Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Surah Al Anfal: Siri 26

600
SHARE

?? Tadabbur Al Quran ??
Surah Al Anfal: Siri 26

Ayat : 66: Keringanan daripada Allah SWT Buat Tentera Badar

? Firman Allah serta terjemahannya:

الآنَ خَفَّفَ اللَّهُ عَنْكُمْ وَعَلِمَ أَنَّ فِيكُمْ ضَعْفًا فَإِنْ يَكُنْ مِنْكُمْ مِائَةٌ صَابِرَةٌ يَغْلِبُوا مِائَتَيْنِ وَإِنْ يَكُنْ مِنْكُمْ أَلْفٌ يَغْلِبُوا أَلْفَيْنِ بِإِذْنِ اللَّه وَاللَّهُ مَعَ الصَّابِرِينَ (٦٦)

Sekarang Allah telah meringankan kepada kalian, dan Dia mengetahui bahwa pada kalian ada kelemahan. Maka jika ada di antara kalian seratus orang yang sabar, nescaya mereka dapat mengalahkan dua ratus orang; dan jika di antara kalian ada seribu orang (yang sabar), nescaya mereka dapat mengalahkan dua ribu orang dengan izin Allah. Dan Allah beserta orang-orang yang sabar.

? Tafsir ringkas:

1. Selepas mengobarkan semangat kaum Muslimin untuk berperang, Allah SWT telah menurunkan ayat tentang keringanan yang diberikan. Dalam ayat sebelum ini, nisbah seorang pejuang Muslim melawan musuh adalah 1:10, tetapi dalam ayat ini nisbahnya diturunkan kepada 1:2 jika pejuang Muslim berada dalam keadaan lemah.

2. Berdasarkan ayat ini dan ayat sebelumnya, sesetengah fuqaha’ berpendapat bahawa seorang pejuang Muslim tidak dapat melarikan diri daripada perjuangan melawan 10 orang musuh jika berada dalam keadaan kuat, dan 2 orang musuh jika berada dalam keadaan lemah.

3. Para mufassirin berpendapat ayat ini merupakan sekadar ayat motivasi apabila Allah menerangkan hakikat sebenar kekuatan pejuang Muslim yang boleh mengalahkan ramai musuh, oleh itu ayat ini tiada implikasi hukum fiqh.

4. Segala yang mustahil pada logik akal boleh berlaku dengan izin Allah SWT, dan Allah SWT sentiasa bersama orang mukmin yang bersabar.

? Pengajaran:

1. Sangat ironi pejuang Islam boleh menjadi lemah sedangkan kuantiti penganut Islam bertambah. Ini menunjukkan kekuatan sebenar mujahidin bukan pada bilangan, tapi kualiti keimanan. Oleh itu, marilah kita berusaha membina kualiti jentera 12k yang tidak akan dikalahkan oleh musuh sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

خيرُ الصَّحابةِ أربعة، وخير السَّرايا أربعمائة، وخير الجيوش أربعة آلاف، ولن تُغلب اثنا عشر ألفًا من قلَّة

“Sebaik-baik teman 4 orang, sebaik pasukan tentera 400 orang, sebaik-baik ketumbukan tentera 4000 orang dan sama sekali tidak akan dikalahkan 12 ribu orang oleh golongan yang sedikit.”

2. Kita hendaklah yakin bahawa kemenangan itu diperolehi sebenarnya dengan izin Allah, bukan diukur pada logik dan realiti strategi kekuatan pada mata kasar semata-mata.

3. Binalah kesabaran dalam jiwa untuk menerima dengan redha perintah Allah serta mematuhinya, kerana Allah akan memberi kekuatan berganda dan pertolongan kepada mukmin yang sentiasa bersabar dalam melaksanakan perintah-Nya.

? Rujukan:
1. Tafsir Ibnu Kathir
2. Tafsir Fi Zilalil Quran

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak
8 Mei 2021 / 26 Ramadhan 1442