Home Berita Dewan Muslimat PAS Malaysia

Tadabbur Ramadan 26 : Dosa Buruk Sangka

755
SHARE

?? Tadabbur Ramadan ??
Siri 26/1439H

Surah Al-Hujurat: Ayat 12: Buruk Sangka dan Persepsi Negatif adalah Dosa

? Firman Allah serta terjemahannya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ وَلا تَجَسَّسُوا وَلا يَغْتَبْ بَعْضُكُمْ بَعْضًا أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَنْ يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ تَوَّابٌ رَحِيمٌ ١٢

Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.

? Tafsir ringkas:

1. Pada ayat ini Allah SWT melarang hamba-hamba-Nya yang beriman dari berbuat beberapa perkara yang tidak oleh elok dalam berinteraksi sesama insan iaitu:

i. Berprasangka dan mencurigai kerana dibimbangi tersangka buruk dan tersalah sangka terhadap orang lain;

ii. Mengintip-ngintip dan mencari-cari kesalahan dan keaiban orang lain;

iii. Mengumpat dan mengata seseorang.

2. Semua larangan di atas adalah haram dan berdosa. Begitu juga dengan dosa ghibah atau mengumpat kecuali jika terpaksa dilakukannya dalam keadaan yang telah diyakini kemaslahatannya, contohnya menceritakan keaiban dan keburukan seseorang ketika memberi kesaksian di mahkamah, menceritakan kejahatan pemerintah yang zalim atau keburukan orang jahat agar masyatakat memgambil iktibar.

3. Bertaqwalah dengan mengerjakan apa yang diperintahkan oleh Allah dan menjauhi apa yang dilarang oleh-Nya, maka merasalah diri berada dalam pengawasan-Nya dan takutlah kepada-Nya.

4. Allah Maha Penerima taubat daripada orang yang mahu bertaubat kepada-Nya, lagi Maha Penyayang kepada orang yang kembali ke jalan-Nya dan percaya kepada-Nya.

? Pengajaran:

1. Marilah sama-sama kita memperbaiki akhlak kita dengan membuangkan perangai-perangai buruk ini dalam bermuamalah sesama sahabat, keluarga dan masyarakat.

2. Sentiasalah berusaha membersihkan hati dengan mengelak diri dari terjebak dalam pembantaian beramai -ramai terhadap sesuatu peribadi terutama yang telah dicanangkan oleh media massa dan medium-medium komunikasi yang lain seperti FB, Instgram, whatsapp dan seumpamanya.

3. Jauhi kumpulan-kumpulan yang gemar melakukan aktiviti ‘membawang’ dan ‘gosip-gosip liar’. Sibukkan diri dengan aktiviti-aktiviti yang boleh menambah ilmu dan kecergasan minda seperti majlis ilmu, membaca, berkarya dan sebagainya

4. Tahan dan simpan dulu sebarang persepsi negatif dan jangan terburu-buru melempar tuduhan atau berprasangka buruk terhadap mukmin yang lain. Sebaliknya cubalah mencari jalan untuk memahami dengan baik kecuali dalam hal yang terang-terangan bersalahan dengan hukum Allah.

5. Berusahalah merapatkan kembali persaudaraan yang semakin renggang setelah kita terlanjur bersangka buruk, mengumpat dan mengata sahabat-sahabat kita sehingga mereka rasa disakiti. Mohonlah kemaafan kepada mereka dan bertaubatlah.

6. Islam amat menekankan untuk setiap muslim menjaga aib dan kehormatan muslim yang lain bagi memelihara kesejahteraan umat Islam.

7. Amalan prasangka buruk dan membina persepsi negatif akan meranapkan kepercayaan di kalangan sesama muslim dan mewujudkan budaya saling menjatuhkan dan seterusnya menjurus kepada mengumpat antara satu sama lain.

8. Semaklah berita yang didengar dari sumber sahih dan tuntutlah ilmu supaya kita tidak terus hanyut dalam persepsi dan dapat membezakan akan berita benar dengan prasangka semata-mata.

? Rujukan: Tafsir Ibnu Kathir

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
11 Jun 2018 / 26 Ramadhan 1439