Home Berita Dewan Muslimat PAS Malaysia

Tadabbur Ramadhan Siri 21/1439H Surah Al-Rum: Ayat 30-32: Islam Agama Fitrah

6109
SHARE

?? Tadabbur Ramadhan ??
Siri 21/1439H

Surah Al-Rum: Ayat 30-32: Islam Agama Fitrah

? Firman Allah serta terjemahannya:

فَأَقِمْ وَجْهَكَ لِلدِّينِ حَنِيفًا فِطْرَةَ اللَّهِ الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْهَا لَا تَبْدِيلَ لِخَلْقِ اللَّهِ ذَلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ (٣٠)

Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama (Islam); (sesuai) fitrah Allah disebabkan Dia telah menciptakan manusia menurut fitrah itu; tidak ada perubahan pada ciptaan Allah; (itulah) agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.

۞ مُنِيبِينَ إِلَيْهِ وَاتَّقُوهُ وَأَقِيمُوا الصَّلاةَ وَلا تَكُونُوا مِنَ الْمُشْرِكِينَ (٣١)

Hendaklah kamu sentiasa rujuk kembali kepada Allah serta bertakwalah kepadaNya; dan laksanakanlah solat; dan janganlah kamu termasuk dari mana-mana golongan orang musyrik (yang menyekutukan Allah).

مِنَ الَّذِينَ فَرَّقُوا دِينَهُمْ وَكَانُوا شِيَعًا كُلُّ حِزْبٍ بِمَا لَدَيْهِمْ فَرِحُونَ (٣٢)

Iaitu orang-orang yang memecah belah agama mereka serta mereka pula menjadi berpuak-puak; Setiap puak bergembira dengan apa yang ada pada puak mereka (daripada fahaman dan amalan yang terpesong itu).

? Tafsir ringkas:

1. Ayat 30 jelas menegaskan bahawa agama Islam ialah agama fitrah. Namun kebanyakan manusia tetap berpaling daripadanya.

2. Dalam ayat 31, Allah berpesan supaya kembali kepada-Nya, bertakwa dan laksanakan solat serta jauhi diri dari terpesong daripada agama Allah.

3. Ayat 32 pula, Allah mengingatkan supaya tidak menjadi seperti orang-orang musyrik yang memecah belahkan agama, iaitu menukar dan mengubahnya. Mereka hanya beriman kepada sebahagian ajaran Allah dan ingkar pula pada sebahagian yang lain. Golongan ini memang sejak zaman berzaman sentiasa berpecah menjadi pelbagai puak yang sesat malah menyesatkan pula.

? Pengajaran

1. Sebagai Muslim, kita tidak perlu cepat melatah dan terkapai-kapai apabila berlaku perselisihan, kekeliruan, dan salahfaham terutamanya apabila ada isu melibatkan agama Islam. Kembalilah merujuk syariat Islam kerana Islam agama fitrah, agama yang lurus lagi benar.

2. Jadilah orang-orang mengesakan Allah dan yang mengikhlaskan diri hanya kepada Allah serta tidak mengharapkan lebih melainkan redha-Nya.

3. Peruntukan masa untuk menuntut ilmu, berusrah, berwacana, tadabbur dan tazakkur bagi mendalami konsep tauhid yang menjadi pegangan para nabi yang diutus Allah. Iaitu akidah yang mengesakan Allah secara total dalam setiap lapangan kehidupan. Allah itu bukan sahaja menjadi sembahan dan ketundukan kita dalam solat dan ibadah khusus sahaja tapi Dia jualah sumber dan matlamat kita dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Islam itu adalah cara hidup, Islam itu juga adalah daulah.

4. Umat Islam mesti membina jati diri muslimnya dengan tiga perkara yang dapat menjaga keutuhannya, iaitu:
i) tetap dengan agama fitrah,
ii) memelihara solat
iii) taat memelihara diri daripada perkara yang haram.

Cabaran sebagai umat akhir zaman bukanlah mudah. Jagalah tiga perkara yang disebut di atas, insyaAllah akan terpelihara agama daripada fitnah dan kezaliman.

5. Jaga harga diri yang Allah anugerahkan dengan fitrah Islam yang hebat ini. Kita sentiasa memerlukan Islam dalam kehidupan beragama. Bukan hanya mempraktikkannya dalam urusan nikah kahwin dan hal-hal eksklusif umat Islam saja, sedangkan urusan besar dan global yang melibatkan negara diserahkan kepada orang lain. Kelemahan ketara ini perlu disedari dan diislah dengan segera.

? Rujukan:
Tafsir Ibnu Kathir

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
21 Ramadhan 1439 / 6 Jun 2018