Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Ramadan Siri 17: Jihad Sebagai Ibadah Yang Tertinggi

1134
SHARE

?? *Tadabbur Ramadan* ??
_Siri 17/1439H_

*Surah Al-Hajj: Ayat 78: Jihad Sebagai Ibadah Yang Tertinggi*

? *Firman Allah serta terjemahannya:*

وَجَاهِدُوا فِي اللَّهِ حَقَّ جِهَادِهِ هُوَ اجْتَبَاكُمْ وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ مِلَّةَ أَبِيكُمْ إِبْرَاهِيمَ هُوَ سَمَّاكُمُ الْمُسْلِمِينَ مِنْ قَبْلُ وَفِي هَذَا لِيَكُونَ الرَّسُولُ شَهِيدًا عَلَيْكُمْ وَتَكُونُوا شُهَدَاءَ عَلَى النَّاسِ فَأَقِيمُوا الصَّلاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ وَاعْتَصِمُوا بِاللَّهِ هُوَ مَوْلاكُمْ فَنِعْمَ الْمَوْلَى وَنِعْمَ النَّصِيرُ (٧٨)

_Dan berjihadlah kamu di jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya. Dia telah memilihmu dan Dia sekali-kali tidak menjadikan untukmu dalam agama suatu kesempitan. (Ikutilah) agama orang tuamu, Ibrahim. Dia (Allah) telah menamai kamu sekalian orang-orang muslim dari dahulu, dan (begitu pula) dalam (al-Qur’an) ini, supaya Rasul itu menjadi saksi atas dirimu dan supaya kamu semua menjadi saksi atas segenap manusia, maka dirikanlah solat, tunaikanlah zakat dan berpeganglah kamu pada tali Allah. Dia adalah Pelindungmu, maka Dia-lah sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Penolong._

? *Tafsir ringkas:*

1. Ayat ini dimulakan dengan seruan jihad yang sebenar-benar jihad, samada jihad dengan harta, lisan, jiwa mahupun jihad peperangan, sebagaimana Allah Ta’ala berfirman: _“Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa.”_ (Ali ‘Imran: 102).

2. Allah telah memilih umat Islam di atas semua umat, juga mengutamakan, memuliakan dan mengkhususkan umat ini dengan rasul yang paling mulia dan syariat yang paling sempurna.

3. Allah tidak membebankan kepada manusia apa-apa yang tidak mampu manusia kerjakan; Allah juga tidak mengharuskan sesuatu yang sangat berat bagi manusia melainkan Dia memberi jalan keluar.

4. Sesungguhnya Allah jadikan umat nabi Muhammad SAW sebagai umat yang pertengahan, adil lagi terpilih. Nabi yang diutus kepada umat ini akan menjadi saksi kepada umatnya dan umat ini akan menjadi saksi bagi sekalian manusia

5. Justeru ni’mat dan kurnia yang besar, Allah memerintahkan umat ini menunaikan rasa syukur mereka dengan:

i- mengerjakan semua yang difardukan-Nya, mentaati segala yang diwajibkan-Nya, dan meninggalkan semua yang diharamkan-Nya. Di antara yang terpenting ialah mendirikan solat dan menunaikan zakat.

ii- berpegang erat pada tali Allah dengan meminta pertolongan kepada-Nya, bertakwa kepada-Nya, kerana hanya Dia sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Penolong yang memberi kemenangan.

? *Pengajaran:*

1. Allah tidak mengatakan jihad ‘di jalan Allah’ tapi disebut ‘untuk Allah’ (في الله) kerana hendak menekankan hubungan yang rapat dengan Allah. Maka kenalah berjihad dengan bersungguh-sungguh.

2. Sahutlah seruan jihad dari Allah yang hadir dalam pelbagai bentuk, antaranya jihad melawan hawa nafsu, jihad harta iaitu dengan mengeluarkan harta yang ada dan diberikan kepada pihak yang memerlukan, dan jihad menegakkan agama Allah di muka bumi itulah yang lebih utama.

2. Rebutlah peluang Ramadhan yang kita jalani sekarang ini untuk melawan hawa nafsu, memperbanyakkan sedekah dan meningkatkan amal ibadah.

3. Istiqamahlah melaksanakan solat fardhu lima waktu dan usahakan juga melakukan solat-solat sunat, kerana solat menjauhkan manusia dari perbuatan keji dan mungkar dan merupakan penghubung yang kuat antara Tuhan yang disembah dengan hamba-Nya. Tunaikan zakat, agar dapat membersihkan jiwa dan harta, agar menghilangkan jurang yang terdapat antara si kaya dan si miskin.

4. Berpegang teguhlah dengan tali Allah dengan melaksanakan perintah-perintahnya dan menjauhi segala larangan-Nya. Hidup pada akhir zaman sekarang ini menuntut kita agar tetap teguhlah berpegang dengan dua sumber utama yang ditinggalkan oleh Rasulullah S.A.W yaitu al-Quran dan al-Sunnah.

5. Tali Allah adalah asas kesatuan dan perpaduan ummah. Apa sahaja masalah dan isu yang melibatkan kepentingan agama ini, hendaklah kita bertolong menolong dalam membela dan mempertahankan kesuciannya tanpa mengira kumpulan atau jemaah.

6. Atas nama tali Allah, umat Islam hendaklah bersatu. Ketepikan sikap bahawa kumpulan tertentu sahaja yang mempunyai manhaj yang paling betul. Fahamilah bahawa Al-Quran telah meletakkan asas untuk bentuk perpaduan dan kesatuan mestilah atas nama Allah dan mestilah Islam sebagai tunggaknya.

? *Rujukan:*
Tafsir Ibnu Kathir

*Disusun oleh:*
*Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.*
_2 Jun 2018 / 17 Ramadhan 1439H_