Home Berita Dewan Muslimat PAS Malaysia

Memburu Lailatul Qadar

1141
SHARE

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) pada Malam Al-Qadar (Lailatul Qadar)” [Q:S. Al-Qadr : 1]

“Malam Al-Qadar lebih baik daripada 1,000 bulan” [Q:S. Al-Qadr : 3]

“Pada malam itu, turun malaikat dengan izin Tuhan mereka, membawa segala perkara (yang ditaqdirkan berlakunya pada tahun yang berikut)” [Q:S. Al-Qadr : 4]

“Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar [Q:S. Al-Qadr : 5]”

Kira-kira berbaki 5 malam lagi untuk kita isikan dengan beribadah, istighfar, membaca Al-Quran dan segala macam amalan untuk meraih ni’mat Lailatul Qadar.

Di awal Ramadan, sudah barang pasti kita telah mempersiapkan diri dari sudut fizikal dan rohani untuk memasuki fasa-fasa ibadah yang menjadi benteng bagi 11 bulan berikutnya sebagaimana telah disebut dalam sebuah hadits;

“Barangsiapa berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan kepada Allah, akan diampuni dosanya yang telah lalu” [HR Bukhari No. 38 dan Muslim No. 760]

Dalam satu hadits lain juga ada mengingatkan kepada kita;

“Sungguh sangat terhina dan rendah seseorang yang datang kepadanya Ramadan, kemudian Ramadan pergi sebelum diampuni dosanya” [HR Tirmidzi]

Justeru, di kesempatan yang berbaki ini, pasakkan azam dalam diri untuk sentiasa melaksanakan ibadah dengan sebaiknya.

Antara amalan yang ringkas dan boleh diaksanakan oleh semua ialah Iktikaf di Masjid, ataupun bagi wanita yang mempunyai kekangan bolehlah beriktikaf di suatu sudut dalam rumah khusus untuk ibadah.

Selain itu, sebagaimana dalam satu riwayat menyebut bahawa Saidatina Aisyah r.a memberitahu bahawa Nabi Muhammad s.a.w pada malam Ramadannya melakukan 3 perkara berikut;

  1. Menghidupkan sepanjang malam
  2. Memastikan seluruh isi rumah juga bangkit menghidupkan malam
  3. Iktikaf di masjid

Untuk menghidupkan malam-malam Ramadan ini, kita juga digalakkan untuk;

  1. Tahajjud (bangun malam)
  2. Melakukan solat-solat sunat
  3. Banyakkan istighfar dan memohon ampun kepada Allah S.W.T
  4. Banyakkan berdoa dengan doa اللهم إنك عفو تحب العفو فاعف عني
  5. Banyakkan membaca Al-Quran

Teruskan memburu Lailatul Qadar, jangan sesekali kita mensia-siakan 10 malam terakhir ini, hidupkan malamnya dengan penuh keimanan dan pengharapan kepada Allah S.W.T.

Di akhirnya, letakkan Ikhlas sebagai kunci kepada setiap amal ibadah kita. Mudah-mudahan kita bukan sekadar berkobar-kobar untuk beramal di bulan Ramadan sehingga menjadi hamba Ramadan, tetapi biarlah amal kita itu istiqamah dalam sebelas bulan yang lain kerana kita hamba Allah S.W.T yang sentiasa perlukan Dia.

Semoga amalan kita diterima oleh Allah S.W.T dan dinilai dengan kebaikan, bukan hanya amal yang sia-sia sebagaimana firman Allah S.W.T yang bermaksud;

“Dan Kami tujukan perbicaraan kepada apa yang mereka telah kerjakan dari jenis amal (yang mereka pandang baik), lalu Kami jadikan dia terbuang sebagai debu yang berterbangan.” [Q:S. Al Furqan : 23]

Dikeluarkan oleh,
Sekretariat
Dewan Muslimat PAS Malaysia
8 Jun 2018 bersamaan 23 Ramadan 1439