Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Surah Al-Anfal: Siri 6

750
SHARE

?? Tadabbur Al Quran ??
Surah Al-Anfal: Siri 6

Ayat: 15-16: Larangan Lari Dan Berundur Dari Medan Perang

? Firman Allah serta terjemahannya:

يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوْٓا اِذَا لَقِيْتُمُ الَّذِيْنَ كَفَرُوْا زَحْفًا فَلَا تُوَلُّوْهُمُ الْاَدْبَارَۚ

Wahai orang yang beriman! Apabila kamu bertemu dengan orang-orang kafir yang akan menyerangmu, maka janganlah kamu berbalik membelakangi mereka (mundur).

وَمَنْ يُّوَلِّهِمْ يَوْمَىِٕذٍ دُبُرَهٗٓ اِلَّا مُتَحَرِّفًا لِّقِتَالٍ اَوْ مُتَحَيِّزًا اِلٰى فِئَةٍ فَقَدْ بَاۤءَ بِغَضَبٍ مِّنَ اللّٰهِ وَمَأْوٰىهُ جَهَنَّمُ ۗ وَبِئْسَ الْمَصِيْرُ

Dan barangsiapa mundur pada waktu itu, kecuali berbelok untuk (siasat) perang atau hendak menggabungkan diri dengan pasukan yang lain, maka sungguh, orang itu kembali dengan membawa kemurkaan dari Allah, dan tempatnya ialah neraka Jahanam, seburuk-buruk tempat kembali.

? Tafsir ringkas:

1. Setelah ayat-ayat yang lalu menjelaskan pertolongan Allah terhadap kaum muslimin dan kemenangan yang dianugerahkan kepada mereka, pada ayat ini Allah menjelaskan hakikat kemenangan dan tugas mereka ketika menghadapi musuh.

2. Dalam ayat ke-15, Allah SWT memberikan amaran kepada sesiapa yang melarikan diri dari medan perang apabila sudah dekat dengan musuh ataupun kerana diserang oleh musuh, bahawa Dia akan memasukkan tentera Islam yang berbuat demikian ke dalam neraka di akhirat nanti jika tidak bertaubat.

3. Walau bagaimanapun, pengecualian diberikan kepada tentera Islam yang berpura-pura berundur dengan tujuan untuk menyiasat, menyerang balas (strategi perang) ataupun hendak menggabungkan diri dengan pasukan lain sebagai tambahan kekuatan.

? Pengajaran

1. Janganlah meninggalkan jemaah ataupun perjuangan Islam apabila bertembung dengan musuh kerana perbuatan ini boleh menjejaskan kekuatan jemaah.

2. Hendaklah mengharapkan bantuan dan pertolongan daripada Allah SWT supaya bersedia menghadapi segala cabaran dan rintangan di jalan dakwah.

3. Melazimi doa supaya dikurniakan ketetapan hati sekiranya timbul rasa takut dan risau terhadap perancangan pihak musuh,

أَللّٰهُمَّ إِنِّى أَعُوْذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالحَزَنِ وَالْعَجْزِ وَالْكَسَلِ وَالْبُخْلِ وَالْجُبْنِ وَضَلَعِ الدَّيْنِ وَغَلَبَةِ الْرِّجَالِ

“Ya Tuhanku, aku berlindung kepadaMu daripada rasa sedih serta duka cita ataupun kecemasan, dari rasa lemah serta kelemahan, daripada kebakhilan serta sifat pengecut, dan beban hutang serta tekanan orang-orang (jahat).”

? Rujukan:
Tafsir Ibn Kathir

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
18 April 2021 / 6 Ramadhan 1442