Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Surah Al-Anfal: Siri 12

122
SHARE

📓📓 Tadabbur Al Quran 📓📓
Surah Al-Anfal: Siri 12

Ayat : 34-35 : Janji Allah SWT bahawa Orang Kafir Tidak Akan Menguasai Kota Mekah

🖋 Firman Allah serta terjemahannya:

وَمَا لَهُمْ أَلا يُعَذِّبَهُمُ اللَّهُ وَهُمْ يَصُدُّونَ عَنِ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ وَمَا كَانُوا أَوْلِيَاءَهُ إِنْ أَوْلِيَاؤُهُ إِلا الْمُتَّقُونَ وَلَكِنَّ أَكْثَرَهُمْ لَا يَعْلَمُونَ (٣٤)

Mengapa Allah tidak mengazab mereka, padahal mereka menghalangi orang untuk (mendatangi) Masjidil Haram,’ dan mereka bukanlah orang-orang yang berhak menguasainya? (Orang-orang yang berhak menguasainya) hanyalah orang-orang yang bertakwa, tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.

وَمَا كَانَ صَلاتُهُمْ عِنْدَ الْبَيْتِ إِلا مُكَاءً وَتَصْدِيَةً فَذُوقُوا الْعَذَابَ بِمَا كُنْتُمْ تَكْفُرُونَ (٣٥)

Sembahyang mereka di sekitar Baitullah itu, tidak lain hanyalah siulan dan tepukan tangan. Maka rasakanlah azab disebabkan kekafiran kalian itu.

📖 Tafsir ringkas:

1. Ayat 34 adalah kesinambungan daripada ayat sebelumnya. Allah SWT memberitahu bahawa golongan musyrikin Mekah adalah orang yang layak untuk mendapat azab, tetapi azab tidak ditimpakan kepada mereka berkat keberadaan Rasulullah SAW di antara mereka.

2. Oleh itu, ketika Rasulullah SAW tidak lagi berada dalam kalangan mereka, maka Allah menimpakan siksaan-Nya kepada mereka dalam Perang Badar, sehingga banyak di antara pendekar mereka yang gugur dan para hartawan mereka menjadi tahanan perang.

3. Allah SWT menjelaskan bahawa orang-orang kafir itu tidak berhak menguasai Baitullah dan daerah-daerah Haram, kerana mereka telah melakukan syirik dan pelbagai kerosakan di daerah itu. Akan tetapi yang sebenarnya berhak menguasai Baitullah dan daerah-daerah Haram itu hanyalah orang-orang yang bertakwa yang menghormati Baitullah sebagai tempat suci dan peribadatan, iaitu Nabi Muhammad SAW dan pengikut-pengikutnya.

4. Allah SWT turut menegaskan bahawa kaum musyrikin juga tidak melakukan apa-apa di Baitullah, kecuali hanya bersiul dan bertepuk tangan. Maka sangat layak azab Allah buat mereka.

🎀 Pengajaran:

1. Ikutilah sunnah dan perjuangan Baginda Rasulullah SAW, kerana pasti ada rahmat dan keberkatan bagi mereka yang mengikuti jejak langkahnya.

2. Lazimilah istighfar dalam kehidupan, kerana lafaz istighfar yang benar-benar dihayati akan menjadi pelindung dan memberikan kebaikan yang berpanjangan.

3. Pastikan ibadah khusus yang dilakukan adalah ibadah yang benar dan tidak bertentangan dengan syariat. Jika tidak sia-sia sahajalah amal perbuatan yang dilakukan itu.

📚 Rujukan:
Tafsir Ibnu Kathir

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
24 April 2021 / 12 Ramadhan 1442