Home Artikel PAS Melaka

MN – satu dedikasi dalam sejarah politik tanah air : YDP PAS HTJ

290
SHARE

Oleh : Siti Hajar

HANG TUAH JAYA, 25 Sept : Penyatuan antara PAS dan UMNO dalam hubungan Muafakat Nasional (MN) yang sudah pun menjangkau usia setahun mempunyai nilai sejarah yang bakal menjadi rujukan para sejarawan dan pelajar yang melakukan tesi penyelidikan berkaitan politik tanah air 20 tahun akan datang.

Tanggal 14 September tahun lalu, MN ketika itu telah terbentuk hasil daripada persetujuan kedua belah pihak iaitu PAS dan UMNO untuk menandatangani Piagam Muafakat Nasional yang bertempat di PWTC Kuala Lumpur.

Demikian dinyatakan Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan Hang Tuah Jaya, Ramli Dalip ketika menyampaikan ucapan dalam Majlis Sambutan Ulang Tahun Pertama Muafakat Nasional peringkat Parlimen Hang Tuah Jaya di Dewan Raja Haji, di sini malam tadi.

Beliau turut mengimbas kembali saat-saat beliau menghadiri perhimpunan tersebut apabila beliau dan rombongannya menghadapi kesukaran mencari tempat menginap sehingga terpaksa mencari masjid untuk bermalam.

“Saya cari tempat tidur semua penuh, jadi kita pakat tidur masjid. Yang perintah masjid dulu Pakatan Harapankan? Kunci, semua kunci.

“Kami pergi sampai ke Kampung Pandan, Kampung Baru, Datuk Keramat, kunci juga masjid, akhirnya kami buat keputusan tidur di ‘Hotel Bengkok’.

“Tuan-tuan tahu di mana ‘Hotel Bengkok’? Tahu di mana? Tahu? Ada? Tidur dalam kereta bengkok-bengkok”, ujar beliau berseloroh dengan disambut gelak tawa hadirin.

Menurut Ramli, orang Melayu memilih untuk bersatu padu oleh sebab mereka mahu mempertahankan serta mendaulatkan Melayu dan Islam.

Beliau dengan tegas mengingatkan hadirin tentang kewajipan mempertahankan Islam kerana manusia dimuliakan dengan Islam dan Melayu berdaulat apabila Islam didaulatkan.

Kata beliau lagi, Islam bergerak maju seluruh nusantara disebabkan oleh pengorbanan pejuang Islam dan ulama seperti Tuan Guru Haji Hadi Awang yang berjuang meninggikan syariat Islam.

Mengakhiri ucapan, beliau berharap supaya PAS dan UMNO sama-sama berusaha untuk mempertahankan jalinan kerjasama MN serta bersungguh-sungguh melaksanakan tugas di setiap peringkat cawangan, kawasan mahupun negeri.

Turut hadir ialah Ketua UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya, Mohd Ridhwan Mohd Ali bersama-sama dengan rombongan pimpinan dan ahli UMNO Hang Tuah Jaya.


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)