Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Surah Al-Anfal: Siri 20

307
SHARE

?? Tadabbur Al Quran ??
Surah Al-Anfal: Siri 20

Ayat: 52-54: Perumpamaan Orang-orang Kafir Musyrik Seperti Golongan Ingkar Terdahulu

? Firman Allah serta terjemahannya:

كَدَأۡبِ ءَالِ فِرۡعَوۡنَ وَٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِهِمۡۚ كَفَرُواْ بِـَٔايَٰتِ ٱللَّهِ فَأَخَذَهُمُ ٱللَّهُ بِذُنُوبِهِمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ قَوِيّٞ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ (٥٢)

(Keadaan orang-orang kafir itu) samalah seperti keadaan Firaun dan kaumnya serta orang-orang yang terdahulu daripada mereka. Mereka kufur ingkar akan ayat-ayat Allah, lalu Allah menyeksa mereka dengan sebab dosa-dosa mereka. Sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha berat seksaNya.”

ذَٰلِكَ بِأَنَّ ٱللَّهَ لَمۡ يَكُ مُغَيِّرٗا نِّعۡمَةً أَنۡعَمَهَا عَلَىٰ قَوۡمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُواْ مَا بِأَنفُسِهِمۡ وَأَنَّ ٱللَّهَ سَمِيعٌ عَلِيمٞ (٥٣)

(Balasan) yang demikian itu, adalah kerana sesungguhnya Allah tidak akan mengubah sesuatu nikmat yang telah dikurniakan-Nya kepada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

كَدَأۡبِ ءَالِ فِرۡعَوۡنَ وَٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِهِمۡۚ كَذَّبُواْ بِـَٔايَٰتِ رَبِّهِمۡ فَأَهۡلَكۡنَٰهُم بِذُنُوبِهِمۡ وَأَغۡرَقۡنَآ ءَالَ فِرۡعَوۡنَۚ وَكُلّٞ كَانُواْ ظَٰلِمِينَ (٥٤)

(Keadaan mereka) samalah seperti keadaan Firaun dan kaumnya serta orang-orang yang terdahulu daripada mereka. Mereka mendustakan ayat-ayat Tuhan mereka, lalu Kami binasakan mereka dengan sebab dosa-dosa mereka, dan Kami tenggelamkan Firaun serta pengikut-pengikutnya (di laut), kerana kesemuanya adalah orang-orang yang zalim.

? Tafsir ringkas:

1. Selain daripada menerima azab dari saat dicabut nyawa, orang musyrikin juga diumpamakan oleh Allah SWT seperti golongan ingkar yang terdahulu.

2. Allah SWT menyatakan kepada Nabi Muhammad SAW bahawa segala yang dihadapi oleh baginda di dalam perang Badar telah dihadapi oleh rasul-rasul terdahulu dengan umat mereka yang ingkar dan derhaka kepada Allah SWT. Seksaan yang diberikan kepada para musyrikin adalah sepertimana hukuman kepada kaum-kaum yang ingkar terdahulu. Mereka akan diseksa dengan azab yang pedih dan tidak akan mampu menghindarinya lantaran kerana dosa-dosa yang mereka sendiri lakukan.

3. Allah SWT membuktikan keadilan-Nya dalam menghukum sesuatu perkara sesuai dengan sifat-Nya yang Maha Perkasa. Dia tidak akan menjatuhkan seksaan kepada sesuatu kaum melainkan disebabkan perbuatan mereka sendiri mendustakan para nabi dan mengingkari tanda-tanda kekuasaan-Nya.

4. Allah SWT mengumpamakan kaum musyrikin seperti Firaun dan pengikutnya. Segala nikmat yang telah diberikan kepada mereka diambil kembali seperti harta yang melimpah ruah, kebun dan pertanian yang pelbagai, dan tempat-tempat yang indah.

5. Allah SWT tidak pernah melakukan kezaliman ketika menarik semula segala nikmat yang pernah diberikan dan menghancurkan mereka. Malah merekalah sebenarnya yang telah berlaku zalim.

? Pengajaran:

1. Adalah suatu sunnatullah bahawa golongan yang ingkar pasti akan diberi balasan yang tidak terperi sakitnya. Oleh itu, marilah kita menjaga diri dan ahli keluarga kita daripada tergolong dalam golongan yang ingkar kepada-Nya.

2. Janganlah kita berburuk sangka kepada Allah SWT tatkala diuji mahupun ditimpa sesuatu musibah. Hendaklah kita sentiasa bermuhasabah diri dan merenung kembali amalan seharian kita. Sesuatu musibah itu berlaku sebagai ujian ataupun sebagai hukuman lantaran dosa yang pernah dilakukan.

3. Sebagai seorang yang beriman, kita hendaklah sentiasa bersabar ketika diuji. Sesungguhnya Allah SWT memiliki sifat keadilan yang sempurna dan Dia sentiasa bersama dengan orang-orang yang beriman.

? Rujukan:
Tafsir Ibnu Katsir
Tafsir Muyassar
Tafsir al-Madinah al-Munawwarah

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak
2 Mei 2021 / 20 Ramadhan 1442