Anfal: Siri 9

205
SHARE

📓📓Tadabbur Al Quran 📓📓
Surah Al-Anfal: Siri 9

Ayat: 24-26 : Seruan agar Menyahut Perintah Allah dan Rasul-Nya

🖋 Firman Allah serta terjemahannya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اسْتَجِيبُوا لِلَّهِ وَلِلرَّسُولِ إِذَا دَعَاكُمْ لِمَا يُحْيِيكُمْ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ يَحُولُ بَيْنَ الْمَرْءِ وَقَلْبِهِ وَأَنَّهُ إِلَيْهِ تُحْشَرُونَ (٢٤)

Wahai orang-orang yang beriman, sahut dan sambutlah seruan Allah dan seruan Rasul-Nya apabila Ia menyeru kamu kepada perkara-perkara yang menjadikan kamu hidup sempurna; dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah berkuasa mengubah atau menyekat di antara seseorang itu dengan (pekerjaan) hatinya, dan sesungguhnya kepada-Nyalah kamu akan dihimpunkan.

وَاتَّقُوا فِتْنَةً لَّا تُصِيبَنَّ الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنكُمْ خَاصَّةً وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ (٢٥)

Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksa-Nya.

وَاذْكُرُوا إِذْ أَنتُمْ قَلِيلٌ مُّسْتَضْعَفُونَ فِي الْأَرْضِ تَخَافُونَ أَن يَتَخَطَّفَكُمُ النَّاسُ فَآوَاكُمْ وَأَيَّدَكُم بِنَصْرِهِ وَرَزَقَكُم مِّنَ الطَّيِّبَاتِ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ (٢٦)

Dan ingatlah ketika kamu sedikit bilangannya serta tertindas di bumi, kamu takut orang-orang menangkap dan melarikan kamu, maka Allah memberi kamu tempat bermustautin dan diperkuatkan-Nya kamu dengan pertolongan-Nya, serta dikurniakan-Nya kamu dari rezeki yang baik-baik, supaya kamu bersyukur.

📖 Tafsir ringkas:

1. Pada ayat sebelum ini, Allah SWT memerintahkan agar umat Islam mentaati perintah Allah dan Rasul-Nya dengan mendengar risalah yang disampaikan kepada mereka. Dalam ayat ini pula, Allah menyeru agar umat Islam mengikuti dan menyahut apa saja seruan kebaikan daripada Allah dan Rasul-Nya.

2. Allah SWT memberi peringatan bahawa Dia Maha Berkuasa mengubah dan membolak-balikkan hati manusia daripada iman kepada kufur dan begitu juga sebaliknya. Maka perintah agar golongan beriman mendengar dan mengikut perintah Allah SWT dan Rasul-Nya ini adalah jalan agar mereka kekal dalam keadaan iman dan Islam.

3. Allah SWT juga memperingatkan hamba-hamba-Nya yang beriman tentang adanya fitnah, iaitu ujian dan cubaan yang bakal menimpa semua manusia dan tidak hanya khusus menimpa para pelaku maksiat sahaja. Fitnah atau ujian ini didatangkan oleh Allah SWT apabila kemungkaran tidak ditegah malah dibiarkan.

4. Allah SWT turut mengingatkan kepada hamba-hamba-Nya yang beriman segala nikmat dan bantuan yang Allah SWT berikan kepada mereka ketika bilangan mereka masih sedikit dahulu. Lalu Allah meramaikan mereka, serta memberikan mereka tempat tinggal setelah mereka meninggalkan tanah air mereka demi menyelamatkan iman dalam diri. Semua itu adalah agar orang beriman bersyukur dengan sentiasa mendengar dan mengikuti perintah Allah dan Rasul-Nya.

🎀 Pengajaran

1.Ikutilah perintah Allah SWT dan Rasul dalam setiap urusan kehidupan kerana itulah tanda ketaatan seorang hamba kepada Tuhannya.

2.Cegahlah kemungkaran dan maksiat yang diketahui berlaku dengan apa juga cara yang mampu, sama ada secara individu mahupun secara berjemaah, kerana mendiamkan diri terhadap situasi ini bakal mengundang azab dan ujian daripada Allah SWT yang akan menimpa seluruh umat tanpa terkecuali.

3.Bermujahadahlah untuk istiqamah di atas jalan kebenaran dan ketaatan, kerana hati yang jauh daripada nasihat iman dan amal Islami akan lebih mudah berubah ke arah kesyirikan dan kekufuran akibat leka dengan kehidupan duniawi. Perbanyakkanlah berdoa dengan doa yang sering diulang oleh Nabi SAW:
يَا مُقَلِّب الْقُلُوبِ ثَبِّت قَلْبِي عَلَى دينك

4. Syukurilah segala nikmat iman dan Islam serta nikmat fizikal dan material yang melimpah ruah diberikan oleh Allah SWT kepada kita. Tunaikanlah hak Allah SWT agar disyukuri segala kurnian-Nya dengan cara mentaati segala perintah dan menjauhi segala larangan-Nya.

📚 Rujukan:
Tafsir Ibnu Katsir

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
21 April 2021 / 9 Ramadhan 1442