Home Kenyataan Media PAS Melaka

Kenyataan media PAS Melaka isu kenyataan mantan KPN

195
SHARE

Kenyataan Media PAS Melaka


Isu kenyataan mantan Ketua Polis Negara (KPN) : PAS Melaka menyokong kenyataan Ketua Penerangan DUPP

Sesuai dengan prinsip Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS), PAS Melaka menyokong kenyataan yang dibuat oleh Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP), YB Md Nor Hamzah bertarikh 3 Mei 2021 bertajuk ‘Kerajaan PN : Sistem Lapuk Wajar Diperbaiki’.

Adalah penting bagi sebuah negara merdeka seperti Malaysia mengamalkan pengasingan kuasa antara Eksekutif, Perundangan dan Kehakiman.

Tindakan undang-undang terhadap salah laku dan penyalahgunaan kuasa dan sebagainya mestilah dibuat berasaskan lunas undang-undang yang diamalkan di negara ini.

Hari ini ramai dalam kalangan netizen yang terus menghukum berdasarkan kenyataan media dan persepsi yang dibuat secara terbuka sama ada di dalam media sosial mahu pun di depan umum seolah-olah media sosial menjadi mahkamah untuk menjatuhkan hukuman terhadap salah laku.

Prosedur laporan polis yang menjadi asas untuk dilakukan siasatan mestilah dibuat terlebih dahulu agar tindakan lanjut dapat dijalankan dengan bebas, adil serta tanpa campur tangan mana-mana institusi atau pihak tertentu yang boleh mencemarkan institusi Kehakiman negara yang akhirnya menghilangkan keyakinan dan kepercayaan terhadap ketelusan institusi ini di mata netizen.

PAS Melaka tetap berpegang kepada prinsip keadilan dan tidak mahu mereka yang didakwa terlibat dengan penyalahgunaan kuasa dibebaskan begitu sahaja tanpa dikenakan tindakan yang setimpal bersesuaian dengan undang-undang negara termasuk juga dalam kalangan ahli-ahli politik di pihak kerajaan atau pun pembangkang.

PAS Melaka menyambut baik beberapa saranan daripada DUPP termasuk agar kerajaan PN mengambil tindakan proaktif dengan menubuhkan Jawatankuasa Bebas untuk membuat siasatan dan kajian menyeluruh serta mengemukakan kertas cadangan mengikut perspektif Islam sebagai jalan kepada penyelesaian isu.

BPMS merupakan kunci yang berteraskan kepada hujah fakta dan bukannya emosi dan persepsi. Mereka yang melakukan pelanggaran undang-undang harus dibawa ke muka pengadilan sama ada dari pihak kerajaan mahu pun pembangkang. Yang dibuktikan bersalah akan dihukum dan yang dizalimi akan dibela.

BAKRI JAMALUDDIN
Ketua Penerangan PAS Melaka

AKIKAH MAKKAH EMRANSYAH

 

.         SAMBAL IBU SARI        .