Home Artikel PAS Melaka

Rencana | Isu SOP Covid-19 : Semua harus kembali ke landasan yang betul

68
SHARE

Oleh IBNU JANIE

DALAM isu penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 ini sekarang kita semua aktivis PAS sudah tahu betapa letihnya menjadi Kerajaan Persekutuan yang segalanya terletak di atas batu jemala dan pundak kita sebagai parti pemerintah.

Namun hakikatnya dalam banyak cerita yang disensasikan itu pun bukan semuanya memang benar-benar salah kerajaan. Memang banyak cerita itu yang apabila dibongkar kisah sebenarnya memang salah mereka yang dikenakan tindakan.

Tapi garapan cerita mereka, ‘copywriting’ mereka yang ala-ala Ustaz Ebit Liew, ditambah dengan suasana rakyat yang tertekan dengan Covid-19, memang boleh meletup kemarahan netizen di media sosial.

Dalam isu denda berjumlah RM50 ribu kepada seorang peniaga burger contohnya, kita ambil semua sudut sebagai pertimbangan. Yang pertama adakah denda asal berjumlah RM50 ribu tidak terlalu besar untuk seorang peniaga burger? Lalu ia berjaya mewujudkan satu persepsi kerajaan sedang berlaku kejam.

Kedua, peniaga yang didenda pula main peranan. Segala rasa penyiksaan diluahkan untuk menimbulkan simpati orang ramai. Parti-parti yang sedang mengintai-ngintai untuk menjadi kerajaan pula mula memasang tangguk. Mula memainkan lakonan menjadi adi wira sejagat. Mereka sediakan peguam untuk membantu.

Namun, Menteri Undang-undang pula telah menjelaskan bahawa denda maksimum ialah RM10 ribu. Jadi, ketiga, timbul persoalan pula semasa penguat kuasa meletakkan kadar RM50 ribu itu mereka baca daripada buku undang-undang mana? Mengapa kesilapan ini boleh berlaku? Adakah maklumat tidak tersebar dengan tepat dalam kalangan jentera kerajaan? Jika benar ia perlu diatasi.

Dua darjat

Isu dua darjat dalam pelaksanaan SOP juga perlu ditangani dengan serius. Kadang kala ia berlaku secara tidak sedar. Namun ia menimbulkan rasa marah rakyat. Bagi penulis perlu ada satu penyelarasan penguatkuasaan ini agar ia berlaku secara adil dan tidak dilihat memilih bulu.

 

Selain itu banyak juga kisah mereka yang tidak dapat bertemu dengan ahli keluarga yang tenat sehingga membawa kepada kematian pesakit yang tenat itu, juga harus ditangani dengan secermat-cermatnya. Ia terlalu sensitif pada mata rakyat.

Memang polis berhadapan dengan mereka yang mengambil kesempatan mereka-reka cerita sedih untuk membolehkan mereka merentas negeri. Tetapi bagaimana dengan mereka yang benar-benar berhadapan dengan situasi genting ini?

Isu yang dibesar-besarkan ialah kegagalan pihak hospital untuk membantu pemohon untuk memberi dokumen sokongan pesakit yang nazak supaya waris boleh merentas negeri.

Sebenarnya pada waktu ini sesiapa pun yang ahli keluarganya masuk ke wad mereka tidak akan dapat melawat pesakit itu sehingga pesakit itu keluar. Samada keluar kerana telah sembuh atau mati.

Seorang sahabat penulis ayahnya dimasukkan ke wad. Pada masa itu tidak ada apa-apa yang serius dikesan. Dia memang tidak dapat bertemu dengan ayahnya itu sepanjang ayahnya ditahan di wad. Hanya berhubung melalui telefòn bimbit sahaja.

Takdir Allah umur ayahnya tidak panjang dan meninggal dunia semasa dalam rawatan itu. Sehingga ayahnya menghembuskan nafas terakhir dia memang tidak dapat bertemu dengan ayahnya walau pun dia memang berada di dalam kawasan.

Jadi rasanya jika seseorang itu berjaya rentas negeri kemungkinan besar mereka tetap tidak dapat juga melihat ahli keluarga yang nazak sebelum mereka mati. Mungkin dalam kes mereka yang nazak dan berada di rumah sahaja mungkin saudara mara yang balik boleh berjumpa sebelum meninggaĺ dunia.

Bagi penulis dalam semua isu tadi memang berlaku kesilapan dan kelemahan di kedua-dua pihak iaitu kerajaan dan orang ramai. Dan jalan penyelesaiannya semua pihak harus kembali semuĺa untuk berada di landasan yang betul.

Kerajaan harus bertegas dalam pelaksanaan Covid-19 tanpa ada pilih kasih dan darjat namun tidak boleh dilihat terlalu kejam. Rakyat pula termasuk parti pembangkang jangan memanipulasi segala tindakan kerajaan ini semata-mata untuk menagih simpati atau menambah populariti.

Undang-undang yang ketat sangat perlu untuk mengatasi masalah pelanggaran SOP. Bukan semata-mata kerana SOP, tetapi rakyat harus faham bahawa pelanggaran SOP kesannya boleh membunuh nyawa! Bukan perkara main-main!

Bayangkan jika semua orang yang didenda menagih simpati netizen untuk menekan kerajaan supaya tindakan itu tidak dikenakan. Kemudian parti-parti oportunis pula menyediakan peguam secara percuma malah mungkin mengutip dana untuk membayar denda maka semua rakyat tidak akan takut dengan undang-undang!

 

Mereka seolah-olah tidak perlu risau kerana ada parti politik yang akan membantu mereka mempertahankan diri dan membayar denda yang dikenakan pada mereka.

Tapi jangan pula rakyat dan pembangkang meloncat apabila denda yang dikenakan itu tinggi. Denda bagi undang-undang yang dikenakan memang mesti ke peringkat menyusahkan. Barulah menimbulkan rasa gerun. Itu memang prinsip undang-undang. Sebab itulah dalam undang-undang jenayah pun dipanggil kanun keseksaan.

Tapi kerajaan kena memastikan bahawa mereka tidak menetapkan kadar denda yang terlalu tinggi ke peringkat tidak munasabah. Denda itu perlu tinggi tetapi berpatutan. Ia juga mesti seragam dan tidak boleh cacamarba sehingga menimbulkan rasa pelik dalam kalangan rakyat.

 

Semua ahli politik kerajaan tidak dapat tidak kena mengawal diri dan berhati-hati dalam aktiviti seharian. Jangan dedahkan diri dengan aktiviti yang melanggar SOP. Walau pun hakikat kita memakai mask selama dua jam dalam sesuatu program, tapi lima saat sahaja kita turunkan mask ke dagu untuk ambil nafas, masa itulah ada musuh yang mengambil gambar.

Rentas diri ziarah keluarga nazak

Dalam soal kebenaran rentas negeri bagi mereka yang ingin bertemu dengan ahli keluarga yang nazak pula, penulis fikir untuk mengelakkan isu ini menjadi hangat dan menimbulkan kemaràhan netizen lebih baik pihak polis diarahkan untuk memberi kebenaran untuk merentas negeri tanpa perlu mengemukakan dokumen sebagai bukti.

Namun pihak polis akan membuat ‘double check’ untuk memastikan tiada penipuan berlaku. Polis boleh menghantar anggota mereka di lokasi pesakit untuk membuat pengesahan jika pesakit itu ada di rumah. Atau meminta hospital membuat pengesahan jika pesakit dirawat di hospital.

Dan jika mereka didapati menipu maka kenakan hukuman yang berat. Ini lebih baik daripada berlakunya kisah sedih mereka yanģ tidak dapat berjumpa dengan orang tersayang yang meninģgal dunia sehingga menjadi isu.

Jika individu yang berhadapan dengan peristiwa ini diarak dan ‘diayak’ pembangkang memang akan jadi bola tanggung kepada kerajaan. Memang makan tak habis la! Silap-silap boleh jadi ‘Arab Spring’! Sebelum perkara ini terjadi apa kata kerajaan pertimbangkan pandangan penulis tadi.

Kerajaan harus ingat bahawa persepsi memainkan peranan besar dalam sokongan terhadap parti-parti kerajaan. Kita mungkin akan berhadapan dengan Pilihan Raya Umum tidak lama lagi. Jadi kita kena cermat-cermat!

Penulis adalah Ketua Editor CPP-Berita PAS, Jabatan Penerangan PAS Pusat dan Ketua Unit Berita dan WARM, Jabatan Penerangan PAS Melaka.

Rencana ini juga disiarkan di Haraķah (cetak) keluaran 7 Mei 2021 – Bil : 2647

AKIKAH MAKKAH EMRANSYAH

 

.         SAMBAL IBU SARI        .