Home Berita Dewan Muslimat PAS Malaysia

Tadabbur Surah Al-Anfal: Siri 19

378
SHARE

?? Tadabbur Al Quran ??
Surah Al-Anfal: Siri 19

 

Ayat 50 – 51 : Hal Keadaan Orang Kafir Sebelum Saat Kematian

? Firman Allah serta terjemahannya:

وَلَوۡ تَرَىٰٓ إِذۡ يَتَوَفَّى ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ ۙ ٱلۡمَلَٰٓئِكَةُ يَضۡرِبُونَ وُجُوهَهُمۡ وَأَدۡبَٰرَهُمۡ وَذُوقُواْ عَذَابَ ٱلۡحَرِيقِ (٥٠)

Kalau kamu melihat ketika para malaikat mencabut jiwa orang-orang yang kafir, seraya memukul muka dan belakang mereka (dan berkata): “Rasakan olehmu siksa neraka yang membakar” (tentulah kamu akan merasa ngeri).

ذَٰلِكَ بِمَا قَدَّمَتْ أَيْدِيكُمْ وَأَنَّ اللَّهَ لَيْسَ بِظَلَّامٍ لِلْعَبِيدِ (٥١)

Demikian itu disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri. Sesungguhnya Allah sekali-kali tidak menganiaya hamba-Nya.

? Tafsir ringkas:

1. Ayat-ayat sebelum ini menggambarkan sikap angkuh dan takabbur orang musyrikin serta sikap memandang rendah orang munafik terhadap orang-oang beriman. Seterusnya Allah SWT memberikan peringatan kepada kita bagaimana sikap musuh-musuh Islam ini dibalas oleh Allah SWT dengan pengakhiran kehidupan yang sangat menyeksakan.

2. Allah SWT menggambarkan situasi ngeri yang dihadapi oleh orang kafir ketika dicabut nyawa mereka oleh para malaikat sambil memukul muka dan belakang mereka serta disumpah dengan siksaan api neraka.

3. Allah SWT juga menekankan bahawa manusia mendapat balasan atas perbuatannya sendiri kerana Allah SWT itu Maha Adil serta mengharamkan ke atas diriNya daripada bersifat zalim.

? Pengajaran:

1. Peliharalah iman dan Islam dalam diri serta jauhilah perkara syirik. Inilah kunci yang boleh membawa manusia ke syurga.

2. Orang yang bijak adalah orang yang sentiasa mengingati mati dan menyediakan bekalan untuk akhirat. Dengan mengingati mati dan saat- saat kematian yang mengerikan akan mendatangkan keinsafan dan kesedaran untuk lebih kuat bekerja dan beramal mengumpul bekalan selepas mati nanti.

3. Kematian adalah perkara yang paling hampir dengan kita. Justeru berjuanglah dengan memperbanyakkan kebaikan dan ketaatan serta meninggalkan larangan dan maksiat agar memudahkan para malaikat untuk mencabut roh kita yang bersedia untuk pulang mengadap Ilahi.

4. Sentiasa bersikap adil dan elakkan daripada melakukan kezaliman dan penganiayaan terhadap manusia dan seluruh makhluk kerana Allah SWT sendiri telah mengharamkan kezaliman terhadap diri-Nya .

? Rujukan:
Tafsir Ibnu Kathir

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak
1 Mei 2021 / 19 Ramadhan 1442