Home Berita Dewan Muslimat PAS Malaysia

Tadabbur Ramadan 24 : Golongan Mulhid dan Kafir

3205
SHARE

??Tadabbur Ramadan??
Siri 24/1439H

Surah Fussilat: Ayat 40-42: Golongan Mulhid dan Kafir Tempatnya di Neraka

Firman Allah serta terjemahannya:

إِنَّ الَّذِينَ يُلْحِدُونَ فِي آيَاتِنَا لَا يَخْفَوْنَ عَلَيْنَا أَفَمَن يُلْقَىٰ فِي النَّارِ خَيْرٌ أَم مَّن يَأْتِي آمِنًا يَوْمَ الْقِيَامَةِ اعْمَلُوا مَا شِئْتُمْ إِنَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ ٤٠

Sesungguhnya orang-orang yang mengingkari ayat-ayat Kami, mereka tidak tersembunyi dari Kami. Maka apakah orang-orang yang dilemparkan ke dalam neraka lebih baik ataukah orang-orang yang datang dengan aman sentosa pada hari kiamat? Buatlah apa yang kamu kehendaki; sesungguhnya Dia Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.

إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا بِالذِّكْرِ لَمَّا جَاءَهُمْ وَإِنَّهُ لَكِتَابٌ عَزِيز ٌ ٤١

Sesungguhnya orang-orang yang mengingkari Al-Qur’an ketika Al-Qur’an itu datang kepada mereka, (mereka itu pasti akan celaka), dan sesungguhnya Al-Qur’an itu adalah kitab yang mulia.

لَّا يَأْتِيهِ الْبَاطِلُ مِن بَيْنِ يَدَيْهِ وَلَا مِنْ خَلْفِهِ تَنزِيلٌ مِّنْ حَكِيمٍ حَمِيدٍ ٤٢

Yang tidak dapat ditandingi sebarang kepalsuan dari mana-mana arah dan segi, ia diturunkan dari Tuhan yang Maha Bijaksana, lagi Maha terpuji.

Tafsir ringkas:

1. Ayat ini memaparkan ancaman yang keras dan kecaman yang sangat kuat terhadap golongan mulhid dan kafir. Di akhirat kelak Allah akan membalas perbuatan mereka itu dengan siksaan dan azab yang sangat pedih.

2. Ilhad dalam ayat di atas ertinya fahaman, ajaran dan kepercayaan yang bercanggah dengan ajaran Islam dan membawa kepada kesesatan. Penganutnya disebut mulhidin atau golongan mulhid yang membawa dan mengamal ajaran sesat atau fahaman mulhid.

3. Termasuk dalam pengertian mulhid ini ialah golongan atheist yang menafikan kewujudan tuhan dengan alasan ingin bebas daripada ikatan agama, hanya berpegang kepada prinsip logik dalam membuktikan sesuatu perkara dan berpendirian bahawa semua kepercayaan beragama yang tidak dapat dibuktikan secara saintifik adalah tidak benar termasuklah menafikan kewujudan tuhan. Justeru itu mereka menentang hukum agama, membebaskan diri dari kawalan hukum agama dan mempercayai segala yang berlaku terjadi dengan sendiri. Mereka juga tidak mempercayai dosa pahala, syurga dan neraka serta bertuhankan nafsu, kebendaan dan keduniaan semata-mata.

4. Di hujung ayat 40, Allah menyindir mereka, apakah orang yang dilemparkan ke dalam neraka lebih baik atau orang-orang yang datang dengan aman sentosa pada hari kiamat? Tentu saja tidak sama.

5. Termasuk juga golongan yang akan dilempar ke neraka adalah golongan kafir yang engkar dengan Al- Quran. Menurut Ad-Dahhak, As-Saddi, dan Qatadah disebutkan bahawa yang dimaksud dengan ‘zikir’ dalam ayat 41 ialah Al-Qur’an. Al-Qur’an itu adalah mukjizat, tidak ada sesiapa pun yang dapat menandingi kehebatan ayat-ayat Al-Quran.

6. Ayat 42 menjelaskan bahawa Allah yang Maha Bijaksana dan Maha Terpuji yang menurunkan ayat-ayat Al-Quran dan memelihara dari sebarang pemalsuan dan penyelewengan.

? Pengajaran:

1. Sebagai orang yang beriman, kita mesti meyakini bahawa beriman dengan ayat-ayat Al-Quran serta mengamalkan apa yang terkandung di dalam Al-Quran adalah wajib.

2. Ayat- ayat al- Quran adalah intipati kepada aqidah dan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Justeru itu umat Islam mestilah berpegang dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah, ilmu agama dan akhlak Islam agar terselamat daripada pengaruh ajaran sesat.

3. Umat Islam haruslah peka dengan golongan mulhid ini kerana mereka sentiasa ada di sepanjang zaman mempengaruhi pemikiran umat Islam yang lalai dengan ajaran Islam. Antara gerakan mereka yang boleh kita sedari ialah :

i.  Menggunakan medium media massa dengan mengagungkan gaya hidup yang jelas bertentangan dengan Islam.

ii. Menimbulkan pelbagai keraguan tentang kebaikan syariat Islam, melakukan aktiviti melalaikan dan tidak berfaedah serta gemar membudayakan perkara yang bertentangan dengan Islam demi kepuasan diri sendiri.

iii. Suara-suara mereka dilihat mengganggu ketenteraman awam dan merosakkan prinsip kehidupan beragama serta memusnahkan kepercayaan kepada tuhan yang diamalkan oleh masyarakat dan negara.

4. Pendakwah dan gerakan Islam sepatutnya turun ke medan memberikan kefahaman yang jelas tentang bahaya dan ancaman fahaman sesat ini agar kekeliruan dan kejahilan dapat dielakkan lebih awal.

5. Peranan kerajaan sangat penting untuk bertindak sebagai penaung kepada kesucian agama Islam dan penggerak dalam usaha membasmi penularan fahaman berkaitan akidah dalam kalangan masyarakat. Mereka boleh bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan Islam (NGO-i) dan jemaah-jemaah Islam dalam menyekat penularan ajaran sesat secara lebih berkesan.

6. Individu muslim mestilah berdamping dengan al-Quran dalam ertikata yang sebenar sebagai sumber rujukan yang lengkap dalam memperkukuhkan akidah dan meluruskan jalan hidup. Di akhir zaman ini hanya Al-Quran kitab penyelamat dari kehancuran manusiawi kerana kitab ini terpelihara dari sebarang pemalsuan dan penyelewengan tangan-tangan mulhidin.

?Rujukan:
Tafsir Ibnu Kathir

 Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
24 Ramadhan 1439 / 9 Jun 2018