Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Al Quran Surah Luqman: Siri 6

2828
SHARE

?? Tadabbur Al Quran ??
Surah Luqman: Siri 6

Ayat 14-15 : Kewajipan Mentaati Ibu Bapa

? Firman Allah serta terjemahannya:

وَوَصَّيْنَا الْإِنسَانَ بِوَالِدَيْهِ حَمَلَتْهُ أُمُّهُ وَهْنًا عَلَىٰ وَهْنٍ وَفِصَالُهُ فِي عَامَيْنِ أَنِ اشْكُرْ لِي وَلِوَالِدَيْكَ إِلَيَّ الْمَصِيرُ (١٤)

Dan Kami perintahkan kepada manusia (agar berbuat baik) kepada kedua orang tuanya. Ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusunya dalam usia dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua orang tuamu. Hanya kepada Aku kembalimu.

وَإِن جَاهَدَاكَ عَلَىٰ أَن تُشْرِكَ بِي مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ فَلَا تُطِعْهُمَا ۖ وَصَاحِبْهُمَا فِي الدُّنْيَا مَعْرُوفًا ۖ وَاتَّبِعْ سَبِيلَ مَنْ أَنَابَ إِلَيَّ ۚ ثُمَّ إِلَيَّ مَرْجِعُكُمْ فَأُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ (١٥)

Dan jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan Aku dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai ilmu tentang itu, maka janganlah engkau mentaati keduanya, dan pergaulilah keduanya di dunia dengan baik, dan ikutilah jalan orang yang kembali kepada-Ku. Kemudian hanya kepada-Ku tempat kembalimu, maka akan Aku beritahukan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.

? Tafsir ringkas:

1. Ayat sebelum ini menceritakan berkaitan wasiat Luqman kepada puteranya supaya menyembah Allah SWT dan tidak mempersekutukan-Nya. Dalam rangkaian ayat ini pula Allah SWT telah memerintahkan hamba-Nya supaya berbakti dan berbuat baik kepada ibu bapa.

2. Dalam ayat 14, Allah SWT menggambarkan kesusahan seorang ibu mengandungkan anaknya selama 9 bulan di mana seorang ibu mungkin kurang nafsu makan, merasakan sakit, lemah, dan semakin bertambah lemah ketika janin semakin membesar. Kesusahan itu makin bertambah ketika ibu hendak melahirkan kerana perlu mempertaruhkan nyawanya. Sesudah melahirkan, tempoh penyusuan sempurna seorang anak itu adalah selama 2 tahun. Ayat ini menunjukkan kesusahan dan pengorbanan seorang ibu yang menjadi asbab ketinggian kedudukannya dan memerintahkan anak supaya sentiasa mengingati kebaikan ibunya.

3. Justeru itu, Allah memerintahkan supaya kita mengucapkan syukur atas rahmat yang telah Allah SWT kurniakan dengan mentaati segala perintahNya. Kita juga dituntut berterima kasih kepada kedua ibu bapa yang telah membesarkan dan mendidik kita sehingga dewasa. Sesungguhnya Allah akan membalas setiap perbuatan yang kita lakukan.

4. Dalam ayat 15 pula, Allah SWT menjelaskan berkenaan adab seorang anak terhadap ibu bapa. Walaupun Allah SWT memerintahkan anak supaya mentaati kedua ibu bapanya, ketaatan itu hanya untuk perkara yang ma’aruf sahaja. Sekiranya ibu bapa kita meminta kita melakukan sesuatu bertentangan dengan ajaran Allah dan mempersekutukan-Nya dengan sesuatu, maka kita tidak diwajibkan menuruti perintah mereka. Sebagai contoh, sekiranya mereka menginginkan kita mengikuti agama mereka (selain Islam), janganlah kita mentaatinya. Namun begitu, kita tetap dituntut untuk berkelakuan baik dan melayan mereka dengan baik selama mereka masih hidup.

5. Seterusnya, ayat “…ikutilah jalan orang yang kembali kepada-Ku” menunjukkan bahawa kita diperintahkan untuk mengikuti orang-orang yang beriman kepada Allah, malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, rasul-rasul-Nya, hari akhirat, qadha’ dan qadar, serta berserah diri dan kembali kepada Allah SWT. Di akhir ayat, sekali lagi Allah mengingatkan tempat kembalinya kita hanya kepada-Nya dan Dia tidak akan sesekali leka menghisab setiap amal perbuatan kita.

? Pengajaran:

1. Peranan ibu bapa adalah sangat penting dalam pendidikan aqidah, ibadah dan akhlak anak-anak. Jadilah ibu bapa yang berilmu, bertaqwa beramal soleh dan berakhlak mulia kerana proses mendidik anak-anak bergantung kepada keperibadian ibu bapa.

2. Berbuat baiklah terhadap kedua ibu bapa kerana ia merupakan kewajipan yang sangat dituntut di dalam Islam. Bahkan Rasulullah SAW bersabda: “Redha Allah bergantung kepada redha ibu bapa, manakala kemurkaan Allah bergantung kepada kemurkaan ibu bapa.” (Riwayat at-Tirmidzi).

3. Meskipun jasa kedua ibu bapa kita adalah besar, tapi kita mestilah mengutamakan kesyukuran kepada Allah SWT kerana rahmat-Nya jauh lebih besar. Dengan rahmat-Nya kita selamat lahir ke dunia dan Allah SWT jualah yang memberikan kekuatan dan rezeki kepada kedua ibu bapa kita untuk membesarkan kita. Justeru itu, kita wajib mengucapkan syukur dengan melaksanakan segala perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya.

4. Berterima kasihlah kepada kedua ibu bapa kita di atas jasa dan pengorbanan mereka dengan melayan keduanya dengan baik, berinteraksi secara sopan, memohon keampunan buat mereka daripada Allah SWT dan cuba sedaya upaya memenuhi keinginan mereka yang baik.

5. Ketaatan kepada kedua ibu bapa bukanlah bersifat mutlak sepertimana ketaatan kita kepada Allah SWT. Taatilah perintah mereka selagi mana ia tidak bertentangan dengan perintah Allah SWT.

6. Sentiasalah menghormati dan menyayangi kedua ibu bapa, berakhlak baik dan berlemah lembut dengan mereka meskipun berbeza agama. Tunjukkan bahawa seorang mukmin itu adalah seorang budiman yang sejati agar dapat menarik mereka kembali kepada ajaran Allah SWT.

7. Ikutilah jalan yang ditempuhi orang yang beriman dengan mentauhidkan Allah dan ikhlas dalam beribadat agar dapat mendekatkan diri kita kepada Allah SWT.

8. Ingatkan diri kita bahawa tempat kembali kita hanyalah kepada Allah SWT dan sentiasalah bersedia menyiapkan bekalan ke akhirat kerana setiap amal perbuatan kita akan dihisab.

? Rujukan:
Tafsir Ibnu Katsir

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak
25 September 2020 / 7 Safar 1441