Home Artikel Dewan Ulamak PAS Pusat

Perutusan Nuzul Al-Quran Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat

46 views
SHARE

PERUTUSAN NUZUL AL-QURAN
KETUA DEWAN ULAMAK PAS PUSAT

Firman Allah SWT:

{إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةٍ مُبَارَكَةٍ ۚ إِنَّا كُنَّا مُنْذِرِينَ}

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran itu pada malam yang berkat; (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (agar jangan ada hamba-hamba Kami ditimpa azab).” [Ad-Dukhan: 3]

Malam yang berkat sebagaimana dinyatakan Allah SWT dalam surah al-Dukhan adalah malam yang penuh dengan kebaikan dan rahmat, yang lebih besar keutamaannya daripada amalan seribu bulan. Maka, Allah SWT telah memilih waktu yang mulia untuk menurunkan kalam-Nya kepada pemimpin umat sejagat Nabi Muhammad SAW.

Betapa agungnya Al-Quran, ia diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW lalu Baginda digelar sebagai penghulu bagi sekalian Nabi. Malaikat Jibril yang membawanya juga dimuliakan lalu digelar sebagai penghulu bagi sekalian malaikat. Ia diturunkan pada bulan Ramadhan lalu Ramadhan menjadi penghulu bagi sekalian bulan. Ia juga diturunkan pada satu malam yang khusus lalu malam tersebut dimuliakan oleh Allah SWT dengan gelaran Lailatul Qadar yang lebih baik daripada seribu bulan.

Firman Allah SWT:

{لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِّنْ أَلْفِ شَهْرٍ}

“Malam Lailatul Qadar lebih baik daripada seribu bulan.” [Al-Qadr: 3]

Allah SWT telah memberikan segala kemuliaan Al-Quran kepada orang yang beriman. Orang yang beramal dengannya akan mendapat hidayah, rahmat, kejayaan dan kebaikan di dunia dan akhirat. Namun, masih terdapat hak-hak Al-Quran ke atas kita yang mesti kita tunaikan iaitu kewajipan beriman dengan segala kandungannya tanpa menolak walaupun satu huruf. Allah SWT menuntut kita menjaga dan memelihara Al-Quran dengan sebaiknya serta mentadabbur ayat-ayatnya dengan penuh beradab.

Sesungguhnya perjuangan menegakkan tuntutan Al-Quran melalui wadah PAS tidak pernah terhenti bahkan ia menjadi keutamaan setiap ahli PAS. Walaupun terlalu banyak cabaran yang dihadapi, namun para ulama PAS akan sentiasa teguh dan istiqamah mempertahankan keutuhan serta kemuliaan parti daripada diganggu gugat oleh sebarang penyelewengan daripada pihak yang tidak bertanggungjawab.

Akhirnya, saya mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan selamat menyambut hari Nuzul Al-Quran sempena kehadiran bulan Ramadan al-Mubarak kali ini. Semoga Allah mengganjari kita dengan anugerah taqwa dan menerima segala amalan kita.

“Sejahtera Bersama Islam”

“Membina Negara Sejahtera”

USTAZ DATO’ DR. HAJI MAHFODZ MOHAMED
Ketua
Dewan Ulamak PAS Pusat

17 Ramadhan 1439H / 2 Jun 2018 (Sabtu)