Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Surah Al-Anfal: Siri 8

675
SHARE

??Tadabbur Al Quran??
Surah Al-Anfal: Siri 8

Ayat : 20-23 : Seruan Agar Mentaati Perintah Allah dan RasulNya

? Firman Allah serta terjemahannya:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ أَطِيعُوا۟ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَلَا تَوَلَّوْا۟ عَنْهُ وَأَنتُمْ تَسْمَعُونَ (٢٠)

Wahai orang-orang Yang beriman! Taatlah kepada Allah dan RasulNya dan janganlah kamu berpaling daripadanya, sedang kamu mendengar (Al-Quran Yang mewajibkan taatnya).

وَلَا تَكُونُوا۟ كَٱلَّذِينَ قَالُوا۟ سَمِعْنَا وَهُمْ لَا يَسْمَعُونَ (٢١)

Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (kafir dan munafik) yang berkata: “Kami dengar”, padahal mereka tidak mendengar (tidak mahu menerima dan mematuhinya).

۞ إِنَّ شَرَّ ٱلدَّوَآبِّ عِندَ ٱللَّهِ ٱلصُّمُّ ٱلْبُكْمُ ٱلَّذِينَ لَا يَعْقِلُونَ (٢٢)

Sesungguhnya sejahat-jahat makhluk yang melata, pada sisi (hukum dan ketetapan) Allah, ialah orang-orang yang pekak lagi bisu, yang tidak mahu memahami sesuatupun (dengan akal fikirannya).

وَلَوْ عَلِمَ ٱللَّهُ فِيهِمْ خَيْرًۭا لَّأَسْمَعَهُمْ ۖ وَلَوْ أَسْمَعَهُمْ لَتَوَلَّوا۟ وَّهُم مُّعْرِضُونَ (٢٣)

Dan kalaulah Allah mengetahui ada kebaikan pada mereka, tentulah ia menjadikan mereka dapat mendengar; dan kalau Allah menjadikan mereka dapat mendengar juga (dengan keadaan yang demikian), nescaya mereka tidak menerimanya sambil memalingkan diri.

? Tafsir ringkas:

1. Ayat sebelum ini menceritakan tentang kisah kemenangan orang Islam dalam Perang Badar. Ayat 20 ini menjelaskan kembali rahsia kemenangan orang Islam iaitu pentingnya ketaatan kepada Allah dan Rasul. Orang-orang beriman juga diberi peringatan untuk tidak mementingkan diri sendiri dan mendengar arahan Rasulullah SAW dalam menghadapi sesuatu perkara.

2. Ayat 21 pula mengingatkan orang beriman agar tidak menjadi seperti golongan munafik yang hanya mendengar nasihat Rasulullah SAW tetapi tidak mengambil sepenuh perhatian dan tidak sampai ke hati.

3. Seterusnya, diterangkan tentang siapakah sejahat-jahat makhluk. Mereka ialah orang yang tidak menggunakan telinga untuk mendengar ajaran Allah, tidak menggunakan mulut untuk berbicara perkara yang benar, dan tidak menggunakan akal untuk mencari kebenaran. Manusia seperti ini lebih hina daripada binatang.

4. Sebaliknya, orang yang diberikan kebaikan oleh Allah SWT ialah orang yang dapat menggunakan akal pemberian Allah dengan baik dan seterusnya dijadikan telinganya dapat mendengar ajaran agama. Dengan itu, jiwanya terbimbing untuk melakukan suruhan Allah SWT dengan sempurna.

? Pengajaran:

1. Bagi mencapai kemenangan, kita wajiblah mentaati segala perintah Allah dan Rasul.

2. Gunakanlah akal fikiran dan nikmat pancaindera dengan baik untuk melaksanakan perintah agama.

3. Pelajari dan hayatilah ilmu agama sehingga sampai ke dalam hati agar kita dapat melaksanakan suruhan Allah SWT dengan sempurna.

4. Sentiasa memohon doa agar Allah mengurniakan kepada kita kefahaman dalam agama dan sentiasa menunjukkan kita ke arah jalan yang diredhai-Nya serta kebenaran yang dapat kita ikutinya. Antara doanya:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقّ حَقًّا وَارْزُقْنَا اِتِّبَاعه وَأَرِنَا الْبَاطِل بَاطِلًا وَارْزُقْنَا اجْتِنَابه وَلَا تَجْعَلهُ مُتَلَبِّسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

“Ya Allah, tunjukkanlah kami kebenaran itu sebagai kebenaran dan rezekikan kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kami untuk menjauhinya dan janganlah Kamu jadikannya keliru atas kami yang menyebabkan kami menyimpang dari kebenaran dan jadikanlah kami bagi orang yang bertaqwa sebagai pemimpin.”

? Rujukan:
Tafsir Al-Azhar

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
20 April 2021 / 8 Ramadhan 1442